Jika diimbau sejarahnya secara ringkas, proses penurunan al-Quran bermula pada bulan Ramadan dengan ayat pertama yang diturunkan ialah surah al-Alaq (ayat satu hingga lima). Ketika lima ayat itu diturunkan melalui perantaraan Malaikat Jibril, Rasulullah SAW berada di Gua Hira menyendiri demi mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Sememangnya di saat Rasulullah menyendiri di gua tersebut, kehidupan masyarakat Arab Jahiliah amat teruk. Mereka hidup dalam kese­satan dan kegelapan. Mereka me­nyembah berhala, menjadikan wanita sebagai bahan mainan. Riba menjadi amalan, yang kuat berkuasa manakala yang lemah terus menjadi mangsa.

Akhirnya, dengan mukjizat al-Quran kehidupan masyarakat Arab Jahiliah yang dahulunya jauh daripada kebenaran kembali kepada fitrah sebagai umat yang diredai di sisi Allah SWT melalui gerakan dakwah Rasulullah SAW sambil dibantu oleh para Sahabat setia baginda selama 23 tahun.

Seperti mana firman Allah:”Bulan Ramadan yang pa­danya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”-al-Baqarah ayat 185. Inilah al-Quran. Kitab suci yang menjadi petunjuk, cahaya dan rahmat untuk sekalian manusia.

Dalam usaha kita mendapatkan kelebihan terutama dari sudut pengajaran daripada al-Quran, kitab suci ini bukan sekadar dibaca semata-mata tetapi perlu difahami melalui proses tadabbur dan tazakkur.

Atas faktor inilah sekreta­riat Gerakan #Quran Hour memulakan langkah mela­kukan satu lon­jakan paradigma dalam konteks al-Quran di Malaysia yang selama ini lebih tertumpu kepada amalan pembacaan semata-mata.

Bermula pada tahun 2015, Ge­rakan #Quran Hour di bawah Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) terus berperanan melakukan perubahan ini dengan turut menitikberatkan soal pemahaman setiap intipati dan kandungan al-Quran melalui satu konsep yang dinamakan sebagai QTT (Quran, Tadabbur dan Tazakkur)

Di bawah jenama World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, Arafah #QuranHour dan My Family #QuranHour, Gerakan #QuranHour berusaha melaksanakan program-program yang telah disusun sepanjang tahun bagi menghidupkan proses tadabbur dan trazakkur al-Quran agar umat Islam lebih faham tentang al-Quran.

Pengasasnya, Datuk Hussa­muddin Yaacub ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini berkata, sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia melakukan satu perubahan terhadap al-Quran iaitu kitab suci tersebut bukan sekadar dibaca semata-mata,

“Al-Quran adalah khazanah tidak ternilai. Dalamnya terdapat ilmu pengetahuan yang begitu hebat dan bagi mendapatkan ilmu-ilmu ini kita perlu mengga­linya melalui proses tadabbur dan tazak­kur. Yakinlah, jika ini mampu kita lakukan, kita akan menjadi seorang Islam yang berakhlak mulia,” ujar beliau.

Beliau berkata, antara faktor berlakunya kejatuhan akhlak umat Islam ketika ini adalah berpunca daripada kegagalan mereka memahami al-Quran, Itu yang menyebabkan katanya, terdapat pemimpin-pemimpin Islam yang melakukan rasuah dan tidak amanah, pekerja-pekerja Islam yang malas dan tidak efisien, perang sesama sendiri dan tidak tahu menjaga kebersihan hatta di masjid sekalipun.

“Sebab apa mereka berlaku sedemikian. Sebabnya mereka gagal memahami Al-Quran. Mereka gagal mengikuti setiap perintah Allah dalam al-Quran. Selain petunjuk, al-Quran juga adalah kita suci yang mampu menyelesaikan segala masalah daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya. Daripada hal rumahtangga sehingga hal melibatkan pemerintahan negara, semuanya terdapat dalam al-Quran,” ujarnya.

Berbalik kepada program #QuranHour yang telah dimulakan sejak tiga tahun lalu sehingga sekarang, Hussamuddin berkata, hasrat pihaknya untuk melihat satu gelombang perubahan terhadap amalan al-Quran melalui kempen #QuranHour sudah menampakkan hasilnya.

Malah penyertaan umat Islam di negara ini serta umat Islam di seluruh dunia dalam kempen #QuranHour katanya, semakin meningkat dari setahun ke setahun.

“Untuk makluman pada 2017 jangkauan di media sosial tentang program #QuranHour telah mencapai 357 juta capaian berbanding 87 juta capaian pada 2016. Kita berharap untuk tahun ini kita akan mendapat 1 bilion capaian melalui pelaksanaan World #QuranHour di seratus buah negara pada 7 Jun ini bersamaan 22 Ramadan,’’ kata Hussamuddin.

Ditanya program World #QuranHour pada tahun ini, Hussamuddin berkata, program peringkat perdana akan diadakan hari ini bersamaan 22 Ramadan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual berangkat ke majlis tersebut sebagai tanda sokongan baginda terhadap program berkenaan. Pada masa sama masjid-masjid dan surau-surau seluruh negara termasuk 49 buah negara seluruh dunia turut mengambil bahagian pada tarikh berkenaan.

“Hasrat kita dalam menjayakan program #QuranHour pada tahun ini juga, kita mahu umat Islam berinteraksi dengan al-Quran melalui kaedah baca, faham dan amal. Jika ketiga-tiga ini dapat kita amalkan, dengan izin Allah kita mampu melahirkan individu Islam yang berakhlak mulia,” katanya lagi.