Bagi setiap pekerja di dalam mana-mana organisasi, aspek keselamatan dan kesihatan dalam persekitaran adalah satu perkara rutin yang tidak boleh diabaikan. Sewajarnya pekerja perlu memahami aspek ini adalah berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan diri dalam konteks pekerjaan atau di tempat serta lokasi di mana mereka bertugas.

Pada umumnya, pekerjaan adalah satu cara bagi umat manusia untuk memperoleh rezeki dan membina kehidupan. De­ngan rezeki dan pendapatan yang diperoleh, ia dapat membantu mereka menyumbang kepada pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam turut mengiktiraf pekerjaan sebagai satu amalan mulia kerana ia juga adalah satu daripada beberapa amalan kaum Muslimin yang bakal menjamin balasan syurga, asalkan ia menuruti kehendak syarak dan menepati ciri-ciri yang termaktub dalam syariat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri.” - (Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari).

Lantaran itu, golongan pekerja adalah dipandang mulia dalam Islam, kerana sumbangan mereka kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, atas dasar kemuliaan mereka sebagai satu kelompok manusia yang bertanggungjawab, kedudukan mereka telah diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi sehinggakan segala makhluk dan kemudahan adalah dikurniakan sebagai satu keselesaan bagi mereka.

Secara umumnya, pekerjaan dipercayai boleh mengangkat darjah kemuliaan seseorang pekerja. Namun Islam juga mengajar umatnya bahawa kemuliaan yang dikurniakan bukanlah satu jaminan khusus bahawa mereka mempunyai hak mutlak ke atas manusia lain, atau berhak memandang lemah ke atas manusia lain, kerana Allah memandang manusia itu bukan berasaskan kepada pangkat, keturunan, kekayaan harta mahupun kedudukan, tetapi lebih kepada atas dasar takwa dan keimanan.

Ini amatlah benar kerana kekuatan masyarakat Muslim itu adalah berdasarkan kepada amalan kerjasama dan tolong menolong sesama mereka, sebagai satu kelompok manusia yang berkongsi keinginan dan keperluan yang sama, dan menolong atas dorongan kebajikan dan ketakwaan, bukan atas dasar perbezaan dan persaingan.

Ini amat berbeza dengan fahaman kapitalis dan sebagainya, yang mempercayai akan wujud­nya kasta dan perbezaan sesama pekerja, dan perbezaan ­itulah yang menjadikan pekerja terbahagi kepada beberapa golongan dan lapisan pekerja yang eksklusif serta berhak memandang rendah orang lain atas dasar persaingan yang akhirnya berlaku penganiayaan, kezaliman dan pe­­nindasan. Amat menyedari wujudnya suasana yang tidak sihat seperti ini, maka Islam pada ­awal-awal lagi telah diturunkan oleh Allah sebagai satu bentuk peradaban bagi mencorak perjalanan sistem pekerjaan yang sewajarnya diaplikasikan dalam organisasi pekerjaan.

Bahkan, inilah juga beberapa isu yang dilihat oleh perspektif organisasi pekerjaan moden sekarang sebagai beberapa faktor risiko psikososial yang berpotensi untuk meningkatkan risiko ancaman terhadap kesejahte­raan pekerja dalam persekitaran pekerjaan abad ke-21 ini.

Istilah psikososial merujuk kepada interaksi sistem dalaman yang berlaku dalam diri setiap individu pekerja, merangkumi aspek emosi, pemikiran dan tingkah laku yang sering berhubung kait dan bertindak balas dengan persekitaran tempat atau orga­nisasi mereka bekerja.

Setiap organisasi mempunyai imej, identiti, visi dan misi serta prosedur dan sistem gerak kerja yang tersendiri, dan semua elemen itu bergabung dan berkait dalam membentuk satu faktor organisasi pekerjaan yang memberi kesan langsung kepada tahap ke­sejahteraan semua pekerja yang di dalam organisasi tersebut.

Beberapa faktor organisasi yang boleh bertindak sebagai faktor risiko dan mendatangkan kesan negatif psikososial ialah se­perti tekanan pekerjaan, keletihan, ergonomik, diskriminasi dan pilih kasih, buli, konflik pekerjaan dan perhubungan, tidak berdisiplin dan melanggar arahan tugasan, penderaan dan gangguan seksual serta lain-lain lagi.

Faktor organisasi dan persekitaran pekerjaan tersebut pada akhir­nya akan berinteraksi dengan aspek dalaman psikologi pekerja bagi menghasilkan kesan sam­pingan yang dikenali sebagai kesan psikososial pekerjaan. Adalah diharapkan agar tidak muncul kesan psikososial yang buruk kepada mana-mana pekerja, kerana kita mahukan persekitaran kerja yang dapat menjamin kesihatan dan ke­sejahteraan fizikal dan mental serta perhubungan sosial kerja yang baik, lantas meningkatkan kecekapan dan produktiviti syarikat.

Namun, dalam banyak keada­an, kesan psikososial itu pula muncul dalam bentuk kesengsaraan fizikal dan mental, tingkah laku negatif dan stigma sosial yang akhirnya menjejaskan kecekapan dan produktiviti individu serta pencapaian organisasi.

Oleh demikian, aspek kese­lamatan dan kesihatan pekerjaan bagi setiap pekerja perlulah mempertingkatkan kesedaran ter­hadap ancaman risiko psikososial ini kerana ia akan memberi kesan negatif secara langsung kepada kesejahteraan individu dari segi fizikal, mental dan kecekapan serta produktiviti mereka.

Seterusnya, setiap organisasi juga perlu bersepakat untuk mewujudkan polisi dan prosedur pengurusan risiko psikososial dan kesihatan mental sebagai langkah proaktif seperti mana yang di­amalkan oleh kebanyakan negara maju seperti negara Kanada dan England melalui penubuhan polisi kesihatan mental di dalam Bell Canada dan Bank of England.

PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).