Janganlah kalian membunuh orang tua yang lanjut usia, bayi, anak-anak, wanita, dan jangan kalian mencuri harta rampasan perang, dan kumpulkan dan serahkanlah (seluruh) ghanimah kalian, bersikap baiklah dan berbuat baik­lah kerana sesungguhnya Allah SWT menyukai orang berbuat baik.”

Hadis ini menuntut agar warga emas, kanak-kanak dan wanita dilindungi dalam peperangan. Peperangan adalah satu bentuk bencana kepada manusia, sama seperti bencana alam yang lazim dihadapi seperti banjir besar, tsunami, gempa bumi dan angin taufan.

Maka, dalam apa-apa bentuk bencana sekalipun, warga tua, kanak-kanak dan wanita perlu dipelihara dan kebajikan mereka perlu dijaga. Hakikat bahawa ketiga-tiga golongan ini disebut secara khusus oleh Rasulullah SAW mungkin menunjukkan bahawa golongan ini memerlukan perhatian khusus sepanjang krisis bencana ini.

Apa keperluan ketiga-tiga golongan ini? Dari pengamatan penulis, terdapat beberapa kajian dijalankan mengenai bencana di Malaysia yang memberi fokus kepada wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Hakikatnya, faktor sosiobudaya telah mewujudkan keperluan dan kebimbangan khusus dalam kalangan mangsa banjir wanita. Didapati bahawa wanita menghadapi masalah-masalah berikut dalam situasi banjir:

(a) Tiada prosedur serta arahan jelas dan sistematik - golongan ibu tunggal merasakan mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya.

(b) Wanita terpaksa bergantung kepada jaringan sosial suami untuk mendapat bantuan - ini menjadi satu kekurangan kepada ibu tunggal.

(c) Wanita menghadapi ma­sa­lah untuk menjaga aurat di tempat awam (pusat pemindahan) - isu ini mungkin berkurangan sejak keluarga-keluarga di pusat pemindahan diberikan khemah-khemah khas untuk tujuan memberikan sedikit sebanyak ruang peribadi kepada mereka.

(d) Tiada capaian kepada bantuan kerana bantuan tidak diagihkan secara sama rata antara mang­sa di pusat pemindahan de­ngan mangsa menumpang di rumah saudara-mara.

Adalah diharapkan, pada masa-masa akan datang, jentera kerajaan yang membantu mangsa banjir dapat memberi arahan jelas - khususnya untuk kebaikan ibu-ibu tunggal memiliki anak kecil dan merancang prosedur yang lebih sistematik untuk mendaftar mangsa banjir dengan memberi keutamaan kepada ibu tunggal, warga emas dan keluarga yang ramai anak.

Ibu-ibu menyusukan badan dan bayi mereka juga terkesan dengan bencana banjir ini dan memerlukan perhatian khusus. Antara perkara yang merisaukan ibu-ibu ini ialah:

(a) Kurangnya ruang peribadi untuk mereka menyusukan anak-anak mereka di pusat-pusat pemindahan - isu ini juga selesai dengan pemberian khemah-khemah khusus buat setiap keluarga di pusat-pusat pemindahan.

(b) Sumbangan susu formula, puting dan botol susu tidak terkawal menggugat amalan menyusu badan.

(c) Salah faham berleluasa menjejaskan aktiviti menyusu badan di pusat-pusat pemindahan.

Maka, untuk memelihara dan menyokong penyusuan ibu, para pengkaji mencadangkan beberapa perkara. Pertama, penyusuan ibu perlu dipromosikan secara bersungguh-sungguh di pusat-pusat pemindahan kerana susu ibu sentiasa berada dalam keadaan nyahkuman (sterilised) dan antibodi dalam susu ibu mengelakkan bakteria dan patogen daripada melekat pada usus bayi dan ini mengurangkan risiko cirit-birit dan penyakit berjangkit yang lain dalam kalangan bayi di pusat-pusat pemindahan.

Kedua, sumbangan susu formula, puting dan botol susu perlu dielakkan dan penyusuan ibu yang sepenuhnya perlu dianjurkan ketika bencana. Akhirnya, salah faham yang tidak menggalakkan penyusuan ibu di pusat pemindahan perlu dihentikan dan digantikan dengan kempen ‘Berikan ibu pemakanan yang sihat agar dia dapat menyusukan bayinya’.

Selesai membentangkan hasil kajian penulis ini dalam sebuah bengkel antarabangsa anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Universiti Kyoto pada Mei lalu, penulis ditanya pengkaji dari Indonesia dan Jepun sama ada pernah berlaku kejadian mencabul kehormatan wanita di pusat-pusat pemindahan di Malaysia kerana ia berlaku di negara mereka.

Alhamdulillah, setakat ini tiada laporan berlakunya kes-kes seumpama itu.

PENULIS ialah Felo Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (Emas), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).