Misalnya, jabatan itu berjaya mencatatkan pencapaian melebihi 100 peratus bagi tiga petunjuk prestasi utama (KPI ) yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Tahun lalu, JIM juga memperkenalkan sementara Enforcement Card atau e-Kad bagi membolehkan majikan yang menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI ) mendaftarkan pekerja mereka.

Mulai 1 Januari lalu, JIM melaksanakan Sistem Maid Online (SMO) bagi membolehkan majikan memohon pembantu rumah asing secara atas talian dan tidak perlu lagi menggunakan ejen. Ketua Pengarah Imigresen, DATUK SERI MUSTA FAR ALI berkata, pada tahun ini, JIM akan memberikan fokus kepada elemen pendidikan kepada masyarakat dan memutuskan rantaian kesalahan, di samping meneruskan tindakan operasi dan menambah baik perkhidmatannya kepada rakyat.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNI ZAR AHMAD TERMIZI, beliau berkata, orang ramai sering menuding kesalahan kepada JIM apabila melibatkan penguatkuasaan ke atas warga asing, sedangkan ia memerlukan tindakan bersama daripada jabatan dan agensi lain yang berkaitan serta masyarakat sendiri.

"Kalau pasar di kawasan Seri Muda, Shah Alam itu didominasi warga asing sama ada izin atau tanpa izin, kenapa mereka dibenarkan untuk berniaga? Sepatutnya premis itu untuk warga tempatan," katanya. Dalam perbualan selama kira-kira 21 minit itu, beliau turut mengulas tentang beberapa isu lain melibatkan jabatan tersebut.
 

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat pencapaian JIM sepanjang tahun lalu?

MUSTAFAR: Kita berjaya mencatatkan pencapaian melebihi 100 peratus bagi tiga KPI yang ditetapkan kepada JIM oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun lalu. Bagi KPI pertama berkenaan kelulusan pas penggajian dalam tempoh lima hari, JIM mencapai 120 peratus berbanding sasaran 80 peratus.

KPI kedua yang menyasarkan 70 peratus bilangan permohonan pembaharuan pasport Malaysia antarabangsa secara atas talian yang lengkap diluluskan dalam masa sejam, realitinya JIM mencapai lebihan sasaran iaitu sebanyak 143 peratus.

KPI ketiga iaitu sasaran pelaksanaan secara purata 850 operasi penguatkuasaan JIM dan bermula November 2017 sasaran dinaikkan kepada 1,300 operasi sebulan, JIM telah mencatatkan pencapaian 120 peratus iaitu sebanyak 1,559 operasi sebulan dilaksanakan.

Ini merupakan pencapaian yang luar biasa. Ini adalah hasil kesiapsiagaan, kecekapan dan latihan yang diberikan kepada pegawai di samping menambah baik sistem pengoperasian JIM melibatkan sistem atas talian. Sistem atas talian ini banyak membantu dari segi kecepatan dan ketepatan, selain daripada menjimatkan. Dalam soal pembayaran elektronik (e-Pembayaran) misalnya, ia memudahkan orang ramai memperbaharui pasport. Mereka boleh buat di rumah dengan selesa. Inilah yang masyarakat hendak. Kalau ada perkara yang bagus, sudah tentu masyarakat hendakkan yang lebih baik.

Saya sebut sekali lagi tentang pembaharuan pasport tadi, tidak ada negara di dunia yang membuat dan mendapat pasport baharu itu dalam tempoh satu jam. Bagi yang memperbaharui secara atas talian pula, ia boleh dilakukan dalam tempoh kurang daripada 15 minit. Buat (memperbaharui pasport) di rumah, bayar secara atas talian dan selepas itu pergi ke pejabat kita untuk buat serahan sahaja. Ini tidak dibuat di negara-negara lain.

Tetapi kita tetap memastikan soal keselamatan dan kedaulatan negara tanpa kompromi. Maknanya, kita buat pemeriksaan pelbagai peringkat lapisan. Ini bukan dilakukan di JIM sahaja tetapi bersama-sama dengan jabatan-jabatan lain yang mempunyai kaitan dengan kita.

Misalnya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Semalam, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan bersama rombongannya datang berjumpa saya. Kita tingkatkan lagi kerjasama dengan elemen rakan strategik. Di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga ada isu orang asing memandu kenderaan yang ada banyak saman dan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kalau orang asing tidak mematuhi undang-undang kita, perkara ini kita tadbir bersama JPJ baik secara atas talian atau sekatan-sekatan tertentu dibuat.

