Dari semasa ke semasa, Rafizi terus melemparkan tuduhan kepada agensi itu sehingga pada satu ketika menyebabkan ramai pendeposit mengeluarkan simpanan mereka ­kerana terpedaya dengan dakyah beliau.

Apa yang anehnya, Rafizi hanya bijak melemparkan fitnah dan tohmahan tetapi apabila semua tuduhannya dijawab oleh Tabung Haji, beliau hanya mendiamkan diri. Kini Rafizi muncul semula untuk menyerang Tabung Haji. Kali ini dengan matlamat yang sama untuk menonjol kononnya beliaulah pembela rakyat dan penegak kebenaran.

Beliau cuba menggambarkan bahawa kedudukan wang pendeposit dalam bahaya berikutan pelaburan yang dilakukan oleh Tabung Haji dalam industri minyak dan gas, namun sekali lagi tohmahan Rafizi dijawab oleh agensi itu yang memberi jaminan simpanan pendeposit kekal selamat dan dijamin kerajaan.

Tabung Haji juga menegaskan, agensi itu menjalankan pelaburannya selaras dengan dasar Alokasi Aset Strategik dan dakwaan bahawa pendeposit akan mengalami risiko kehilangan wang simpanan mereka adalah tidak benar dan berunsur fitnah.

Soalnya, adakah Rafizi akan mengambil kira jawapan balas ini? Sudah pasti tidak! Ini kerana niat Rafizi adalah untuk mengelirukan dan mewujudkan persepsi pendeposit-pendeposit terhadap Tabung Haji dan seterusnya memberikan keuntungan politik kepada pakatan pembangkang.

Rafizi sebenarnya mahu menumpang populariti Tabung Haji atau lebih tepat lagi memperalatkan Tabung Haji demi meraih sokongan politik. Rafizi tahu siapa yang menjadi pendeposit Tabung Haji iaitu kesemuanya orang Melayu.

Melalui serangan yang dilakukan Rafizi berharap pendeposit-pendeposit Tabung Haji akan menyokong pembangkang. Biasalah dalam keadaan terdesak untuk meraih undi, pembangkang bersedia berbuat apa sahaja termasuk memfitnah agensi seperti Tabung Haji.

Tetapi malangnya, Rafizi seolah-olah lupa soal dosa pahala. ­Bayangkan akibat fitnah beliau, sebanyak RM500 juta wang simpanan Tabung Haji dikeluarkan oleh pendeposit tahun lalu. Pada masa sama seramai 3,600 pendeposit turut membatalkan pendaftaran haji mereka.

Soalnya, adakah Rafizi berasa bertanggungjawab dengan tindakan pendeposit berkenaan? Sudah pasti tidak kerana bagi Rafizi apa yang penting beliau sudah berjaya mempengaruhi orang ramai mempercayai fitnahnya, sama ada mereka dapat menunaikan haji atau tidak, itu tidak termasuk dalam perhitungan beliau.

Atas sebab itulah, pendeposit-pendeposit Tabung Haji perlu berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan ‘badut politik’ seperti Rafizi. Sebaliknya, mereka perlu mendapat penjelasan daripada Tabung Haji jika mendengar apa-apa khabar atau berita.

Tetapi malangnya, sesetengah pendeposit terlalu mudah terpedaya apatah lagi kalau mereka adalah penyokong sesebuah parti politik pembangkang. Mereka tidak berfikir panjang sebaliknya akan mempercayai bulat-bulat fitnah oleh Rafizi,

Sebab itulah, ada antara mereka sanggup mengeluarkan wang simpanan di Tabung Haji dan membatalkan pendaftaran haji. Sebenarnya merekalah yang rugi kerana kesudahannya terbukti apa yang dikatakan oleh Rafizi hanyalah fitnah sedangkan peluang mereka untuk menunaikan ibadah haji boleh dikatakan tinggal angan-angan.

Oleh itu, jika benar-benar mahu menunaikan haji berilah kepercayaan penuh kepada Tabung Haji. Janganlah mempercayai dakyah politik apatah lagi kalau datangnya daripada Rafizi. Sudah terbukti sebelum ini banyak dakwaan beliau terhadap agensi kerajaan tidak benar.

Rafizi hanya mahu mencari populariti dengan menjadikan Tabung Haji sebagai sasaran kerana beliau tiada keberanian mendedahkan kepincangan yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor!