Dalam Perlembagaan negara telah wujud peruntukan khusus tentang Islam sebagai agama negara dan agama lain bebas diamalkan secara aman dan harmoni. Peruntukan ini amat jelas memberikan perlindu­ngan terhadap kekuatan agama Is­lam yang tidak mungkin dicabar kedudukannya, dan sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan, maka kerajaan itu haruslah me­nghormati dan melindungi ke­dudukan Islam seperti yang termaktub itu.

Dan pada masa sama memberikan perlindungan kepada agama-agama lain yang mahu diamalkan oleh penganut masing-masing dalam keadaan aman dan harmoni.

Sejarah pembangunan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah SAW sehingga ke zaman kegemilangan Islam yang telah bertapak di Eropah dan China telah membuktikan bahawa konsep ‘satu’ agama yang merujuk kepada agama tauhid yang merangkumi sistem akidah, syariah dan moral penganut Islam sentiasa mempunyai prinsip memberikan kebebasan beragama kepada semua orang dan menghormati penganut agama lain dan amalan yang mereka lakukan dalam agama mereka.

Sejarah juga membuktikan bahawa pemerintahan Islam semasa Rasulullah SAW di Madinah dan semasa Islam memerintah Andalusia telah berlaku adil terhadap semua rakyat tanpa sebarang tekanan yang boleh membawa kepada konflik yang akan me­nimbulkan perpecahan dan sengketa dalam masyarakat. Dasar ini dihormati dan difahami oleh semua warga yang menjadi rakyat di bawah pemerintahan itu, lalu tidak terdapat sebarang gerakan atau pengkhianatan yang berlaku dalam kalangan rakyat sehingga memungkinkan timbulnya rasa resah gelisah dan tidak puas hati di antara rakyat.

Berdasarkan hakikat ini juga­lah, maka penganut agama bukan Islam semestinya mengambil iktibar daripada perjalanan sejarah ini demi menjaga keamanan dan kekuatan Malaysia sendiri.

Sejak kita mencapai kemerdekaan dan semenjak ber­kuatkuasanya Perlembagaan, aga­ma Islam adalah agama negara dan Raja-Raja Melayu merupakan sebuah institusi yang menjaga dan melindungi hal elwal agama Islam.

Yang di-Pertuan Agong dalam lafaz penerimaan pelantikan baginda, melafazkan bahawa ba­ginda akan melindungi agama Islam di negara ini. Maka dalam konteks inilah pemerkasaan Institusi Diraja adalah sesuatu yang wajib dipupuk. Hakikat ini juga merupakan satu kontrak sosial yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun kerana sejarah telah membuktikan bahawa persetujuan untuk memaktubkan Islam sebagai agama negara adalah suatu kesepakatan di antara Almarhum Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan ketua parti politik MCA dan MIC yang mewakili tiga kaum terbesar rakyat Malaysia ketika itu.

Hal ini saya sebutkan, kerana senario masyarakat dunia hari ini telah menyaksikan kelahiran golongan radikal dan ekstremis dalam kalangan pelbagai agama di seluruh dunia.

Kita menyaksikan kelahiran ekstremis agama dalam kalangan penganut agama Kristian, Hindu, Buddha, dan Islam sendiri yang bertindak ganas menyalahgunakan agama dan memperalatkan agama untuk golongan yang tertentu. Atau kerana kepentingan diri sendiri.

Keganasan dan kekejaman se­sama manusia sering dilakukan oleh kumpulan radikal agama untuk tujuan tertentu dan perbuatan segelintir penganut agama itu sering menjatuhkan imej penganut agama itu keseluruhannya. Hal inilah yang seharusnya difahami masyarakat dunia bahawa aktiviti ganas yang dilakukan golongan radikal itu tidaklah harus dikaitkan dengan ajaran agama mereka kerana agama sentiasa membawa mesej perdamaian dan keamanan untuk semua manusia.

Dalam falsafah ketuhanan um­pamanya, tidak mungkin sebarang penganut agama lain akan menimbulkan sebarang bantahan di atas cara penyembahan dan definisi ketuhanan masing-ma­sing kerana dalam hal ini Perlembagaan kita juga memberikan kebebasan kepada semua penganut agama yang berbeza-beza untuk mengamalkan agamanya secara aman dan harmoni.

Umat Islam di Malaysia tidak pernah mempersoalkan tentang acara-acara keagamaan Hindu, Kristian, Buddha dan sebagai­nya yang diamalkan di negara ini pada hari-hari perayaan keagamaan atau di rumah-rumah ibadat mereka kerana hal itu adalah ritual mereka masing-masing.

Demikian juga penganut aga­ma lain tidak seharusnya mempersoalkan konsep ketuhanan dan ritual serta pelaksanaan syariah agama Islam yang sebe­narnya kerana umat Islam le­bih memahami dasar agama dan ajarannya dalam kalangan masyarakat mereka.

Dasar tanpa ganggu mengganggu dalam ajaran agama inilah yang dapat membentuk satu kekuatan bangsa dan rakyat mengikut konsep unity in diversity dan peaceful coexistence.

Konsep inilah yang seharusnya didukung oleh seluruh rakyat Malaysia dalam menegakkan hak dan tanggungjawab bangsa Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama ini.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).