Sedangkan, cerdik pandai bersetuju dengan ungkapan yang boleh difahami sebagai, “sejarah itu berulang kembali kerana tidak ada seorang pun yang mahu mengambil pengajaran ketika ia berlaku buat pertama kali.” Sejarah akan kembali berlaku walaupun dengan bentuk berbeza, tetapi tetap membawa pengajaran yang sama. Hanya mereka yang mampu meneliti dan mengambil pengajaran, akan menghargai peristiwa-peristiwa yang berlaku dan menjadi sejarah.

Sebenarnya ada berbagai-bagai manfaat dengan mempelajari sejarah terutamanya yang relevan dalam persekitaran kehidupan kita. Bahkan, Ibn Khaldun dalam Muqadimah beliau menjelaskan bahawa sejarah adalah ilmu yang hidup dan mustahak bagi manusia untuk mendapat pengajaran. Bertitik mula sejarah sebagai ilmu, konsep ibrah dalam al-Quran dilahirkan sebagai pedoman dan te­ladan kepada generasi kemudian, yang harus disampaikan kepada generasi seterusnya.

Belajar tentang sejarah bangsa, memahami dan menghayatinya akan menyuntik perasaan bangga dan patriotik individu sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk mempertahankan negaranya. Seterusnya akan melahirkan jati diri yang tinggi serta membentuk keperibadian bangsa.

Bagaimana ia berfungsi? Sejarah akan menjelaskan tentang asal usul sesuatu bangsa. Akan mence­ritakan bagaimana sesebuah bang­sa melangsungkan kehidupan mereka malah ketika mereka membina peradaban yang dikagumi kawan serta lawan. Penerokaan dan penghayatan terhadap sejarah akan menjadikan individu atau bangsa itu mampu berdiri teguh, tidak mudah tenggelam punca, tercari-cari identiti terutamanya dalam suasana sengit globalisasi.

Ujar Ibn Khaldun lagi, sejarah adalah guru yang paling baik dalam menimba pengalaman menentukan senarai keutamaan dalam membina peradaban dan mengejar pembangunan dan kemajuan. Kejayaan harus dijadikan sebagai contoh dan teladan, sebaliknya kesilapan dan kecuaian yang berlaku pada masa lampau perlu dijadikan sebagai sempadan.

Bagi mengukuhkan pesanan Ibn Khaldun ini, dalam konteks yang lebih realistik dan semasa, beberapa tahun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berkata dalam ucapan beliau bahawa bagi menunjukkan kecintaan terhadap negara, generasi muda perlu diingatkan tentang rasa kekitaan, menghargai perbezaan dan persamaan, yang ia perlu wujud dalam jiwa setiap rakyat sebelum sesebuah negara terbentuk. Pengetahuan dalam subjek kemanusiaan se­perti sejarah, falsafah, kesusaste­raan, komunikasi, seni halus, serta subjek sains kemasyarakatan se­perti antropologi, ekonomi, sains politik dan seumpamanya adalah kunci untuk memperkukuhkan masyarakat kita sebagai rakyat Malaysia. Menurut beliau, subjek sejarah dan falsafah mampu menyediakan platform paling kukuh dan pengetahuan asas dalam proses pembinaan negara bangsa.

Kebijaksanaan individu mencari hikmah dan pengajaran yang terdapat pada peristiwa lampau yang telah berlaku, akan membentuk individu dan warga berkenaan agar berhati-hati supaya kisah-kisah kesilapan dan kecuaian masa lalu tidak akan berulang. Sebagaimana yang dipesankan oleh Ibn Khaldun sebelum ini, sejarah adalah guru penuh iktibar dan panduan masa kini serta masa hadapan. Malah ia boleh membantu kita untuk meramal masa hadapan.

Sehubungan dengan perkara ini, sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a. yang bermaksud, “Tidaklah seorang Mukmin terse­ngat bisa dari lubang (binatang berbisa) yang sama dua kali” membawa pengertian bahawa seharusnya individu bahkan umat Islam perlu mengambil pengajaran apabila berlaku kesilapan atau kecuaian. Pe­ngajaran yang diterima seharusnya mampu membentuk sikap berhati-hati, waspada dan bijaksana supaya tidak berulang lagi perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat.

Jika peristiwa Singapura purba boleh diterima sebagai sejarah, terdapat kisah-kisah yang amat signifikan yang boleh dijadikan sebagai pengajaran. Kisah yang melibatkan watak-watak bernama Raja Iskandar Syah, Sang Rajuna Tapa (seorang pembesar istana) dan pu­teri beliau yang berkhidmat sebagai dayang istana, hanya bermula de­ngan fitnah tetapi boleh berubah menjadi provokasi yang mampu membunuh tanpa usul periksa atau siasatan serta perbicaraan secara adil. Ketidakadilan dan kezaliman sudah pasti mengundang dendam dan amarah. Disebabkan kematian seorang mangsa keadaan, sebuah perasaan dendam telah membuka ruang dan peluang kepada kejatuhan sebuah kerajaan sehingga mampu mengusir raja pemerintah.

Pengajarannya, berhati-hatilah dengan sikap dan tindakan. Barangkali tanpa sedar kecuaian yang berlaku boleh mengundang kemalangan dan mudarat yang parah kepada banyak orang, masyarakat malahan sebuah negara.

Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini sejarah akan menjelaskan tentang asal usul individu dan sesebuah bangsa, dan ia akan menginsafkan individu agar mengamalkan konsep “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.” Konotasi ini bukan sekadar membawa makna kita me­netap di bumi mana kita berpijak, tetapi menjunjung norma dan budaya yang sudah lama mengikat masyarakat sedia ada. Sekali gus menjunjung sistem sosial dan perundangan yang menyusun kehidupan bermasyarakat.

Perundangan sesebuah ma­sya­rakat, bangsa dan negara juga ada latar belakang dan kisah sejarah yang tersendiri. Undang-undang masyarakat sesebuah tempat juga melalui evolusi perubahan, malah penjajahan yang berlaku dalam sesebuah negara juga adalah sebahagian daripada sejarah yang perlu diterima hakikatnya. Maka sejarah sesuatu bangsa dan perundangan yang menjadi tiang seri kerukunan masyarakat perlu dipelihara bersama-sama. Mencabar undang-undang tanpa pengetahuan sejarah yang diterima kebanyakan orang hanya suatu tindakan yang akan melukakan masyaraka. Jika tidak dibendung, kelukaan itu boleh menjadi parah dan bernanah. Maka, pulanglah kepada sejarah kerana di situ terbitnya rasa hormat-menghormati dan dengannya persefahaman dapat dibina. Selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-61.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).