Pertama sekali pada 2015 semasa tenang apabila mengetahui keputusan satu kes melibatkan dirinya akan diketahui sekitar Februari tahun itu. Dan kali kedua Sabtu lepas, que sera sera diungkapkan ketika ditanya respons kemungkinan UMNO menyertai Pakatan Harapan.

Que sera sera asalnya daripada bahasa Sepanyol yang menjadi popular selepas dijadikan lirik lagu pada 1956 oleh penyanyi Amerika Syarikat, Doris Day.

Daripada bait-bait lagu itu terkandung makna yang cukup mendalam.

ANWAR IBRAHIM
ANWAR IBRAHIM 

Kalau dikaitkan dengan Anwar, tentu sekali berkisar tentang laluan penuh onar berduri yang diharunginya sehingga menghampiri kemuncak politiknya hari ini.

Dan senario politik semasa di negara ini realitinya kalau que sera-sera tidak sahaja berkait dengan Anwar semata-mata, tempiasnya turut hinggap ke rata-rata mereka yang pernah atau kini menjadi pemain dalam lapangan itu.

Sesekali Tumpang lalu fikirkan sejenak, dalam politik kadang-kala lunas logik tidak dipentingkan. Kebanyakan yang jadi ikutan adalah sentimen semerta.

Bertembung, bertentangan, berselisih pendapat dan bertaut kembali sesama pemain politik bukan perkara luar biasa. Lihat sahaja peranan pemimpin terdahulu, kisah Tunku Abdul Rahman dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam boleh disingkap kembali sebagai satu bab pertembungan sengit sehingga ‘2 M’ terpaksa dipecat dari parti atas desakan Tunku dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, 1970.

Dr. Mahathir menulis surat terbukanya kepada Tunku, menyatakan kesilapan perjuangan Tunku yang didapatinya kurang tertumpu kepada kepentingan bumiputera dalam persaingan hak ekonomi negara.

Musa yang dikenali berpandangan tajam terhadap style pemerintahan Tunku menyebabkan beliau terpaksa merantau, belajar di Universiti Sussex, United Kingdom hampir dua tahun untuk memperoleh ijazah Masters sambil meredakan keadaan di Kuala Lumpur. Kedua-dua pemimpin ini dipandang radikal masa itu tetapi akhirnya bergabung menjadi pemimpin besar UMNO. Que sera sera.

Bagi seorang pemimpin UMNO dari Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah pula, hajat asal bukan hendak tubuhkan Parti Semangat 46 setelah tewas tipis 43 undi dalam perebutan jawatan Presiden UMNO 1987. Tujuan utama hendak hidupkan UMNO Lama dengan panggilan UMNO Malaysia setelah UMNO diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Malangnya pihak berkuasa enggan terima cadangan itu. Que sera sera, akhirnya Semangat 46 kembali ke pangkuan UMNO secara rasmi pada 6 Oktober 1996.

Sebelum 1997, gandingan Dr. Mahathir dan Anwar adalah masing-masing selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Mereka tak ubah macam isi dengan kuku.

Pemecatan Anwar pada 1998 mengakibatkan orang Melayu berpecah-belah dengan terbahagi kepada kem-kem tertentu. Demonstrasi jalanan dan reformasi serta fitnah-memfitnah menjadi tular dari mulut ke mulut sebelum kritikal dengan kedatangan laman sosial.

Selepas 18 tahun berlalu, Dr. Mahathir akhirnya berjabat tangan dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September 2016. Permusuhan dinoktahkan.

Que sera sera. Selama lebih 60 tahun UMNO dan Pas berseteru sejak Haji Ahmad Fuad Hassan meninggalkan UMNO pada 1951 sehingga membawa kepada penubuhan Pas. Tetapi hari ini dua parti terbesar orang Melayu itu bertaut atas prinsip sama memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

Que sera sera, lagu bernada anak-anak dan ringkas tetapi memiliki makna cukup mendalam. Menghayatinya membuatkan Tumpang lalu mengingatkan diri sendiri akan keperluan menjalani hidup sebagai manusia yang bersahaja, manusia seutuhnya dan manusia yang baik. Yakni, tetap melangkah dan menerima apapun yang terjadi nanti.

Begitu pun, walau apa lagu untuk menginspirasi - que sera sera kah, waima falsafah itu dan ini pun - Tumpang lalu cukup insaf dan ingin berkongsi dengan sesiapa pun pemain dalam lapangan politik ini - jangan dilupai bahawa nasib, jatuh bangun dalam politik adalah kehendak dan ketentuan-Nya.