Cerita hasrat Proton untuk mencari rakan niaga sebenarnya bukan rahsia kepada sesiapa yang biasa mengikuti perkembangan urus niaganya. Bagaimanapun sehingga kini, syarikat pengeluar kereta nasional ini masih belum ada perjanjian hitam putih yang dimeterainya dengan mana-mana syarikat antarabangsa.

Baru-baru ini berita Proton bakal mendapat rakan strategik asing (foreign strategic partner – FSP) hangat diperkatakan. Rabu lalu, 15 Februari adalah tarikh akhir permohonan hasrat oleh FSP. Kini timbul dakwaan pekerja Proton bakal hilang sumber sara hidup.

Beginilah biasa berlaku bila sesuatu perubahan hendak dilakukan kerajaan terhadap sebuah entiti konglomerat yang satu masa dahulu milik kerajaan seperti Malaysia Airline Berhad, Telekom Malaysia dan lain-lain. Ada andaian negatif dilemparkan sedangkan syarikat berkenaan perlu diselamatkan daripada terus mengalami masalah kewangan.

Untuk perspektif perniagaan agar pertumbuhan Proton terus mampan, kehadiran rakan strategik asing yang baharu diharap membawa sinar kepada pekerja serta vendor-vendor yang bergantung hidup dengan Proton.

Sejak beberapa tahun ini, terdapat rancangan untuk Proton membentuk kerjasama jangka masa panjang dengan syarikat asing seperti Volkswagen, Suzuki dan Renault. Pengeluar kedua terbesar di Eropah, PSA Group dari Perancis yang mengeluarkan kereta Peugeot dan Citroen turut menawarkan diri menjadi rakan kongsi Proton.

Terbaharu pembuat kereta China, Geely Automobile Holdings pula disebut-sebut akan mengambil alih saham majoriti Proton.

Walau siapa pun rakan strategik asing yang jadi pilihan Proton, dipercayai ia mampu mengemudi Proton ke arah yang betul. Proton harus mendapatkan rakan kongsi terkemuka yang akan membantu dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Di bawah rakan kongsi itu akan wujud suntikan modal pelaburan untuk pembuatan dan penyelidikan selain pembangunan, termasuk modal kerja. Berbaik sangkalah dengan syarikat pelabur baru kerana kehadirannya baik untuk pekerja dengan membawa strategi dan teknologi baharu.

Hasil akhirnya bukan sahaja baik untuk pekerja sedia ada tetapi juga untuk Proton kembali berdaya saing dengan peningkatan jumlah produk Proton.

Faedah

Jangan lupa, rakan strategik asing mampu mengubah Proton menjadi pengeluar kereta global yang berdaya saing. Dengan jumlah pasaran ASEAN lebih 600 juta orang, Malaysia adalah hub pengeluar keretanya.

Dengan kiraan matematik mudah, ia akan memberikan banyak faedah kepada pekerja Proton akhirnya.

Usaha sama ini ‘berbaloi’ apabila menyedari bahawa dengan adanya Proton, Malaysia satu-satunya negara dalam ASEAN yang mampu mengeluarkan kereta sepenuhnya – daripada R&D, reka bentuk, body stamping, chassis, engine, parts, hingga pemasangan. Inilah faktor utama kenapa Proton sangat menarik kepada rakan strategik asing yang kini bersaing dalam pembidaan untuk mendapatkan kepingan besar kek dalam Proton.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menganggap Proton memerlukan satu rakan strategik asing untuk membolehkan usaha penerapan teknologi baharu selain memperkenalkan kereta lebih baik dan boleh dibeli di peringkat global.

“Apa yang penting adalah untuk membawa lebih ramai pelabur ke Malaysia dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Kehadiran rakan strategik asing sudah tentu ingin menambah jumlah pengeluaran, bermakna lebih banyak pekerja diperlukan. Dalam hal ini tenaga kerja berpengalaman dalam bidang kejuruteraan dan pembuatan automotif lain sudah ada dalam Proton dan pasaran tempatan.

Ekoran daripada perkembangan itu, pihak vendor, pembekal dan lain-lain bakal meraih pertumbuhan dan faedah daripadanya. Walaupun ada pihak mengatakan membawa masuk rakan strategik asing seolah-olah menjual maruah negara, tapi hakikatnya yang perlu dipertimbangkan ialah Proton adalah syarikat yang sudah tidak memperoleh keuntungan beberapa tahun lamanya.

Dengan barisan dan deretan kereta yang tidak dijual menunjukkan kedudukan pasaran kereta Proton kini mengikut trend merudum. DRB-Hicom mengambil alih Proton pada 2012 dan berusaha menyahut cabaran untuk melonjakkan kembali nama pengeluar kereta nasional itu.

Sebenarnya dasar perlindungan yang menyebabkan harga model kereta import lebih mahal dan jauh daripada kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia telah meletakkan satu ketika Proton sebagai pengeluar kereta paling laris di negara ini.

Bagaimanapun perubahan dalam liberalisasi pasaran kereta tempatan menyebabkan penguasaan pasaran kereta Proton yang tinggi iaitu lebih 60 peratus pada 1990-an akhirnya terjejas. Pasaran untuk 2015, Proton menjual 102,174 unit kereta dan menurun pada 2016 kepada 72,290 unit iaitu daripada 17 peratus pasaran kepada 14 peratus.

Kemampuan Proton mengeluarkan kereta ialah 350,000 unit setahun dan dengan jualan kereta hanya lebih 100,000 unit setahun, ia hanya beroperasi kira-kira 30 peratus kapasiti. Dengan adanya rakan strategik asing yang baru, kilang boleh beroperasi mengikut kapasiti dan ia juga boleh diterjemahkan pada lebih banyak kerja dan putaran ekonomi boleh diwujudkan.

Menurut Johari baru-baru ini, pada masa ini terdapat tiga hingga empat syarikat dari negara asing telah menyatakan minat mereka untuk menjadi rakan kongsi Proton, namun pemiliknya DRB-Hicom masih belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Kata Johari, sekiranya Proton mempunyai rancangan mengembangkan perniagaannya ke pasaran luar negara, ia perlu mencari rakan pelabur asing yang sesuai.

Ini kerana Proton mempunyai pengalaman tidak begitu bagus dalam mencari rakan kongsi. Pada 2011 Proton pernah menjalin kerjasama dengan pengeluar kereta Volkswagen dari Jerman tetapi ‘tergendala’ kerana Malaysia enggan menyerahkan kawalan pengurusan ke atas pembuat kereta nasional itu.

Rumusan awal ialah jika kedudukan Proton mahu dikekal seperti sedia ada, kesannya tiada lagi pilihan yang ada ditambah dengan dana yang terhad, memaksa R&D juga terkawal yang boleh menyebabkan Proton tutup kedai.

Bagaimanapun jika rakan strategik asing diterima masuk maka ia bukan sahaja mengubah Proton dan entiti bisnesnya tetapi juga berpuluh ribu pekerja dan sistem ekonomi negara.