Contohnya, kalau orang asing mempunyai tabiat memandu di bawah pengaruh alkohol dan berulang kali melakukan kesalahan sehingga boleh membahayakan keselamatan rakyat kita, JPJ boleh buat sekatan seperti tidak dibenarkan memandu langsung.

JIM pula boleh mengambil tindakan termasuk menghalang mereka masuk ke negara kita atau kita usir mereka, lebih-lebih lagi sekiranya mereka terlibat dengan jenayah.

Ini merupakan ketetapan kita bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara tanpa kompromi.

Mungkin Datuk Seri boleh beritahu secara ringkas tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh JIM sehingga mampu mencatatkan peratusan yang begitu tinggi?

MUSTAFAR: Kita bukan sahaja melakukan penambahbaikan di peringkat dalam JIM, tetapi kita juga bekerjasama dengan agensi-agensi yang bersama dengan kita. Misalnya, kita buat kolaborasi dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Talent Corporation Malaysia Bhd. (TalentCorp) melibatkan isu pegawai dagang. Kita juga bekerjasama dengan Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam soal pengambilan pelajar antarabangsa.

Inilah kesepakatan yang bukan sahaja mendapat kerjasama yang amat baik bagi mempercepatkan proses yang sepatutnya dilakukan oleh JIM, malah kerjasama itu dapat dirasakan oleh masyarakat.

Tahun lalu, terdapat beberapa isu negatif melibatkan JIM. Apakah usaha JIM bagi mengatasi masalah tersebut?

MUSTAFAR: Di mana-mana jabatan dan negara di dunia tidak sunyi dengan ancaman. Dalam mendepani permasalahan ini, tentunya kesiapsiagaan kita dalam mengukuhkan integriti, memastikan kesiapsiagaan profesionalisme pegawai, sistem prosedur dan soal undang-undang serta mesra amat penting.

Jadi, tiga elemen yang kita sebutkan sebagai slogan di imigresen, kita tukar kepada mekanisme adanya pendekatan dan strategi. Hari ini kita lancarkan buku pelan strategik JIM. Dalam pelan strategik ini ada teras, program dan KPI yang kita hendak capai pada tahun ini. Jadi inilah yang kita sasarkan untuk tahun ini bagi memastikan yang cemerlang pada tahun lalu, kita laksanakan berterusan dengan penambahbaikan manakala permasalahan yang ada itu sebagai satu pengajaran.

Apabila permasalahan itu ada, orang di luar sana sentiasa melihat itu sebagai satu peluang. Kalau mereka tidak dapat peluang cara biasa, mereka akan cuba untuk menyimpang daripada norma-norma biasa. Maka, mereka menjadi punca kepada permasalahan itu. Apabila disahuti mereka di dalam yang menjadi parasit menyebabkan isu timbul, maka inilah yang kita sentiasa perbaiki. Alhamdulillah dengan jumlah aduan yang dapat diminimumkan dan tindakan-tindakan tegas yang kita ambil, ini merupakan ketetapan bahawa kesiapsiagaan dan penambahbaikan dilakukan.

November tahun lalu, JIM memperkenalkan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) bagi menawarkan perkhidmatan jabatan itu kepada masyarakat kawasan luar bandar. Apakah JIM ada rancangan untuk menambah kemudahan ini dalam masa terdekat?

MUSTAFAR: Mobile CTC ini adalah bas yang diberikan oleh Kementerian Kewangan dan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk, Perak pada tahun lalu. Walaupun baru sebuah bas, insya-Allah kita akan dapat beberapa peluang lagi. Mungkin kita akan berbincang dengan Kementerian Kewangan supaya diberikan lagi kemudahan itu kerana kita perlu melihat dan mendengar denyut nadi masyarakat.

Tentunya, kita sebagai masyarakat umum mahukan capaian-capaian terbaik yang dekat, cepat, mudah dan menjimatkan. Bayangkan kalau orang di kawasan terpencil hendak pergi ke tempat yang jauh, mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan, meninggalkan perniagaan, perladangan, pertanian atau pekerjaan mereka hanya untuk mendapatkan satu permohonan pasport.

