Begitulah antara cakap-cakap orang apabila tibanya penganjuran kempen Interaksi Dengan al-Quran, World #QuranHour.

Persoalannya, adakah usaha menyemarakkan budaya membaca dan menghayati al-Quran secara terbuka itu dianggap salah?

Sedangkan jelas dinyatakan dalam al-Quran dan hadis berhubung kelebihan serta ganjaran membaca kitab panduan umat Islam itu.

Apatah lagi diadakan secara besar-besaran dengan mengumpulkan segenap lapisan masyarakat tanpa membezakan latar belakang dan fahaman, tidak kira pemimpin negara sehinggalah kepada gelandangan di kota raya.

Malah, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Muhamad al-Bakri menerusi laman web rasminya Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayyan Linnas menyatakan bahawa Kempen #QuranHour yang dijadualkan secara berkala bukanlah bidaah yang buruk, sebaliknya adalah suatu bentuk kempen menggalakkan orang ramai supaya dekat dengan al-Quran.

Walau apa diperkatakan, tidak keterlaluan disifatkan penganjuran World #QuranHour yang memasuki tahun keempat pada tahun ini dilihat berjaya melakar sejarah tersendiri.

Ini kerana waktu penganjurannya yang dijadualkan pada 9 Zulhijah bersamaan dengan hari wukuf, jatuh serentak sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Bukan sahaja diadakan seperti kelaziman pada tahun-tahun sebelumnya, lebih istimewa apabila ia dapat diteruskan dengan program Merdeka #QuranHour.

Penganjuran ini secara tidak langsung memberi ‘nafas baharu’ dalam sambutan hari kemerdekaan negara apabila dipenuhi aktiviti kerohanian dan alunan bacaan al-Quran.

Ini sekali gus mencari keberkatan sebagai negara yang mulia di sisi Allah kerana penerapan roh al-Quran. Ini sebagaimana iktibar menerusi sejarah kota Mekah dan Madinah yang kini berkembang pesat kerana menjadi antara faktor yang dikaitkan dengan mukjizat teragung tersebut.

Buktinya, berasal dari satu kawasan padang pasir yang tandus dan tidak berpenghuni, dua kota kenabian itu kini subur dengan tumbuh-tumbuhan menghijau ser­ta pembangunan canggih, ma­lah menjadi tumpuan manusia seluruh dunia.

Justeru, ulama menyifatkan sesuatu yang dikaitkan dengan al-Quran akan dimuliakan oleh Allah dalam pelbagai nikmat sama ada disedari atau tidak. Begitulah juga bulan Ramadan dimuliakan oleh Allah berbanding bulan lain dengan menyediakan pelbagai ke­lebihan sehingga terdapat pada­nya satu malam yang bersamaan 1,000 bulan.

Perkara itu juga berikutan al-Quran diturunkan oleh Allah dari Lauh Mahfudz ke Baitul Izzah iaitu di langit dunia pada Ramadan. Ini sebagaimana firman Allah maksudnya: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia...” (Baqarah: 185)

Namun, untuk memperoleh negara yang dimuliakan Allah tersebut, perlu dimulakan dari akar umbi iaitu peringkat individu.

Tidak lengkap sekadar tahu dan membaca al-Quran tetapi hendaklah menghayati intipati serta pengajaran dalam al-Quran.

Walaupun merdeka secara zahirnya, namun ramai dilihat masih terkongkong dengan perbuatan maksiat yang membelenggu diri.

Realitinya, segala permasalahan sama ada aspek gejala sosial, moral dan integriti tidak henti-henti dilaporkan berlaku dalam kalangan masyarakat termasuk oleh umat Islam.

Tidak hairanlah muncul tanggapan Islamofobia. Ini secara tidak langsung memberi gambaran buruk bukan sahaja terhadap pelaku salah tetapi mempe­ngaruhi keseluruhan umat Islam.

Justeru, garis panduan yang lengkap dalam al-Quran merupakan landasan terbaik bagi umat Islam memerdekakan diri secara keseluruhannya.

Ibarat orang yang sesat di tengah gelap malam dalam hutan, tanpa sebarang petunjuk sudah tentu tidak akan menemukan jalan keluar.

Begitu juga kitab al-Quran yang diutuskan sebagai panduan kepada seluruh manusia bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Ia sebagaimana firman Allah maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) lurus dan memberi khabar gembira kepada orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh...” (al-Isra: 9)

Selain itu, dinyatakan juga dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW lain berhubung ke­lebihan membaca dan mengha­yati al-Quran, antaranya diangkat martabat oleh Allah, diberikan ketenangan, mendapat syafaat serta merupakan antara pelaburan di akhirat.

Jika kita sanggup berkorban masa dan tenaga seharian untuk memperoleh ganjaran dunia, mengapa tidak berusaha mengejar kelebihan akhirat yang kekal abadi selamanya.

Sehubungan itu, ambillah peluang bersempena penganjuran World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour pada hari ini untuk menjadi sebahagian daripada pe­lakar sejarah kemerdekaan da­lam gelombang al-Quran.