Walaupun sudah beberapa ta­hun konvensyen berkenaan ber­lalu, kertas kerja yang dibentangkan itu masih relevan untuk dijadikan rujukan oleh semua pihak.

Banyak saranan masih boleh diguna pakai terutama ketika masyarakat baru-baru ini dikejutkan dengan berita seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 52 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didapati menyimpan wang tunai RM800,000 dalam stor kediamannya.

Wang tunai itu sudah tentu bukan wang gaji sebaliknya suspek dipercayai berperanan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi dan rumah urut untuk diagih­kan kepada beberapa pegawai kanan polis di Melaka.

Kenapakah masih ada anggota polis tidak berpegang kepada in­tegriti? Adakah faktor utama gejala itu berlaku kerana sikap ber­­kenaan tidak disemai sejak mereka berusia muda lagi?

Integriti atau kejujuran bererti seseorang itu tidak akan melakukan sebarang salah laku walaupun tiada siapa yang mengetahui kecuali Allah SWT.

Antara perkara menarik yang dibincangkan adalah ketika sesi bertajuk, Keluarga: Dekat Tapi Jauh yang menampilkan dua ahli panel iaitu perunding motiva­si keluarga, Zaid Mohamad dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Dr. Raj Abdul Karim.

Kedua-dua ahli panel terbabit sependapat bahawa keluarga adalah komponen terpenting dalam proses pembentukan masyarakat dan negara berintegriti.

Namun budaya masyarakat sekarang yang mengutamakan kebendaan menyebabkan ibu bapa sibuk bekerja bagi mendapat sebanyak mungkin wang dan harta sehingga menyebabkan masa berkualiti bersama keluarga turut terabai.

Menurut ahli-ahli panel berkenaan, ibu bapa perlu berperanan secara lebih berkesan dalam menerapkan integriti dalam kalangan ahli keluarga dan tidak menjadikan sibuk bekerja sebagai alasan tidak berbuat demikian.

Ibu bapa mesti mencari masa dan ruang untuk bersama-sama anak-anak dan bukan sekadar bergantung harap kepada guru-guru di sekolah.

Mereka perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya untuk makan malam, beriadah dan beribadat bersama-sama.

Dalam kes anggota dan pegawai polis yang ditahan SPRM di Melaka, kebanyakan mereka dilahirkan pada era 1960-an dan 1970-an. Ketika itu pun ibu bapa sudah menghadapi kesukaran untuk mendidik anak-anak untuk menjadi individu berintegriti.

Kesukaran itu sudah tentu semakin bertambah lagi pada zaman sekarang apabila anak-anak asyik dilalaikan dengan pelbagai perkara negatif yang disifatkan oleh ahli-ahli panel berkenaan sebagai penjajahan alaf baharu.

Ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak menghabiskan terlalu banyak masa menonton televisyen, menggunakan komputer dan telefon pintar serta permainan video.

Satu kesimpulan penting daripada sesi itu adalah perlakuan ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak. Ini bermakna tiada guna memberi banyak nasihat kepada anak-anak supaya mengutamakan integriti jika ibu bapa sendiri tidak melakukan perkara yang betul termasuk menerima rasuah.

Ahli-ahli panel berkenaan turut berpandangan, salah satu punca anak-anak terlibat dengan salah laku adalah faktor struktur keluarga tidak stabil apabila ibu bapa bercerai atau kerap bergaduh sehingga menyebabkan kanak-kanak berkenaan tidak men­dapat perhatian dan kasih sayang sewajarnya.

Mereka tidak dibelai, dipeluk dan dicium oleh ibu bapa. Tiada juga masa khusus disediakan untuk semua ahli keluarga bersantai bersama-sama. Ini menyebabkan anak-anak tiada tempat untuk mengadu dan berkongsi segala masalah dihadapi mereka.

Anak-anak ini lebih banyak menghabiskan masa bersendirian ataupun bersama-sama rakan yang dirasakan boleh memahami jiwa mereka. Kanak-kanak ini juga cenderung untuk terpengaruh dengan kawan-kawan dan orang yang berada di sekeliling mereka.

Sehubungan itu, ibu bapa per­lu bertoleransi dan berkorban ba­gi mewujudkan keluarga bahagia. Hargai setiap masa bersama ke­luarga dan jangan kedekut untuk memberikan hadiah kepada anak-anak sebagai galakan apabila mereka melakukan perkara-perkara yang positif.

Sementara itu, majikan tidak harus memaksa pekerja membuat kerja lebih masa terlalu kerap sehingga mereka tidak mempunyai banyak masa terluang untuk bersama-sama keluarga.

Selain itu, majikan perlu memberi kelonggaran kepada pekerja untuk balik awal bagi menguruskan anak-anak dengan syarat kerja dapat diselesaikan mengikut waktu ditetapkan.

Kerajaan juga perlu mewajibkan majikan menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi memboleh­kan anak-anak mendapat perhatian sewajarnya walaupun ibu bapa bekerja.

Ketika sesi itu, ahli-ahli panel berpendapat, kurang sokongan daripada majikan menjadi pun­ca ibu bapa terpaksa mengutamakan kerjaya berbanding keluarga.

Walaupun sudah ada organisasi yang mempraktikkan bekerja dari rumah untuk pekerja wanita­nya, namun pelaksanaan itu belum meluas.