Maka, mulalah hidup kita tertipu dengan kilauan dunia mencari penghargaan manusia. Dalam sesebuah rumah tangga, ketua keluarga ialah suami yang menjadi pemimpin atau pemandu kepada keluarganya. Sementara isteri pula sebagai pembantu, yang sentiasa berada di sisi suami, bagi membantu suami memimpin atau memandu rumah tangga, sebagaimana yang ingin dibentuk atau dicorakkan oleh suami. Ibarat memandu kereta, seorang sahaja yang mengawal stereng dan memberikan tumpuan kepada pemanduan menuju destinasi. Bayangkan apakah yang akan terjadi, kalau ada dua orang yang berebut hendak memandu atau mengawal stereng kereta? Dapatkah suami dan isteri tersebut ke destinasi yang menjadi hala tujunya? Tentulah tidak! Kerana akan berlaku pertentangan arah atau matlamat yang difokuskan atau daripada segi prinsipnya, berlaku pertelagahan “PILIHAN – KEPUTUSAN – TINDAKAN”. Sebagai ketua keluarga, suamilah yang merancang “corak atau bentuk kehidupan” (life by design) yang diinginkan untuk keluarganya, yang memberikan hasil kehidupan yang positif (4K= Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan). Bagi memimpin atau memandu keluarga ke jalan yang diredai Allah, minda/ pemikiran dan hati/emosi yang sentiasa positif amat diperlukan daripada seorang suami. Pertama, antara suami dengan isteri ada tanggungjawab yang tersendiri, dan masing-masing mesti tahu melaksanakan tanggungjawab. Suami hanya memberikan tumpuan kepada pemanduannya, menjaga sterengnya betul-betul, kerana keselamatan keluarga terletak pada tangannya. Peranan isteri adalah membantu suami menunjukkan arah pemanduan. Menegur dan mengingatkan suami jika suami tersasar dari laluan matlamat. Sama-sama memberikan tumpuan memandang ke hadapan menuju ke destinasi, agar tidak sesat cepat mencapai matlamat dan sentiasa berhati-hati dengan ancaman di hadapan.

Bekerjasama
Kedua, tidak boleh sama sekali antara suami dengan isteri ketika pemanduan, asyik melihat antara satu sama lain dan masing-masing hendak menunjukkan kehebatan dan kelebihan atau mendedahkan kelemahan. Hal ini perlu dielakkan kerana antara suami dengan isteri tidak boleh bersaing, tetapi perlu bekerja sama. Jangan memperbesarkan perkara yang kecil. Tetapi, kalau kita fokus kepada perkara yang besar dan yang lebih penting, yakni tentang hala tuju keluarga, maka perkara-perkara kecil itu tidak menjejaskan apa-apa pun daripada segi hubungan dan perasaan. Sebaliknya jika kita sibuk dengan perkara yang kecil-kecil dan remehtemeh, akhirnya perkara itu akan menjadi besar dan mendatangkan kesan yang besar. Ketiga, janganlah memandang ke belakang ketika pemanduan, kecuali dalam keadaan tertentu dan perlu. Orang yang cepat sampai ke destinasi ialah orang yang apabila memandu, fokus kepada pemanduan dengan tumpuan memandang ke hadapan bagi mengelak halangan. Cuma sekali-sekala sahaja perlu mencuri pandang ke belakang dengan menggunakan cermin pandang belakang, bagi melihat kalaukalau ada ancaman yang sedang mengganggu kita dari belakang. Hal ini kerana faktor keyakinan diri amat penting ketika pemanduan. Sebagai pemimpin atau pemandu kita mesti mempunyai keyakinan yang tinggi. Ertinya orang yang asyik dibayangi masa silamnya dan ketakutan halangan yang mengejarnya dari belakang, akan lambat sampai ke arah tujuan destinasi hidupnya, kerana dibelenggu ketakutan atau kegagalan masa silam. Dalam keadaan sekarang ramai suami yang sayang isteri tetapi tidak menghargai isterinya dengan sepenuh hati. Tanda suami menghargai atau tidak kepada isteri, lihat reaksi suami ketika berada di samping isteri. Pertama, kalau isteri bercakap, suami mendengarnya ataupun tidak? Iaitu, adakah suami menjadi pendengar yang baik atau suami mendengar sambil lewa dan suka mematahkan cakap isteri serta langsung tidak memberi peluang kepada isteri bersuara? Kedua, suami yang menghargai isteri, sebelum membuat apaapa perancangan dan tindakan, akan meminta pendapat isteri, mendengar dan menghargai pandangan isteri. Bagaimana suami di pejabat mendengar dan menghormati ketika ketuanya bercakap, begitulah juga sepatutnya yang suami lakukan di rumah ketika bersama-sama isteri. Sesungguhnya tindakan seseorang itu menggambarkan pemikiran, emosi dan sikapnya. Formula konsep pemikiran “Reset Minda” menyatakan bahawa, “FIKIRAN yang baik menghasilkan EMOSI yang baik – EMOSI yang baik menghasilkan TINDAKAN yang baik – TINDAKAN yang baik memberikan HASIL KEHIDUPAN yang baik (4K = Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan). Oleh sebab itu, cara bagaimana suami melayani isteri dan anak-anaknya, daripada segi percakapan dan perbuatan sudah menggambarkan bagaimana keadaan rumah tangga yang sedang dibentuk atau dicorakkan oleh seorang suami. Sebenarnya dalam personaliti diri seorang lelaki itu, isterinyalah yang paling kenal atau tahu perangai suaminya. Isteri yang tahu arah dan hala tuju suaminya, selain Allah SWT, Yang Maha Mengetahui segala yang dilakukan hamba-Nya di dunia ini, termasuk apa yang dilakukan suaminya di belakang isteri. Sebagai isteri hubungan suami isteri ini amat erat, kerana hubungan ini bukan setakat hubungan fizikal sahaja, tetapi melibatkan hubungan roh melalui gerak hati. Oleh sebab itu untuk mengeratkan hubungan suami isteri, ikat hati pasangan kita dengan kasih sayang. Wujudkan akaun emosi yang tinggi dalam hubungan antara suami dengan isteri. Sebab kalau belaian kasih sayang antara suami dengan isteri saling dijaga dan mencukupi, pasangan itu tidak memerlukan lagi kasih sayang, belaian, pujian dan perhatian daripada orang lain, di luar rumah. Jika isteri selalu memuji dan menghargainya suami, seandainya di luar ada orang yang memuji suami kita, dia tidak berasa apa-apa pun kerana suami lebih menghargai penghargaan daripada isterinya. Sama jugalah perasaan isteri, kalau suami tahu menjaga, menilai dan menghargainya, ke mana sahaja isteri pergi, isteri akan ingat akan suami, anak-anak dan keluarganya.