Menurut Zahida, sebagai pembangkang, usaha untuk merekrut ahli atau rakyat yang ingin bersama-sama berjuang tidak lagi sesukar sebelum ini. Katanya, kepercayaan rakyat kepada UMNO akan datang dengan sendirinya apabila kerajaan hari ini gagal menunaikan janji, menindas rakyat dan mengabaikan soal hak-hak sesuatu kaum.
“Dalam perjuangan, prinsip saya mudah. UMNO tidak perlu bersusah payah menegakkan perkara yang sukar. Kita jalani hari mendatang dengan gerak kerja dan perancangan yang telah digariskan,” katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI.

 

MINGGUAN: Tahniah terpilih sebagai Ketua Puteri UMNO yang baharu. Dalam keadaan UMNO kehilangan kuasa dan tiada apa-apa untuk ditawarkan, kenapa Datuk memilih untuk bertanding sebagai Ketua Puteri UMNO?

ZAHIDA: Saya membuat keputusan untuk menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Puteri lebih kepada keyakinan saya pada perjuangan parti keramat ini dalam usaha mengembalikan perpaduan, kekuatan dan kelestarian negara pada masa depan.

Fakta membuktikan bahawa parti ini tidak melakukan apa-apa kesalahan dan saya tidak boleh lari meninggalkan perjuangan murni ini demi kepentingan peribadi semata-mata.

Ramai sudah menjangkakan kemenangan Datuk sebagai Ketua Puteri kerana Datuk adalah Naib Ketua Puteri UMNO sebelum ini. Tetapi bagaimana Datuk melihat sokongan yang diberikan oleh perwakilan kepada Datuk?

ZAHIDA: Alhamdulillah, penerimaan ini merupakan satu pengiktirafan ahli-ahli Puteri pada gerak kerja dan sumbangan saya selama ini. Kemenangan besar ini juga merupakan satu cabaran kepada saya untuk memulakan satu lonjakan baharu dalam usaha menarik golongan muda menyertai parti ini.

Desakan supaya UMNO berubah sudah lama kedengaran dan semakin jelas apabila UMNO dan BN kalah dalam PRU-14. Sebagai Ketua Puteri UMNO, perubahan yang bagaimanakah Datuk mahu bawa ke dalam Pergerakan Puteri?

ZAHIDA: Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan memulakan beberapa pendekatan baharu yang akan menunjukkan bahawa Puteri UMNO memang bersedia untuk berubah selari dengan kehendak anak-anak muda masa kini.

Dalam melakukan perubahan ini pasti ada yang bersetuju dan tidak bersetuju, namun bagi saya, itu tidak penting. Apa yang mustahaknya, kita perlu dilihat benar-benar ingin melakukan transformasi secara total.

Kalau dibandingkan dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), UMNO dilihat kurang ikon wanita muda yang dapat menarik minat golongan muda kepada parti itu. Apakah aspek ini akan diberikan penekanan dan apakah yang dilakukan untuk melahirkan ikon Puteri UMNO?

ZAHIDA: Kita ada ramai ikon yang diperkenalkan selama ini. Macam-macam anugerah kita bagi kepada ikon anak muda. Cuma kita tidak menggunakan ikon kita secara ekstrem sebagaimana Pakatan Harapan menggunakan ikon anak muda dalam parti mereka. Jika itu yang anak muda harapkan, ya, puteri UMNO akan ke arah itu.

Usaha untuk memulihkan UMNO tidak mudah kerana mungkin sebahagian ahli akan lari ke parti PH kerana “semut akan pergi ke mana ada gula”. Ada pihak mengatakan selama ini UMNO cuma melahirkan ramai 'pekerja berbayar' dan bukannya pejuang parti. Bagaimana datuk akan menangani cabaran ini?

ZAHIDA: Bukan semua orang berjuang atas kepentingan peribadi atau kerana imbuhan. Saya tidak akan merendahkan imej ahli-ahli Puteri dengan bercakap atau melabel mereka berjuang untuk upah. Saya yakin di luar sana ramai yang ikhlas dalam perjuangan.

Perkaderan adalah penting bagi melahirkan pemimpin pelapis. Apakah program yang akan dilaksanakan oleh Puteri UMNO bagi memupuk jati diri ahli Puteri yang menghayati dan ikhlas dalam perjuangan?

ZAHIDA: Ya, saya akui perkaderan adalah asas utama kelangsungan sesebuah parti. Persoalannya apakah kita gagal selama ini? Kita ada Biro Tatanegara (BTN), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), persatuan pelajar dan sebagainya, namun kita tetap gagal memenangi hati pengundi muda dalam PRU-14.

Apa yang ada di atas kertas tidak semudah untuk dilaksanakan. Biarlah saya terjemahkan gerak kerja perkaderan ini dengan cara yang berlainan daripada saya bercakap soal ‘blueprint’ dan perancangan yang biasa. Tunggu dan lihatlah nanti.

Walaupun pemilihan UMNO baru-baru ini ibarat pertandingan dalam keluarga, tetapi tak dapat dinafikan bahawa ada ahli dan pemimpin yang mungkin kecewa dengan keputusan dan dibimbangi UMNO terus berpecah. Apakah pesanan Datuk kepada pemimpin dan ahli UMNO?

ZAHIDA: Semua pemimpin dan ahli UMNO perlu sedar bahawa perpecahan dalam keluarga tidak akan membawa ke mana. Yang penting sebagai pemimpin, saya menghormati segala keputusan yang telah dibuat. Insya-Allah kita akan bergerak ke depan untuk bangkit kembali dengan semangat juang yang lebih membara.

Media sosial kini adalah platform penting untuk menyampaikan maklumat dan berkempen. Bagaimana Puteri UMNO akan memanfaatkan platform ini?

ZAHIDA: Kalau dilihat sebelum PRU-14, UMNO memang menguasai media sosial. Cuma kita gagal menguasai untuk mengubah persepsi buruk rakyat kepada kerajaan.

Hari ini boleh dikatakan semua anak muda mempunyai sama ada Facebook, Instagram atau Twitter. Persoalannya, berani atau tidak ahli UMNO berhujah dengan penyokong kerajaan?

Senario hari ini berbeza. Ini kerana dahulu kita berhujah menyokong kerajaan tetapi hari ini kita tak perlu mengajak rakyat bersama kita kerana secara tak langsung rakyat yang marah akan menunjukkan emosi mereka kepada pemerintah. Usaha merekrut tak sesukar dahulu lagi.

Dengan pelbagai imej negatif yang terpalit kepada UMNO sekarang, apakah usaha Puteri untuk mememulihkan imej ini bagi mendapatkan kepercayaan rakyat?

ZAHIDA: Kepercayaan rakyat akan datang dengan sendirinya bila kerajaan hari ini gagal menunaikan janji, menindas rakyat dan mengabaikan soal hak-hak sesuatu kaum.

Dalam perjuangan prinsip saya mudah, UMNO tidak perlu bersusah-payah menegakkan perkara yang sukar. Kita jalani hari mendatang dengan gerak kerja dan perancangan yang telah digariskan.