Bagi orang Islam, kita beriman dengan hari akhirat dan juga hari kebangkitan semula untuk menerima suratan amal yang dikerjakan semasa hidup. Justeru, dalam bulan pertama tahun hijrah ini, ada satu amalan yang amat dianjurkan bagi kita melaksanakannya iaitu puasa sunat pada 10 Muharam. Ia juga disebut puasa hari asyura. Tahun ini tarikh itu jatuh pada lusa iaitu Ahad.

Galakan berpuasa ini disebut melalui hadis Nabi Muhammad SAW. Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari asyura, dan apabila difardukan puasa Ramadan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari asyura) maka dia boleh berpuasa dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Bagaimanapun, agak berat bagi orang awam untuk me­lakukan puasa sunat di kala pada masa sama orang sekeliling kita bebas makan dan minum. Kalau puasa Ramadan, ia lebih mudah kerana semua orang Islam yang mukalaf wajib puasa. Yang diberi pengecualian hanya orang yang uzur, musafir dan wanita yang haid.

Namun, dalam bulan lain, terutama pada 10 Muharam di sesetengah negeri dan kawasan penduduknya turun-temurun membuat bubur asyura. Ia adalah sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena 10 Muharam. Ada yang mengatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurangkan dan jangan dilebih. Jika tidak, ia bukan bubur asyura.

Sebab itulah, baginda SAW menjelaskan ganjaran atau kelebihan bagi mereka yang berpuasa pada hari asyura ini. Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh ba­ginda SAW bagi sesiapa yang berpuasa sunat ini amatlah besar. Antaranya, seperti diriwayatkan oleh Qatadah yang bermaksud: Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari asyura, lalu nabi SAW menjawab: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. (Riwayat al-Tirmizi).

Selain berpuasa pada hari asyura, umat Islam juga digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharam. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya: Daripada Ibn Abbas r.a berkata yang bermaksud: “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari asyura, baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9”. Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulama di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10. Ini kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya).

Menurut Imam al-Nawawi lagi: “Sebahagian ulama berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (al-Minhaj syarah Sahih Muslim, Bab al-Siyam)

Justeru, marilah kita rebut peluang pada bulan yang mulia ini untuk menambah amalan dengan berpuasa sunat. Hendaknya, jangan kerana sibuk menyediakan bubur asyura ia menghalang kita daripada melakukan puasa sunat.

Bubur itu boleh dimasak pada hari lain dan rasa ke­enakannya tetap sama. Namun, jika kita terlepas puasa sunat asyura tahun ini, belum tentu kita dapat melaksanakannya pada tahun depan. Sebabnya, bila datang ajal tidak dicepatkan atau dilambatkan walau sesaat. (al-A’raf: 34)