Sebab itu, konsep kita sekarang ialah pergi kepada masyarakat bagi memastikan pencapaian perkhidmatan awam itu benar-benar dapat mereka hargai dan kita pun berpuas hati kerana dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Pada masa sekarang, Mobile CTC itu tidak mempunyai kemudahan untuk mengeluarkan terus pasport. Keadaan itu sudah tentu menyusahkan pemohon yang tinggal di kawasan jauh dari pejabat imigresen untuk menuntut pasport mereka.

MUSTAFAR: Buat masa ini memang di dalam bas itu, kerana beberapa isu teknikal misalnya peralatan yang digunakan, ia tidak boleh dibuat semasa bas bergerak. Tetapi oleh sebab ada sistem atas talian, kalau di kawasan pedalaman itu ada capaian Internet, kita akan dapat satu peluang untuk membolehkan urusan memproses permohonan dan memperbaharui pasport dilakukan.

Insya-Allah kita akan cuba melakukan penambahbaikan termasuk ke peringkat Mobile CTC boleh mengeluarkan pasport. Tetapi dalam masa yang sama, saya hendak sebutkan sebab kita perlukan sistem itu adalah kerana capaian untuk menentukan keselamatan. Misalnya tidak memberikan pasport kepada orang yang tidak wajar, sistem Internet mesti kuat. Kalau di luar bandar, kadang-kadang sistem Internet itu kurang kuat, maka sukar untuk kita laksanakan. Yang keduanya, peralatan-peralatan yang perlu kita bawa sebab ia menggunakan mesin cetak dan beberapa peralatan lain yang juga sangat sensitif.

Namun, Mobile CTC bukan hanya menyediakan kemudahan permohonan berkaitan pasport, masyarakat juga boleh menukar tempat itu sebagai tempat pertanyaan dan mendapatkan khidmat nasihat seperti tentang pekerja asing, pembantu rumah, ekspatriat dan apa juga kesempatan pelaksanaan tugas oleh JIM.

Baru-baru ini, Jabatan Imigresen Selangor menahan 69 PATI dalam operasi di sekitar Seksyen 25, Shah Alam, Selangor. Namun, ada segelintir masyarakat mengatakan JIM hanya melakukan operasi selepas seorang peniaga kosmetik maut ditetak sekumpulan warga Indonesia di kawasan tersebut tiga hari sebelumnya. Komen Datuk Seri?

MUSTAFAR: Saya boleh sebutkan kita sudah buat operasi banyak kali. Ada tempat yang sudah berulang sehingga lima kali tetapi mereka masih lagi menggunakan tempat itu. Pernah dalam satu kawasan majlis perbandaran, 25 kali operasi dilakukan di premis itu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi tempat itu dioperasikan semula oleh tuan punya premis. Sebab itu, saya tekankan tentang memutuskan rantaian kesalahan. Kalau pasar di kawasan Seri Muda, Shah Alam itu didominasi warga asing sama ada izin atau tanpa izin, kenapa mereka dibenarkan untuk berniaga? Sepatutnya premis itu untuk warga tempatan.

Maknanya warga tempatan menyewakan tempat itu kepada warga asing. Dapat komisyen RM1,000 pun jadilah. Pendatang asing pula mendapat keuntungan berlipat ganda. Adakah kita hendak jadikan negara kita sebagai kuli kepada warga asing? Ini tentunya kita tidak akan benarkan.

Kita sudah melakukan operasi memutuskan rantaian kesalahan. Pihak PBT bersama kita akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas. Pihak-pihak berwajib dalam soal pendaftaran perniagaan juga perlu bertindak. Sekiranya tempat itu tidak sepatutnya disewakan, kita perlu batalkan lesen kepada penyewa orang tempatan itu dan berikan kepada orang yang hendak berniaga, bukan kepada pendatang asing.

Kita perlu tegas dalam hal ini. Kalau tidak, sampai bila pun kita akan diperkotak-katikkan dalam soal ini. Orang akan nampak JIM sahaja sedangkan ada satu lagi tindakan bersama-sama dalam pelbagai agensi atau institusi yang perlu dilakukan.

Bermula 1 Januari lalu, penggajian pembantu rumah asing sudah boleh dilakukan menerusi Sistem Maid Online (SMO). Bagaimana Datuk Seri melihat sambutan yang diberikan oleh majikan dalam tempoh sembilan hari ini?

