Dalam sejarah kerajaan Jawa, ada tercatat nama Raden Puteri Mas Nyawa yang juga digelar Raden Puteri Ratna Gumilah Sari atau Puteri Siti Jamilah. Puteri ini merupakan puteri dari Negeri Demak di Pulau Jawa yang dikatakan telah datang ke Pulau Besar, Melaka pada ketika negeri itu muncul sebagai pusat perdagangan yang pesat membangun di Nusantara pada abad ke-14.

Setelah Majapahit jatuh, muncul Kerajaan Islam Demak yang dipimpin oleh sultan pertamanya, Sultan Alam Akbar Al-Fatahillah atau lebih dikenali sebagai Raden Fatah.

Mengikut catatan sejarah Jawa lagi, Raden Puteri Mas Nyawa dilahirkan sebelum Raden Fatah diangkat menjadi sultan pertama Demak lagi. Ibunya Raden Siti Murtassimah merupakan anak perempuan kepada Raden Rahmat atau lebih dikenali sebagai Sunan Ampel di Tanah Jawa.

Menurut Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin, sebelum berhijrah ke Pulau Besar, Raden Puteri Mas Nyawa telah berkahwin dengan Pangeran Adipati Seberang Lor atau dikenali dengan nama Pati Unus dan mempunyai dua orang putera iaitu Raden Abu Bakar dan Raden Abu Said. Pati Unus merupakan Sultan Demak kedua selepas kemangkatan Raden Fatah.

Sekitar tahun 1500-an, Puteri Mas Nyawa atau Puteri Siti Jamilah bersama-sama suaminya, Pati Unus dan dua putera mereka belayar ke Pulau Besar, Melaka yang ketika itu sudah menjadi tumpuan pengembangan Islam di Melaka.

“Beberapa tahun selepas itu, Melaka diserang Portugis dan Pati Unus dan anak-anaknya turut terlibat dalam mempertahankan serangan itu di Pulau Besar. Namun, ketiga-tiga mereka mati syahid dan dimakamkan di pulau itu,” katanya.

Selepas kematian suami dan anak-anaknya, Puteri Mas Nyawa dikatakan menyepi ke Gunung Ledang. Di situ, Puteri Mas Nyawa dikatakan mendalami ilmu agama Islam yang tertumpu kepada ilmu sufi. Ketika inilah Puteri Mas Nyawa mendapat gelaran Puteri Gunung Ledang.

Kata Rosli, kedalaman ilmu sufi yang dimiliki Puteri Mas Nyawa menyebabkan ia tersebar sehingga ke beberapa kawasan dan daerah berdekatan dan sekitar Gunung Ledang melalui pengikut-pengikut Puteri Mas Nyawa.

Sementara itu, seorang pengkaji sejarah bebas yang juga pengamal perubatan Islam, Sheikh Mohamad Din Sheikh Abdul Jalil berkata, ketika Melaka jatuh ke tangan Portugis bermula 1511, Demak menghantar armada perang bagi menyerang Melaka namun serangan itu gagal.

Serangan tersebut diketuai oleh Pati Unus yang menjadikan Pulau Besar sebagai markas operasi tentera serangan Demak ke atas Portugis. Ketika itu, Syeikh Mohamad Din berkata, Puteri Ratu Mas Nyawa telah berada di Pulau Besar kerana menuntut ilmu agama daripada Maulana Ishaq Sayyid Ibrahim dan Sheikh Ismail Abdul Qadir atau terkenal dengan gelaran Sultan Ariffin.

Katanya, dari situ juga, Sultan Melaka telah terpaut hati dengan Puteri Mas Nyawa yang juga digelar Puteri Gunung Ledang sehinggakan mahu memperisterikannya walaupun puteri itu masih lagi isteri orang. Maka atas nasihat Maulana Ishaq dan guru agama lain di Pulau Besar, Puteri Mas Nyawa mengemukakan syarat peminangan yang tidak masuk akal dengan harapan sultan berkenaan akan berputus asa.

Sheikh Mohamad Din yang sebelum ini mengkaji secara mendalam mengenai susur galurnya di Pulau Besar berkata, Puteri Mas Nyawa dikatakan tidak mempunyai waris lagi apabila anak-anak dan suaminya terkorban ketika serangan di Pulau Besar.

Malah makam Puteri Mas Nyawa yang meninggal dunia selepas itu dikatakan berada di Pulau Besar. Pulau Besar sememangnya terkenal dengan pusat penyebaran dan pengembangan agama Islam sejak kurun ke-14 sebaik dibuka oleh Sultan Ariffin.