ZAINI UJANG
ZAINI UJANG

Kalau dilihat pada laporan Panduan Industri Air Malaysia (MWIG) 2017 yang dikeluarkan oleh Persatuan Air Malaysia (MWA), Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dalam pelbagai masalah melibatkan perkhidmatan bekalan air pada 2015 dan 2016.

Misalnya, kes paip pecah atau bocor, gangguan bekalan air dan aduan gangguan bekalan air yang berlaku di Selangor adalah yang tertinggi di Malaysia walaupun statistik tersebut turut merangkumi Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Masalah tersebut akan terus berlaku dan menyusahkan kehidupan seharian penduduk selagi Kerajaan Negeri Selangor tidak melengkapkan perjanjian bagi penstrukturan semula industri air di negeri berkenaan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, melihatkan kadar simpanan air bersih terawat kosong peratus, penstrukturan semula industri air adalah jalan penyelesaian terbaik kepada isu tersebut.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan ABD. AZIZ ITAR di pejabatnya Jumaat lalu, beliau berkata, isu air Selangor perlu ditangani secara profesional berdasarkan fakta dan perancangan jangka panjang.

"Jika isu ini terus dipolitikkan tanpa memahami konsep bekalan air yang lestari, maka lebih parah mudaratnya kepada rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan, termasuk sektor industri dan perkhidmatan," katanya.


MINGGUAN: Apakah isu utama bekalan air di Selangor?

ZAINI: Isu utama ialah tahap perkhidmatan air yang rendah. Ini dapat kita analisis menerusi laporan tahunan MWIG 2017 terbitan MWA, KeTTHA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang menunjukkan rungutan paling banyak sekali tentang gangguan bekalan air adalah di Selangor (termasuk juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya).

Daripada keseluruhan 161,857 gangguan bekalan air yang berlaku di seluruh negara pada 2016, sebanyak 80,125 gangguan berlaku di Selangor. Daripada keseluruhan 416,201 aduan gangguan bekalan air dari seluruh negara pada 2016 pula, lebih separuh iaitu 259,537 aduan dilaporkan di Selangor.

Ini jauh lebih tinggi berbanding dengan Johor, Melaka dan Pulau Pinang yang telah menjalankan proses migrasi ke sistem penstrukturan air yang lebih sistematik.

Dari segi sumber air ketika ini, Selangor mempunyai sumber air yang mencukupi. Namun demikian, sumber air baharu perlu diperolehi dengan adanya pembangunan pesat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor selatan.

 

Kalau dilihat pada laporan MWIG 2017, masalah paip pecah dan bocor paling kerap berlaku Selangor. Kenapa?

ZAINI: Jawapannya, keseluruhan sistem bekalan air tersebut sudah sampai pada tahap optimum dari segi sumber, rawatan dan pengagihan air. Sistem tersebut perlu ditambah baik secara struktural yang memerlukan lebih banyak aset air (infrastruktur) untuk menampung permintaan air yang semakin bertambah dengan adanya kepesatan ekonomi dan kependudukan.

Ramai bertanya kenapa paip agihan air utama selalu pecah? Ini terjadi kerana paip agihan tersebut sudah lama, berada dalam keadaan di bawah tekanan sebab keperluan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan sekarang ini lebih daripada kapasiti bekalan air yang mampu dihasilkan menerusi reka bentuk asalnya. Selain itu, berlaku korekan menerusi pelbagai aktiviti lain yang seringkali menyebabkan kerosakan paip agihan.

Laporan MWIG 2017 juga menunjukkan penggunaan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih tinggi daripada sebahagian negeri lain, iaitu 234 liter perkapita sehari dan melebihi purata kadar penggunaan air negara sebanyak 209 liter perkapita sehari. Sasaran Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) ialah 180 liter perkapita sehari.

Apakah Selangor tidak mempunyai simpanan air bersih terawat mencukupi yang boleh digunakan pada waktu kecemasan?

ZAINI: Ketika ini keupayaan membekalkan air bersih yang telah dirawat dalam loji rawatan air di Selangor adalah sangat kritikal. Menurut laporan MWIG 2017, margin simpanan air di Selangor ialah kosong peratus.

Dari segi amalan, margin simpanan air perlulah pada tahap antara 10 peratus. Di Pulau Pinang misalnya, margin simpanan air melebihi 30 peratus. Itulah sebabnya jarang berlaku catuan air walaupun kerja pembaikan loji atau paip berjadual atau sebaliknya sentiasa berlaku.