MUSTAFAR: Dalam tempoh lapan hari atau enam hari selepas ditolak cuti umum baru-baru ini, lebih 111,000 pelawat mengakses sistem atas talian itu. Daripada jumlah itu, seramai 3,141 majikan telah mendaftarkan diri dan mendapatkan login masuk bagi memohon pembantu rumah asing. Seramai 36 majikan telah berjaya melengkapkan urusan pendaftaran dan mereka akan menjadi kumpulan pertama berjaya mendapat pembantu rumah asing menerusi sistem SMO sekiranya mendapat kelulusan saringan kesihatan pekerja daripada Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

Kita menyediakan prasarana yang baik kepada masyarakat selain sistem atas talian itu memudahkan, cepat, tepat dan menjimatkan kerana mereka cuma perlu membayar RM1,635 berbanding jumlah sebelum ini.

Meskipun kemudahan ini disambut baik oleh masyarakat tetapi ada juga sebahagian yang masih sinikal. Mereka mengatakan kemudahan itu hanya menghapuskan keperluan menggunakan khidmat ejen di Malaysia tetapi masih perlu bergantung kepada ejen di negara sumber. Pandangan Datuk Seri?

MUSTAFAR: Itu suara-suara kerisauan masyarakat. Walau bagaimanapun, kerisauan itu merupakan satu peluang kepada perbincangan lanjut yang akan kita lakukan dengan negara-negara yang masih mengatakan begitu dan perbincangan itu sentiasa kita lakukan. Satu ketetapan akan diumumkan nanti.

Kita mengambil positif terhadap rungutan dan pandangan mereka. Apabila sesebuah jabatan hendak mencemerlangkan sesebuah organisasi, rungutan itu merupakan satu sudut pandangan untuk kita tambah baik peluang. Kita tidak dibuai mimpi indah pencapaian kejayaan.

Akhir sekali, apakah sasaran dan usaha penambahbaikan yang dirancang oleh JIM pada tahun ini?

MUSTAFAR: Kita telah meletakkan sasaran-sasaran yang penting dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Dalam KDN ada dua NKEA dan kedua-duanya diletakkan di bawah JIM. Pertama, NKEA melibatkan pegawai-pegawai dagang, dalam tempoh lima hari kita luluskan 100 peratus permohonan selepas buat tapisan dan sebagainya. Yang kedua, dalam tempoh tiga hari kita selesaikan pembaharuan pas pegawai-pegawai dagang ini.

Dalam soal operasi, kita masih berpegang kepada operasi setiap hari dan jumlah operasi yang dilaksanakan. Tetapi kita lonjakkan kepada penyelesaian kes-kes selepas kita buat tangkapan.

Tahun ini juga akan menyaksikan peningkatan keberadaan anggota penguat kuasa JIM di lokasi-lokasi strategik menerusi Unit Penguatkuasaan Bergerak atau Mobile Enforcement Unit. Unit ini akan diperbanyakkan secara berperingkat-peringkat sehingga ke peringkat negeri.

Dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara tanpa kompromi, JIM akan mengenakan tindakan tegas kepada PATI dan majikan. Pada tahun ini, kita akan memastikan setiap majikan yang melindungi dan menggaji PATI akan didakwa di mahkamah termasuk menguatkuasakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Kemudian dalam soal pembaharuan pasport diluluskan dalam masa sejam, kita mahu pencapaian 100 peratus dikekalkan berbanding sasaran 70 peratus pada tahun lalu.

Selain itu, kita akan menambah baik dan mempercepatkan sistem atas talian yang sedia ada. Bagi yang belum ada atau belum mantap, kita akan perkukuhkan. Misalnya, cara pembayaran yang masih menerusi kad kredit, kita akan tambah kad debit. Selain itu, cakupan untuk mendekatkan JIM kepada masyarakat. Kita tidak tunggu masyarakat datang kepada kita tetapi kita pergi kepada masyarakat.

Strategi melibatkan punitif iaitu penguatkuasaan akan terus dilakukan. Sekiranya kita buat pencegahan lebih awal, memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) yang ada dan tambah baik sistem, tidak wujud masalah orang hendak cuba cari jalan pintas dan menyeleweng.

Satu lagi ialah elemen pendidikan. Sebab itu saya selalu tekankan tentang hubungan dengan masyarakat. Kita pergi dan berikan pendidikan sama ada dalam bentuk poster, ceramah, seminar atau sesi dialog yang banyak kita lakukan sejak kebelakangan ini yang turut melibatkan duta-duta negara luar. Jadi pada tahun ini, fokus kita ialah menjalinkan hubungan dengan masyarakat selain memutuskan rantaian kesalahan.