Takwa dalam bahasa mudah dihubungkan sebagai takutkan Allah (‘ittaqillah). Dalam bahasa syaraknya adalah kegentaran terhadap balasan Allah yang amat pedih. Di hari pembalasan nanti seluruh apa yang dilakukan dalam hidup ini akan dihisab.

Orang berjiwa muttaqeen semasa hidupnya akan sentiasa mendukung sesuatu yang makruf dan menjauhkan diri daripada kemungkaran.

Siyam adalah latihan rohaniah supaya kawalan diri sentiasa dijadikan pedoman.

Pengalaman berlapar dan dahaga di samping dapat mengawal hawa nafsu, hikmahnya adalah mencetuskan keinsafan mengenai hakikat lapar dan miskin. Lalu pe­ngalaman siyam menjadikan ahli ibadah orang yang sedar bahawa sifat pemurah dan tidak bakhil menyebabkan rasa peduli terhadap yang lain dirasai sama.

Siyam juga mencetuskan binaan jiwa tawaduk iaitu asas kepatuhan yang tinggi menginsafi kita ini hamba Allah dengan mengekang sifat sombong dan takbur yang menyalahi maksud solat yang kita lakukan seperti tarawih, qiam dan tahajjud yang melatih diri menjadi ibadullah dan ibadurrahman.

Siyam juga melatih diri supaya sabar dengan ujian dan kerenah nafsu. Mengawal dan menjinakkan nafsu supaya menjadi nafsul mutmainnah atau nafsu berjiwa tenang adalah amat penting kerana ia adalah bawaan diri yang fitrah. Kalau kekal dengan nafsul amarah yang tinggi ia tidak mengembalikan insan kepada fitrah.

Sekiranya ini terjadi jalan hidup yang dituju hasil siyam dan ibadah yang lain adalah kembali kepada iman dan takwa. Memang asal jadinya manusia adalah dalam keadaan fitrah.

Siyam dan ibadah lain diibaratkan sebagai madrasah rohiyyah melakukan tazkiah an-nafs atau penyucian dan pembersihan jiwa supaya jiwa yang kotor, hasad dan dengki, bengis dan berprasangka buruk kembali semula kepada diri secara fitrah.

Inilah yang menjadi maksud sebenar me­nga­pa siyam diwajibkan kepada orang-orang beriman supaya jalur muttaqeen menjadi sumber ikutan yang terbaik. Beza orang yang muttaqeen dengan orang yang tidak muttaqeen amat nyata.

Yang satu patuh, akur, taat dan tunduk kepada suruhan Allah dan yang satu lagi sentiasa dalam keingkaran dengan memiliki sifat-sifat mazmumah iaitu perangai-perangai yang terkeji.

Mengembalikan diri kepada fitrah adalah maksud utama untuk menjadi insan soleh dan solehah.

Sebab itu Aidilfitri yang bakal dirayakan nanti membayangkan tamatnya proses madrasah rohhiyyah selama sebulan. Ia adalah hari kemenangan yang merintis transformasi diri insan supaya kembali ke fitrah.

Darinya kita lakukan ziarah sesama kerabat dan ke­luarga mohon maaf yang tersilap dan terlanjur.

Kita temui teman dan kawan, sahabat dan taulan mengenai perbuatan masa lalu yang melukakan hati mereka.

Diziarahi anak yatim, golongan daif dan miskin, kelompok yang terbiar dan mereka yang tidak bernasib supaya makna Aidilfitri itu dirasakan sama.

Bayangkan golongan-golongan seperti ini yang sudah kehilangan suami atau isteri, yang sudah tiada kedua ibu bapanya, yang tua dan uzur akan merasakan sesuatu yang bernilai sekiranya diziarahi. Inilah asas ukhuwah yang dituntut agama kerana ia adalah tuntutan yang fitrah.

Kembalinya insan kepada fitrah memang sesuatu yang amat dituntut oleh Islam. Islam pada hakikatnya bukanlah sekadar suatu ritual atau memberi fokus kepada ibadah yang sifatnya khususiah semata tetapi kehebatan orang yang kembali kepada fitrah ialah perubahan watak dan peribadinya.

Perubahan ini amat besar ertinya dalam Islam. Al-Quran dalam surah al-Asr - Illallazi na’amanu waamilussalihat - orang yang beriman itu melakukan amal soleh adalah gambaran terbaik bagaimana keindahan Islam itu terlihat pada amalan dan perbuatan.

Justeru warga Madrasah Ramadan seharusnya memperkasa pembangunan dirinya supaya tidak saja perubahan dalaman berlaku tetapi juga perubahan pemikiran terjadi. Tarbiah Ramadan harus banyak membawa diri insan merenung ke dalam diri tentang betapa pentingnya kita kembali kepada kehidupan yang fitrah.

Jiwa muttaqeen yang dibina memberi erti seolah-olah kita ini dilahirkan semula.

Kalau pada masa-masa lalu banyak kesilapan yang dilakukan, abainya kita terhadap solat dan amalan-amalan yang fardu, serakahnya perangai kita terhadap pasangan dan anak-anak, sombongnya kita pada jiran dan kerabat, bongkaknya kita terhadap pangkat dan kedudukan, kita merasakan dunia ini segala-gala, Aidilfitri memberikan kita sempadan melakukan perubahan.

Membangun jiwa muttaqeen menjadi prasyarat untuk kita menyambut hari kemenangan di mana sebulan berpuasa memberi makna yang amat bererti kepada kita dan hari depan yang bakal dilalui.

Kemungkaran yang berlaku di masa lalu membawa kita ke jalan taubat supaya barakah dari Allah dapat dirasai.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).