Ada yang meramalkan September ini iaitu selepas berlangsungnya Sukan SEA Kuala Lumpur dan tidak kurang juga yang meramalkan sekitar tiga bulan pertama tahun depan iaitu antara Januari, Februari dan Mac.

Tarikh luput mandat pula adalah pada 24 Jun 2018 iaitu berdasarkan kepada hari pertama sidang Dewan Rakyat selepas PRU-13. Hasil semakan di laman sesawang rasmi Parlimen Malaysia hari pertama sidang Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum itu adalah pada 24 Jun 2013.

Dalam bahasa lebih mudah, penentuan tarikh pembubaran Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) secara automatik berdasarkan tarikh persidangan pertama selepas pilihan raya umum.

Justeru, jika tiada sebarang pengumuman tentang pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum tarikh luputnya, secara automatik Parlimen akan terbubar dengan sendirinya pada tarikh ber­kenaan.

Bagaimanapun keadaan seperti itu tidak mungkin berlaku kerana kebiasaannya Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen beberapa bulan sebelum mandat pemerintahan lima tahun berakhir. Inilah yang menjadi teka-teki dan perbualan oleh individu atau kumpulan pemikir yang sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air.

Paling penting di fasa ini BN tidak boleh leka dan berasa selesa kerana banyak pihak berpandangan pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAN akan memberikan cabaran terkuat mereka kepada parti kerajaan pada PRU-14.

Cabaran semakin hebat lagi dengan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pakatan pembangkang.

Pakatan pembangkang juga dikatakan telah merangka beberapa strategi melalui gabungan DAP, PKR, PAN dan PPBM untuk merampas beberapa buah negeri yang kini berada di bawah pemerintahan BN selain mempertahankan Selangor dan Pulau Pinang.

Sehubungan itu, cabaran empat parti pembangkang ini tidak boleh sesekali dipandang mudah. Bahkan BN di pe­ringkat ini seharusnya mempunyai strategi tertentu untuk berhadapan dengan tentangan sengit mereka dalam PRU-14.

Pernah orang bertanya kepada penulis, mengapa terlalu khuatir jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum itu? Penulis menjawab sebagai orang Islam kita perlu bimbang. Kita tidak tahu di saat itu apakah nasib yang bakal menimpa orang Melayu dan kedudukan istimewa Islam di negara ini.

Sebab apa? Sebab kita tahu parti mana yang menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang. Parti mana yang begitu lantang menolak dan menentang kehendak umat Islam sehingga turut mendatangkan kemarahan kepada Pas. Agak-agak apa yang akan berlaku jika parti ini dan rakan-rakan sekutunya yang memerintah?

Apa akan jadi kepada sistem sekolah agama kita, sistem pondok kita, kedudukan Islam dalam Perlembagaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan agama Islam negeri, Tabung Haji termasuk agenda membela serta memajukan bumiputera jika kekhuatiran kita itu menjadi kenyataan.

Tidak boleh tidak, BN dan UMNO perlu memperkemaskan jentera pilihan raya bermula dari sekarang. Malah jika perlu dilakukan tahaluf siyasi dengan Pas, silakan. Jangan bertangguh lagi kerana tarikh PRU-14 semakin dekat.

Seperkara lagi tentang setiap keputusan kerajaan yang berkaitan secara langsung dengan kepentingan rakyat khususnya melibatkan kos sara hidup. Dalam hal ini setiap perkara yang diputuskan wajar dilakukan dengan cermat dan berhati-hati. Jika tidak, sokongan rakyat terhadap BN dan UMNO mungkin akan terjejas.