Isu tandas kotor masih berbangkit dalam topik sampingan agenda Kabinet pada 2003. Dr. Mahathir waktu itu kelihatan jengkel dan terus mengarahkan kementerian-kementerian berkaitan me­laksanakan bimbingan dan latihan untuk guru-guru, ketua-ketua jabatan dan pelajar-pelajar.

Malangnya, perkara itu tidak juga berakhir. Topik itu sering menjadi bahan perbincangan semasa pentadbiran Pak Lah (2003 - Mac 2009) dan pengganti selepas Pak Lah, dengan perihal tanda masih wujud dan relevan - menunjukkan masalah kebersihan tandas masih belum diatasi sepenuhnya hingga hari ini.

Realitinya, Kabinet secara li­teralnya membincangkan apa jua perkara yang dikemukakan. Tiada perkara yang dipandang terlalu mustahak atau terlalu remeh untuk diketepikan selagi perkara yang dibangkitkan berkait kesejahteraan rakyat dan negara.

Daripada topik seperti perjanjian air antara Johor dan Singapura hinggalah ke tandas kotor atau jam lapangan terbang yang tidak berfungsi - semua ini dan banyak lagi perkara lain telah menjadi bahan perbincangan dalam Kabinet.

Maka sesiapapun yang mengenali rapat Dr. Mahathir atau mengikuti rentak perjalanan karier politiknya pasti tidak berasa pelik mengapa Perdana Menteri itu tidak mudah berpuas hati dengan apa-apa pencapaian.

Bila bercakap tentang prestasi Kabinetnya, Tumpang lalu perasan sudah dua kali beliau meluahkan isi hati serupa.

Pertama, pada 24 Ogos lalu ketika menegaskan mengapa khidmat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) masih diperlukan.

“Saya perlu bekerja dengan cepat dan saya perlukan seseorang yang berpengalaman untuk menyusun sesuatu tugas.

“Menteri baharu tidak berapa tahu mengenai tanggungjawab dalam setiap kementerian. Mereka masih tercari-cari jalan dan mereka tidak boleh melakukan banyak siasatan,” sambil Dr. Mahathir memperakui mereka yang meng­anggotai CEP mempunyai banyak pengalaman untuk menyelesaikan pelbagai isu penting.

Dan kali kedua Jumaat lalu yang turut dilihat dalam soal prestasi Kabinetnya dengan menekankan keperluan bertindak dalam tempoh masa yang pantas.

“Saya tidak pernah berpuas hati. Saya kalau boleh hendak buat (apa-apa tindakan) kelmarin, bukan hari ini,” kata pemimpin berusia 93 tahun itu.

Keputusan-keputusan yang di­buat oleh Kabinet memberi kesan ke atas kehidupan rakyat. Itu sebab utama Dr. Mahathir sampai dua kali mengingatkan barisan anggota Kabinetnya.

Tidak puas hati bukan bermakna Kabinet sedia ada lemah, cuma Dr. Mahathir mahu menjadi pengingat untuk menge­lakkan sebilangan mereka yang berada dalam Kabinet tidak alpa setelah kuasa berada dalam tangan.

Sesuatu yang Tumpang lalu masih melekat di kepala ini semasa membuat liputan beliau semasa menjadi Perdana Menteri keempat adalah tabiat Dr. Mahathir yang se­ring membawa buku catatan dan pen untuk dicatat segala masalah rakyat atau sesuatu yang baharu baginya.

Semasa keluar negara pun beliau akan mencatat segala apa yang dia lihat dan dengar supaya dapat memberi panduan kepadanya. Kerana itu banyak pembaharuan dibawa ma­suk semasa di bawah kepimpinannya dengan pelbagai dasar supaya negara ini maju.

Pada 5 Mei 1982 memulakan hari pertama Kabinet beliau setelah menggantikan Datuk Hussein Onn pada Jun 1981 - sambil mengeluarkan sebuah buku nota kecil - beliau memulakan agenda hari itu dengan memberi syarahan pengenalan yang ringkas kepada menteri-menteri di kompleks JPM, Jalan Dato’ Onn.

Seingat Tumpang lalu, orang Jepun dan Korea memang amalkan tabiat ini. Seperti mana Imam Shafie bila dengar kuliah daripada gurunya sering guna jari tangan kanan untuk menulis nota pada tapak tangan kirinya. Lepas itu dia boleh mengingat semula segala yang dicatitkan di tapak tangan.

Apa istimewanya buku nota yang diselit dalam kocek baju yang nampak murah sekadar 50 sen atau seringgit ini? Ada menyatakan, kebanyakan idea mega Dr. Mahathir membangunkan negara dicatat di dalam buku nota kecil yang mungkin tidak mahal itu?

Ia dipercayai senarai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Dr. Mahathir suka menteri-menteri beliau memberikan output. Beliau tidak minat teori yang mengaburkan proses pemikiran dan buah fikiran-fikiran baharu amat diga­lakkan, tetapi ia mestilah berhasil.

Minat beliau yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini kemudiannya menyuntik usaha-usaha baharu, antaranya seingat Tumpang lalu untuk Cyberjaya dan siaran satelit yang diwakili oleh Astro.

Kata pengawal peribadi pe­mimpin ini, Saad Hashim yang pernah berkhidmat selama 30 tahun sejak Dr. Mahathir menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu dalam laporan Sinar Online yang sempat dipetik Tumpang lalu, Perdana Menteri disifatkan seorang yang sangat menepati masa. Masa umpama emas baginya. Sangat berharga. Setiap kali ada program, semua kakita­ngan yang bertugas akan datang lebih awal lagi.

Jadi, selepas ini anggota Kabinet perhatikanlah ya buku kecil dikeluarkan Dr. Mahathir dalam mesyuarat. Dan sepatutnya setiap mereka memiliki buku kecil serupa - untuk memastikan ketua menaruh keyakinan tinggi, sekali gus anggota kabinet cepat berhi­jrah menyerap tindakan-tindakan yang mampu memberi manfaat besar kepada rakyat.

Tumpang lalu ucapkan Salam Maal Hijrah.