Sewajarnya kita ucapkan syabas kepada Perdana Menteri yang berjaya menerajui pelaksanaan program itu. Jika dianalisis dari sudut kuantitatif, semua fakta yang dipaparkan tidak boleh disangkal kesahihannya sebagai bahan bukti kejayaan. Malah banyak pihak termasuk beberapa pertubuhan antarabangsa yang sering kritikal terhadap Malaysia juga turut memperakui pencapaian Program Transformasi Ekonomi itu.

Pun begitu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) sebagai badan yang peka dengan pembangunan Agenda Bumiputera dan komited memperjuangkan agenda pertumbuhan bersama kesaksamaan (growth with equality) iaitu sebagai pathway kepada pembentukan agenda kemakmuran dan pembentukan kualiti kehidupan tinggi, agak risau kerana rekod laporan yang dibentangkan itu kurang membuat paparan dari sudut kualitatif, terutama;

(i) Jurang ekonomi antara golongan dalam kelompok Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB) berbanding dengan rakan mereka dalam kelompok firma asing Multi-National Corporations, (MNC) dan Komuniti Ekonomi bukan Bumipuera (KEbB),

(ii) Perbandingan antara wilayah,

(iii) Perbezaan antara strata dalam kelompok KEB itu sendiri dan,

(iv) Mobiliti sosial antara kelompok-kelompok ekonomi itu.

Sekadar renungan dan mengimbas kembali bagaimana kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di awal tahun 1970-an. Terikat bersamanya sebagai kembar kepada DEB itu ialah kenyataan Rukun Negara dan buku Revolusi Mental.

Rukun Negara adalah pengikat ketaatan rakyat kepada negara dan jambatan perpaduan sesama rakyat, disemai bermula dibangku sekolah. Hasratnya, semua pihak menerima agenda pembangunan negara masyarakat majmuk mengikut acuan kita sendiri.

Buku Revolusi Mental pula lebih kepada usaha pembinaan minda terutamanya bangsa Melayu, untuk bangkit memajukan diri, dan mampu menjadi bangsa berdaya-saing. Bila saya menyorot kembali kepada era itu, agendanya fokus kepada dua misi utama;

(i) Pembasmian kemiskinan

(ii) Penguncupan jurang

ekonomi.

Saya terpanggil untuk merujuk kepada buku tulisan Dr. Muhammed Khalid dan rakan-rakannya berjudul The Colour of Inequality. Kenapa kajian itu dijalankan dan kenapa begitu judulnya, pun sudah cukup untuk menarik perhatian kita untuk membaca dan memahami isi kandungannya.

Rupa-rupanya, apabila tamat hayat DEB (1970-1990), jurang ekonomi terutama antara KEB lawan KEbB sebenarnya kembali melebar. Prof. Dr. Jomo Sundram pula melihat pembesaran jurang itu dari sudut penguasaan ekuiti oleh pihak asing yang dikatakan mengembalikan kita ke era kolonialisme.

Keutamaan

Saya tidak pasti terdapat mana-mana pihak menjalankan kajian mengaitkan kejayaan PTE dengan jurang ekonomi, terutama antara kaum, pertumbuhan bersama kesaksamaan dan peningkatan kualiti hidup. Kajian Dr. Muhammed itu pun tidak mengkhusus atau mengaitkannya dengan PTE secara langsung. Ia merujuk kepada realiti berturutan, tercetus hasil daripada beberapa pelan pembangunan sebelum ini, sejak era DEB (1970-1990) hingga ke era MBE (2010-2020).

Saya cuba kaitkan penemuan yang dinyatakan dalam buku itu dengan prestasi semasa PTE. Pertama, hakikatnya sektor swasta itu didominasi oleh MNC dan KEbB.

Kedua, betul ada juga dalam kalangan KEB berdaya saing tinggi, yang mampu seiringan dengan prestasi rakan mereka dalam kalangan KEbB. Contohnya, Mydin, Jakel dan beberapa lagi, tetapi bilangannya teramat kecil.

Ketiga, diukur berdasarkan indeks kualiti kehidupan, kita belum pun berada dalam kelompok 20 terbaik dunia.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga Disember 2015, lebih 90 peratus usahawan KEB berada dalam kategori Usahawan Mini & Mikro.

Itu hakikatnya. Maknanya, majoriti kerabat KEB masih belum cukup kuat untuk bersaing atas kudrat masing-masing, apatah lagi budaya mereka dalam bisnes masih lagi cenderung sebagai pemain solitaire. Mereka masih perlukan program keusahawanan yang berpendekatan hand-holding.

