Jolokan ‘bajet keluarga’ menular susulan begitu banyak peruntukan untuk wanita hamil, cuti bersalin, Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) malah suami juga boleh balik kerja awal jika isteri sudah sarat mengandung.

Namun, satu peruntukan ‘kecil’ diumumkan Perdana Menteri sebenarnya bakal membawa perubahan besar kepada cara dan suasana kerja di negara ini jika berjaya dilaksanakan ke seluruh Malaysia.

Arahan mewajibkan semua bangunan pejabat baharu menyediakan pusat asuhan kanak-kanak, bermula di Kuala Lumpur, sebenarnya satu perubahan sangat besar dan dijangka memberi impak lebih besar kepada sistem sosioekonomi rakyat dan juga ekonomi negara berbanding ­inisiatif lain sebelum ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz sendiri mengesahkan Jumaat lalu bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memulakan dasar tersebut dengan mensyaratkan bangunan baharu menyediakan pusat jagaan kanak-kanak berkuat kuasa serta merta.

Tetapi, adakah pendekatan ini dilihat sebagai satu bentuk ganjaran bagi golongan pekerja atau menyusahkan majikan?

Kajian menunjukkan manfaat besar kepada sesebuah organisasi jika kakitangan mereka gembira, bukan sahaja melalui imbuhan tunai dan menjaga kebajikan malah lebih utama lagi impak tugas di pejabat kepada hubungan kekeluargaan pekerja.

Kajian Yayasan Kanak-kanak Bright Horizons di Britain dan Ireland menunjukkan impak besar pusat asuhan kanak-kanak terhadap kerja dan hubungan kekeluargaan malah mungkin menjadi penentu sama ada mereka berhenti atau berpindah tempat kerja.

Kajian itu mendapati 96 peratus ibu bapa merasakan penyediaan pusat asuhan kanak-kanak menjadi titik tolak untuk menerima tawaran dan kekal di sesebuah premis kerja.

Sebanyak 85 peratus pekerja mengakui situasi di pusat asuhan luar atau jauh dari tempat kerja boleh menjejaskan tumpuan dan produktiviti kerja.

Kira-kira 75 peratus lagi res­ponden merasakan majikan mereka mengutamakan kebajikan pekerja khususnya dalam mengimbangi antara hidup dan pekerjaan sekiranya pusat asuhan disediakan di pejabat, malah 63 peratus sanggup bekerja lebih masa dan lebih keras jika anak mereka ada berhampiran.

Tiga perempat pekerja yang ditemui turut yakin dapat memenuhi tuntutan kerja kerana beban kewangan dan kebimbangan sebagai ibu bapa jauh lebih rendah jika anak berada di pusat asuhan di pejabat mereka.

Perkara sama dilalui hampir semua ibu bapa muda mahupun yang mempunyai anak kecil terutama sekali jika kedua-duanya bekerja sepenuh masa, khusus­nya melibatkan kesukaran mencari pusat asuhan, caj tinggi dan ­paling penting, tahap ­keselamatan premis tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim tahun lalu mendedahkan sebanyak 938 buah taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan 747 buah pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar telah dikesan dan dikenakan tindakan.

Ini termasuk 53 Taska dan 18 pusat jagaan haram sepanjang 2016 di samping beberapa premis lain yang dibatalkan lesen selepas audit menunjukkan mereka gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

“Kita bukan berniat untuk menghukum sebaliknya mahu mendidik pengusaha supaya lebih berdisiplin dan tidak memandang mudah dalam hal ini, ­memandangkan ini melibatkan keselamatan seseorang,” katanya.

Faktor keselamatan, kos dan lokasi ini menjadi penyebab ramai pekerja wanita memilih untuk menjadi suri rumah atau bercuti panjang untuk menjaga anak seterusnya menjejaskan operasi organisasi tempat mereka bekerja.

Semua masalah ini boleh diatasi sepenuhnya jika pusat asuhan dibuka di tempat kerja malah pekerja mudah memantau situasi anak dan senang dihubungi pengasuh jika berdepan sebarang masalah.

Inisiatif ini sangat besar bagi sektor kerja yang tidak mempunyai waktu kerja tetap dan kerap kerja lebih masa memandangkan sukar mendapat pengasuh pada saat akhir malah dikenakan caj tambahan tinggi sekiranya lewat mengambil anak.

Dengan bantuan kepakaran dan kewangan kerajaan, pusat asuhan di pejabat dapat mengurangkan kos penjagaan anak malah menyediakan pengasuh terlatih dalam premis selamat dan dekat dengan ibu bapa.

Kesan berangkai menjimatkan perbelanjaan melalui inisiatif ini juga tidak dapat menandingi impak dalam merapatkan hubungan ibu bapa dengan anak dari kecil seterusnya mengubah sistem sosial sedia ada.

Banyak masalah sosial yang dihadapi masyarakat di negara ini berkait rapat dengan jumlah waktu diluangkan ibu bapa bersama anak malah kekesalan utama rata-rata rakyat Malaysia adalah tidak mampu meluangkan lebih masa bersama ketika anak masih kecil.

Bagi majikan yang masih ragu-ragu dengan inisiatif ini, mereka perlu sedar bahawa langkah ini bukan sahaja akan mengurangkan cuti kecemasan, cuti sakit dan balik awal malah pekerja tidak ‘lari jauh’ dari pusat asuhan di pejabat berbanding merayau di luar pada waktu rehat mahupun waktu kerja.

Inisiatif ini melibatkan hubungan kemanusiaan dan kekeluargaan! Oleh itu, janganlah dilihat dari sudut kos dan kewangan semata-mata kerana sebagai ibu bapa, setiap manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk meluangkan lebih masa bersama anak-anak mereka.