Keputusan ini telah menafikan propaganda yang diuar-uarkan oleh penggerak reformasi seperti Hishamuddin Rais, bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN)seolah-olah tidak boleh ditukar melalui proses pilihan raya dan rakyat perlu turun ke jalan raya. Namun, apa yang berlaku telah membuktikan sebaliknya.

Proses pilihan raya yang memberi ruang kepada semua pihak untuk bertanding dan kuasa rakyat untuk memilih telah membawa kepada pertukaran pucuk kepimpinan negara dalam skala yang besar. Ini kerana, ia melibatkan pertukaran parti pemerintah yang telah mentadbir negara ini semenjak merdeka lagi.

Apa harapan rakyat dalam membuat keputusan sebegini? Untuk mentafsir dan mendapatkan jawapan bagi persoalan ini agak rumit sekiranya kita ingin melihat dari pelbagai sudut dan segmen masyarakat. Perbezaan jurang pembangunan antara wilayah, keinginan kepada perubahan kepimpinan politik dan persaingan merebut kuasa boleh dirungkai untuk mendapatkan jawapan tentang keinginan kelompok tertentu.

Namun yang pastinya, seluruh rakyat mahukan tadbir urus yang lebih baik berbanding dengan pemerintah sebelum ini. Fokus utama pemerintah yang paling penting adalah dari segi tadbir urus yang baik dan ia tidak hanya ingin dilihat telus dan adil tetapi perlu dirasai oleh rakyat.

Pemerintah yang baru perlu terus bekerja untuk menunaikan janji-janji yang menggoda pengundi dan pada masa yang sama membuktikan bahawa mereka lebih baik dari segi pemerintahan. Harapan yang diletakkan oleh rakyat terlalu besar dan menggunung.

Walaupun pengalaman pahit sesetengah rakyat ketika di bawah pemerintahan Dr. Mahathir, namun kesediaan mereka untuk memberi peluang sekali lagi adalah sebagai satu tebusan terhadap apa yang pernah dilakukan sepanjang 22 tahun pemerintahan beliau terdahulu.

Mungkin dasar-dasar beliau, khususnya yang melibatkan ekonomi pada masa dahulu tidak lagi sesuai dilaksanakan pada masa sekarang. Namun, dengan janji dan azam yang ditunjukkan sepanjang tempoh kempen, ia memberi gambaran bahawa satu perubahan dan reformasi bakal berlaku dalam pentadbiran negara.

Sudah sampai masanya kita cuba untuk meleraikan label dan jenama negatif yang diberikan oleh pengkaji sains politik terhadap demokrasi di Malaysia. Istilah seperti semi-democracy dan quasi-democracy yang popular pada zaman Dr. Mahathir pada tahun 1990-an sehinggalah kepada yang terkini iaitu kleptokrasi perlu dinyahkan dari pemikiran pemerhati terhadap pemerintahan Malaysia. Ia menjadi tanggungjawab kerajaan yang baru dibentuk ini untuk memulihkan imej negara di muka antarabangsa.

Pengalaman hebat Dr. Mahathir di peringkat antarabangsa perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan legasi beliau selepas ini khususnya yang masih baru dalam pentadbiran negara perlu mengambil peluang untuk menguasai kepakaran jalinan antarabangsa.

Terbuka

Berdasarkan keputusan pilihan raya ini juga, dapat kita saksikan bagaimana maklumat yang diperolehi rakyat tidak lagi dapat disekat dengan berkembangnya teknologi maklumat. Masyarakat semakin terdedah dengan maklumat lantas mereka berani untuk bertindak berdasarkan kefahaman terhadap maklumat yang diperolehi.

Maka di sini, dengan semakin terbukanya masyarakat hari ini, mereka secara tidak langsung berperanan sebagai penyemak dan pengimbang kepada pemerintah dalam bentuk yang besar. Peranan sebegini sebenarnya perlu dilihat dari sudut yang positif oleh pihak pemerintah dan jangan cepat melatah untuk mengambil tindakan sekiranya dikritik secara terbuka.

Seperti yang dinukilkan oleh Allahyarham Rustam A. Sani dalam rencana beliau di Utusan Malaysia bertarikh 1 Julai 1998, ‘nyatalah bahawa masyarakat terbuka dan masyarakat telus itu boleh merupakan sesuatu yang merimaskan. Namun keterbukaan dan ketelusan itu tentulah tidak akan sebegitu merimaskan jika selamanya kita memang terbuka dan saling tegur-menegur secara terbuka dalam kalangan kita sendiri – serta melakukannya dengan kesucian niat dan persediaan intelektual yang sepenuhnya’.

Oleh itu, peranan masyarakat dalam membimbing pemerintah ke arah tadbir urus yang baik perlu sentiasa diberi ruang. Inilah masanya untuk kita menilai ketelusan dan kebertanggungjawaban pemerintah yang dipilih bukan sekadar untuk menukar semata-mata tetapi mengharapkan sebuah kerajaan yang lebih baik.

Apa pun, peralihan kuasa yang aman dan harmoni telah meluaskan lagi parameter demokrasi di negara ini. Ini meyakinkan kita semua bahawa rakyat kita cukup matang untuk beraksi dalam proses demokrasi. Sebarang provokasi negatif perlu dielakkan bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini dalam suasana peralihan kuasa yang sedang berlaku.

Walaupun rakyat telah memilih untuk memberikan mandat baru kepada gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Harapan, namun kita perlu mengenang apa yang telah dibangunkan oleh pemerintah sebelum ini. Bermula dengan gabungan parti politik menerusi Perikatan sehinggalah jatuhnya Barisan Nasional, mereka telah berjaya membangunkan negara sehingga kita dapat menikmati apa yang kita miliki sekarang.

Namun, tempoh berkuasa yang lama menjadi satu ujian kepada pemimpin-pemimpin sehingga mereka tidak dapat mengawal nikmat kuasa. Seperti mana kita mengiktiraf sumbangan besar Barisan Nasional, kita juga sangat mengharapkan mereka dapat menjadi gabungan pembangkang yang berwibawa demi menjaga kedaulatan negara dan rakyat.

Untuk maju ke hadapan, kestabilan dan keharmonian negara perlu diperkukuhkan. Politik perkauman yang menimbulkan kebencian antara rakyat perlu disemadikan. Kedudukan Perlembagaan yang menjadi sumber utama dalam pemerintahan dan kenegaraan menjadi keutamaan semua untuk dipertahankan. Masa untuk membina semula negara memerlukan tindakan semua pihak.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Pahang.