Sekiranya margin simpanan air adalah kosong peratus, ini bermakna semua air yang dirawat dan diagihkan telah digunakan sepenuhnya tanpa ada lebihan yang mencukupi untuk disimpan dalam tangki besar bagi sebarang kemungkinan berlakunya kerosakan loji, paip pecah atau musim kemarau.

Perlu juga dijelaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah mengusahakan pembinaan off-river storage (ORS), iaitu simpanan air di tebing Sungai Selangor dan Sungai Semenyih. Ini satu langkah yang baik. ORS terbaharu iaitu di Sungai Semenyih boleh membekalkan air sebanyak 100 MLD.

Bagaimanapun dari segi keseluruhan sumber air yang diperlukan iaitu lebih 4,800 juta liter sehari (MLD), jumlah tersebut sangat sedikit dan tidak mencukupi.

 

Mungkinkah krisis bekalan air ini berlaku kerana kelemahan penyelenggaraan dan pengurusan sumber air?

ZAINI: Kebanyakan masalah berpunca daripada masalah aset air yang lama dan tidak mencukupi dari segi keupayaan. Mengapa masih menggunakan aset lama seperti loji dan paip agihan? Ini kerana pelaburan yang besar diperlukan.

Kenapa syarikat operator air tidak melabur untuk meningkatkan tahap perkhidmatan? Kerana mekanisme dan sistem semasa sudah tidak relevan dan perlu dipertingkatkan. Inilah yang hendak dilaksanakan menerusi penstrukturan air yang lebih sistematik dalam kerangka Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (WSIA 2006).

Antara masalah utama di Selangor dan Kuala Lumpur ialah reka bentuk paip agihan yang berbentuk jejari. Ini bermakna jika berlaku kebocoran paip yang perlu dibaik pulih maka keseluruhan kawasan tersebut akan mengalami gangguan bekalan air.

Hal ini boleh diatasi dengan menambah baik paip agihan sedia ada yang berbentuk jejari, iaitu dengan membentuk sistem grid. Ini akan menambah connectivity (sambungan) dalam sistem bekalan air sedia ada.

Dalam keadaan semasa, dengan margin 0 peratus sistem grid ini tidak boleh berfungsi. Jadi tahap margin simpanan perlu ditingkatkan melebihi 10 peratus agar lebihan air dapat disalurkan ke kawasan yang bermasalah.

Ini adalah perancangan KeTTHA, di mana Loji Rawatan Air Langat 2 dijangka akan siap sepenuhnya pada 2022 dengan membekalkan 1,130 MLD. Pada pertengahan 2018, kita menjangkakan fasa pertama Langat 2 akan siap dengan membekalkan 565 MLD, insya-Allah.

 

Apakah jalan penyelesaian terbaik kepada krisis air di Selangor?

ZAINI: Buat masa ini, dengan kadar margin simpanan air pada kadar kosong peratus, bermakna penstrukturan air adalah jalan penyelesaian yang paling rasional.

Ia membolehkan Selangor mendapat kemudahan pembiayaan PAAB bagi membangunkan aset-aset air yang diperlukan. Menerusi WSIA, tugas membangunkan aset air dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan.

PAAB bertanggungjawab mendapatkan dana pada kadar termurah untuk membina loji rawatan, membina dan mengganti paip. Sementara syarikat air akan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri menerusi pengambil alihan ekuiti syarikat konsesi air dengan pembiayaan oleh PAAB.

Syarikat operator air yang dikenali Air Selangor (AIS) akan hanya melaksanakan tugas operasi bekalan tanpa perlu mencari dana untuk membangunkan aset baru, atau menambah baik aset lama.

Isu air Selangor perlu ditangani secara profesional berdasarkan fakta dan perancangan jangka panjang.

Jika isu ini terus dipolitikkan tanpa memahami konsep bekalan air yang lestari, maka lebih parah mudaratnya kepada rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan, termasuk sektor industri dan perkhidmatan.

 

Apakah peranan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dalam proses migrasi? Bagaimana status perjanjian air yang telah ditandatangani sebelum ini?

ZAINI: Master agreement sudah ditandatangani pada 2014 yang melibatkan semua stakeholders (pihak berkepentingan). Namun demikian, syarat-syarat perjanjian masih belum dipenuhi.

Untuk membolehkan proses migrasi disempurnakan, Kerajaan Selangor perlu membuat tawaran harga kepada syarikat Splash untuk mengambil alih lebihan ekuiti sebanyak 70 peratus mengikut harga yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Kerajaan Persekutuan hanya bertindak sebagai pemudah cara berdasarkan prinsip willing seller and willing buyer.