Rakyat dan pengundi khususnya serta barisan kepimpinan parti politik di seluruh negara semuanya sedang menunggu tarikh pembubaran itu sebelum diumumkan tarikh PRU-14. Parti-parti baru seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) buat julung kalinya bakal berentap dalam PRU-14 walaupun calon-calon yang diketengahkan nanti mungkin orang lama dan wakil rakyat yang sedia ada.

Apa yang penting, semua parti mahu ketengahkan winnable candidate bagi meraih kemenangan dan kuasa untuk memerintah. Tetapi, itu belum boleh menjadi faktor utama kemenangan. Ia perlu diberi nilai tambah supaya keyakinan untuk menang itu le­bih tinggi.

Perkara penting kepada semua parti politik dalam PRU-14 adalah meyakinkan pengundi. Tidak cukup hanya dengan menampilkan winnable candidate semata-mata. Perkara ini lebih kukuh jika ditambah dengan penampilan pemimpin barisan muda.

Setiap parti politik perlu membuka ruang lebih luas kepada barisan muda untuk diketengahkan dalam PRU-14. Hal ini pen­ting ke­rana citarasa pengundi muda amat berbeza dengan gene­rasi sebelum ini. Mereka mudah mendekati pemimpin-pemimpin muda yang dianggap lebih memahami keperluan dan kepentingan mereka.

Ini bukan bermakna pemimpin senior dan veteran tidak boleh bertindak sedemikian bahkan mungkin lebih baik, tetapi faktor keintiman dan titik persamaan antara pemimpin dan pengundi perlu diberi perhatian. Amat sayang sekali jika terlepas undi golong muda ini yang tidak kurang bijaknya menilai prestasi dan pencapaian pemimpin atau wakil rakyat sebelum ini.

Saranan ini bukan menafikan peranan pemimpin senior dan ve­teran, tetapi menyuarakan agar pemimpin muda lebih banyak diberi peluang dalam PRU-14. Dengan kata lain, perlu ada kuota atau peratus yang lebih besar sama ada mewakili sayap wanita mahupun lelaki. Melalui cara itu, parti-parti politik tidak ketandusan pemimpin berbakat, berwawasan, bertenaga dan boleh bekerja keras demi matlamat parti. Barisan pemimpin muda boleh meneruskan legasi pemimpin senior dan veteran, malah ada kemungkinan mendapat sambutan lebih baik daripada pengundi di seluruh negara.

Apa pula peranan pemimpin senior dan veteran? Mereka boleh bertindak sebagai mentor atau guru politik kepada pemimpin muda. Pemimpin senior dan veteran yang tetap dicalonkan dalam PRU-14 pula boleh menjadi role model kepada calon junior yang bakal diketengahkan. Dengan cara itu, akan berlaku proses transisi kepimpinan dan pendidikan politik secara terancang dan teratur. Hal ini dapat mengelak konflik kepimpinan bahkan sokongan diperoleh secara berterusan daripada pengundi muda.

Jika dilihat rekod perkhidmatan dalam sektor awam dan swasta mahupun bidang usahawan, ternyata negara tidak ketandusan pemimpin muda yang berkualiti, berketrampilan dan berbakat besar. Ada yang cukup dikenali bukan sahaja di Malaysia, bahkan di pentas antarabangsa. Bahkan kepimpinan mereka sudah boleh dikesan di peringkat universiti lagi. Apatah lagi yang sudah lama berjinak-jinak dengan badan bukan kerajaan dan juga parti-parti politik.

Justeru, parti-parti politik sebenarnya tidak ketandusan modal insan yang baik untuk mewarisi kepimpinan parti dalam PRU-14 nanti. Persoalannya, adakah parti-parti politik bersedia membawa masuk calon muda dalam PRU-14? Hal ini perlu dilihat dari sudut positif dan jangka masa panjang.

l Pertama, tidak ada ruginya jika sumber manusia yang masih bertenaga dan kuat ini diketengahkan kerana mampu memberi impak positif kepada parti. Dengan tenaga dan kekuatan yang ada, mereka boleh bekerja keras demi matlamat dan masa depan parti bergandingan dengan pemimpin senior dan veteran selaku penasihat atau mentor.

l Kedua, bagi jangka masa panjang tindakan membariskan pemimpin muda dalam PRU-14 menunjukkan negara ini menghala ke arah trend politik dunia. Di beberapa negara seperti Kanada, Britain dan Perancis sudah begitu banyak menampilkan pemimpin muda dalam pilihan raya dan seterusnya menjadi perdana menteri dan presiden.

Dari segi paradigma dan aspirasi politik, ternyata pemimpin muda berbeza dengan pemimpin senior dan veteran. Namun berbeza pandangan dan pemikiran bukan bermakna tidak sealiran atau sehaluan, tetapi ke arah memberi impak yang lebih besar dan baik kepada parti.

l Ketiga, barisan pemimpin muda boleh mendukung aspirasi dan matlamat negara untuk masa hadapan misalnya Transformasi Nasional 2050 (TN50). Siapa yang bertanggungjawab dan boleh merealisasikan impian itu? Tidak lain tidak bukan, di tangan pemimpin muda sama ada dalam BN atau di luar BN. Jadi, apa sahaja kehendak, kepentingan dan impian belia di Malaysia perlu diambil kira sebagai pengisian dan wadah dalam TN50 nanti kerana merekalah bakal mencorakkan keadaan negara pada masa hadapan.

Belum cuba belum tahu, tetapi parti-parti politik perlu lebih berani untuk membawa masuk lebih ramai pemimpin muda khususnya untuk dicalonkan dalam PRU-14. Kumpulan ini perlu diberi peluang supaya bakat dan kualiti kepimpinan mereka dapat digilap dan dimanfaatkan. Tiada ruginya jika parti politik mencalonkan ramai pemimpin muda terutama yang dikenal pasti sebagai winnable candidate.

Saya percaya negara boleh mencapai kejayaan lebih besar dan kegemilangan jika diperintah dan diurus tadbir oleh pemimpin muda yang berkualiti dan berbakat yang dapat disaksikan di beberapa buah negara seperti di Kanada kebelakangan ini.

Tidak dinafikan setiap tindakan itu pasti ada risikonya. Namun, jika tidak berani mencuba, bila lagi masanya? Jawapan yang paling tepat, adalah dalam PRU-14 nanti.

Hanya melalui cara ini parti-parti politik dapat melihat hasilnya daripada proses merekrut pemimpin muda. Kumpulan ini bukan sekadar penyeri dan aksesori parti, tetapi nadi penting meneruskan kesinambungan kepimpinan sedia ada.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).