Saya maksudkan pendekatan hand-holding ini tidak sama dengan budaya tongkat yang sering disindirkan kepada KEB. Pendekatan hand-holding ibarat ‘abang long’ dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat perusahaan awam (Public Enterprise Agencies, PEA) seperti MARA, FGV dan PKEN. Abang-abang Long ini yang sewajarnya membimbing ‘adik-adik’ mereka dalam kalangan usahawan berskala mini dan mikro itu, menerusi business packaging process yang lengkap.

Saya mengandaikan ‘abang long’ ini kompeten dan komited mengurus dan menerajui rantaian nilai sesuatu sektor ekonomi yang hendak didominasikan oleh KEB. Pilihlah dulu mana-mana sektor ekonomi yang serasi dengan KEB. Inilah realitinya mengapa kerajaan menubuhkan banyak GLC dan sebelum itu PEA, bukan untuk bersaing dengan sektor swasta, dan bukan juga untuk bersaing dengan KEB yang lebih 90 peratus daripadanya berskala mini dan mikro.

Merujuk kepada senario semasa, saya membayangkan apa juga agenda ekonomi bumiputera, ia wajib bermula dengan pembinaan ekosistem yang memberikan keutamaan kepada perkara-perkara berikut;

(i) Pembangunan insan rabbani (sama ada sebagai usahawan, tenaga pengurusan, tenaga kerja atau tenaga profesional) dan komuniti KEB,

(ii) Pembangunan institusi ekonomi KEB & pengklusteran institusi KEB,

(iii) Pembangunan strategic new economies untuk diceburi KEB,

(iv) Pembinaan kefahaman dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan bagi membangunkan program-program ekonomi KEB,

(v) Peranan fasilitasi dalam kalangan regulatory agencies, enabling agencies dan agensi pengurus rantaian nilai sesuatu sektor ekonomi, dan

(vi) Pembangunan prasarana asas dan prasarana ekonomi kepentingan KEB.

Cabaran paling utama bermula dengan perkara;

(i) Program membina minda berdayasaing tinggi, mampan dan berbudayakan jaringan dalam bisnes. Justeru, langkah pertama pembangunan agenda bumiputera wajib dimulakan dengan pembangunan minda (mind-set development), seperti membina keghairahan berdaya saing tinggi, kemampanan dalam bisnes dan lain-lain lagi.

Jangan mulakan agenda bumiputera dengan pengagihan projek atau kontrak. Itu cerita lama yang terbukti gagal. Bukan juga menyokong cadangan setiap satu daripada mereka secara caca-merba. Itu juga sudah menjadi model ekonomi lapuk.

Selepas ciri-ciri perkara (i) itu terbentuk, lain-lain persoalan seperti mana perkara (ii) hingga (vi) akan lebih mudah untuk dilaksana.

Betul, prestasi PTE yang dipaparkan itu menampakkan ekonomi kita sihat. Pun begitu masih ada beberapa komponennya memerlukan rawatan untuk lebih menyihatkannya. Masih belum terlambat untuk KEB terutamanya, untuk menjadi lebih signifikan dan menyumbang kepada agenda pertumbuhan bersama kesaksamaan.

KEB tidak boleh berterusan menuding jari kepada kerajaan mengapa ia terus tercicir dalam membina kemakmuran menerusi kekuatan ekonomi. Menjelang tahun 2020, secara kuantitatifnya PTE pastinya akan lebih cemerlang tetapi secara kualitatifnya, dikhuatiri jurang ekonomi akan terus melebar. Saya penuh yakin kerajaan mampu pastikan dalam baki tiga tahun ini (2018-2020) landasan ekonomi KEB dapat diperbetulkan, diperkukuhkan dan diberikan keutamaan.

Belum terlambat untuk ekonomi yang sihat itu dirawati untuk menjadi lebih sihat, terutama dalam merapatkan jurang-jurang ekonomi yang dinyatakan serta merangsang lebih rancak mobiliti sosial dalam konteks pertumbuhan ekonomi dan kesaksamaan.

Jika itu dapat direalisasikan, nescaya mereka daripada kelompok KEB misalnya, mampu berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan mereka yang kini mendominasi sektor swasta itu. Bersama mereka untuk mengembalikan kegemilangan era perkongsian bisnes Ali Baba yang pernah datuk-nenek kita dulu banggakan.

* PENULIS ialah Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM)