MERUJUK laporan Utusan Malaysia, Padi: Petani Mengeluh Kadar Pemotongan Meningkat pada 5 April lalu bahawa petani mendakwa padi dijual kepada kilang Bernas di Peringat, Ketereh, Kadok dan Kok Lanas telah dipotong sehingga 30 peratus iaitu pemotongan lebih tinggi berbanding tahun lepas.

Hal itu dikatakan selepas kaedah pemutuan sebenar dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2016. Untuk makluman, pada 2015 pemutuan padi dijalankan secara ‘pemutuan tawaran’ setelah pelaksanaan pemutuan sebenar ditangguh sehingga Disember 2015. Kaedah pemutuan tawaran ini tidak menggambarkan mutu atau kualiti sebenar padi yang dihasilkan.

Merujuk dakwaan, Pihak Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Kelantan telah pun ke kilang Bernas Peringat pada 7 April lalu, dan pihak Bernas menjelaskan ia disebabkan pemutuan padi dibuat berdasarkan kelembapan, padi muda dan hampa.

Sebanyak 10,885 petani berdaftar di kilang Bernas Peringat dengan jumlah padi telah ­dituai sekitar 19.68 peratus manakala jumlah baki padi belum dituai ialah 96,693MT. Hasil analisis didapati jumlah pemutuan melebihi 30 peratus adalah sebanyak 1,531MT daripada 17,587MT dengan purata pemutuan padi sebanyak 26.68 peratus.

Berdasarkan sampel analisis dari kilang itu bagi musim 1/2016 sehingga 31 Mac 2016, pemotongan tinggi adalah disebabkan kandungan peratusan padi muda yang tinggi sehingga 21 peratus. Selain itu, pemutuan yang tinggi itu juga disebabkan belian dari kawasan luar pengairan.

Hasil rumusan mendapati pemutuan melebihi 30 peratus hanya melibatkan 1.531MT atau 8.7 peratus jumlah keseluruhan belian padi. Perkara itu di­sebabkan faktor cuaca, jumlah padi hijau (muda) dan padi di luar kawasan pengairan.

Kesimpulannya, jika padi berkualiti rendah, kadar pemutuan akan tinggi. Begitupun, pemantauan akan dibuat untuk memastikan potongan yang adil kepada petani dan secara tidak langsung bagi mendidik petani memastikan padi berkualiti tinggi.

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

Putrajaya