Pertempuran itu berlaku ekoran 300 lelaki didakwa membunuh sembilan pegawai polis di sempadan Myanmar dengan Bangladesh. Pihak berkuasa menuduh orang Rohingya yang melakukan serangan itu berdasarkan bahasa yang dituturkan mereka.

Selepas kejadian itu, tentera Myanmar masuk ke kampung-kampung Rohingya dan pihak pemerhati, Fortify Rights menyatakan bahawa telah berlaku pelbagai jenis pelanggaran hak asasi manusia dan pembunuhan di luar penghakiman.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menyerukan supaya semua pihak menahan diri secara maksimum daripada meluaskan lagi pertempuran. Tentunya apabila berlaku pertempuran pihak Rohingya yang lebih terkesan dan menjadi mangsa kerana tentera Myanmar lebih lengkap bersenjata. Sebarang pertempuran akan meluaskan konflik yang berpanjangan dan tidak berkesudahan.

Kaum Rohingya diisytiharkan tidak berwarganegara oleh Undang-undang Kewarganegaraan Burma tahun 1982. Mereka hanya layak memperoleh kewarganegaraan jika dapat membuktikan nenek moyang mereka berada di Myanmar sekurang-kurangnya pada tahun 1832, ketika itu negara tersebut dalam pemerintahan British.

Di Myanmar, sebanyak 135 kumpulan etnik diiktiraf sebagai warganegara Myanmar. Sementara kaum Rohingya dianggap sebagai orang Benggala, dari Benggala Timur, India yang kemudian menjadi Pakistan Timur dan Bangladesh. Sedangkan umumnya orang Rohingya lahir dan ketahui bahawa tanah air mereka ialah di Arakan, salah satu wilayah terdapat dalam Myanmar. Orang Rohingya dianggarkan berjumlah 800,000 hingga satu juta.

Pada tahun 2012, keganasan kaum antara penganut Buddha di Rakhine dengan orang Rohingya membawa kepada kematian 100 orang dan memaksa lebih 10,000 orang berpindah ke khemah pelarian. Pihak PBB menyatakan seramai 120,000 orang Rohingya cuba meninggalkan negara mereka sejak tiga tahun lalu.

Menurut Human Rights Watch, undang-undang Myanmar mendiskriminasi mereka dengan menyekat kebebasan pergerakan, pendidikan dan pekerjaan. Mereka juga dinafikan hak tanah dan harta. Tanah di mana mereka tinggal dan bertani boleh dirampas pada bila-bila masa.

Dari Januari hingga Mac tahun 2015, sebanyak 25,000 orang mengharungi laut untuk mendarat di Thailand, Malaysia dan Indonesia dengan mengakibatkan 300 kematian. Kira-kira separuh daripada pendatang itu adalah Rohingya. Separuh lagi ialah orang Bangladesh.

Dr. Azeem Ibrahim dari Center for Global Policy menyatakan dalam The Washington Post bahawa kaum Rohingya berada dalam ambang kepupusan. Jika tidak ada tindakan segera seperti pasukan pendamai PBB bagi melindungi mereka, kaum ini akan pupus dengan banyak kematian dan penderitaan pada tahap krisis kemanusiaan.

Apabila melihat cara pihak Myanmar menangani isu Rohingya, dapat dikesan bahawa mereka mahu menghapuskan saja kumpulan etnik ini. Sama ada Rohingya dihalau keluar atau mati terkorban, ia tidak menjadi soal bagi pihak Myanmar.

Jika ini benar-benar berlaku, ia bukan saja tidak berperikemanusiaan tetapi bercanggah dengan konsep sebuah negara bangsa moden. Selepas Perang Dunia Kedua, peperangan, penjajahan dan perkauman sudah tidak dapat diterima oleh manusia secara umumnya. Walaupun selepas Perang Dunia Kedua, usaha untuk membebaskan dunia daripada peperangan, penjajahahan dan perkauman masih belum berjaya sepenuhnya, tetapi ia tetap diusahakan.

Inklusif

Piagam Bangsa-bangsa Bersatu yang diisytiharkan di San Francisco, Amerika Syarikat dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia merupakan perlembagaan bagi dunia dengan institusi pelaksanaannya dibuat melalui PBB dan agensi-agensinya.

Dalam sistem ini, keseluruhan muka bumi ini disusun dalam bentuk negara-negara bangsa dengan setiap individu menjadi warganegara di mana mereka tinggal. Negara-negara bangsa ini adalah berbentuk pelbagai kaum, agama dan fahaman. Kesemua mereka mempunyai hak asasi manusia. Setiap negara bangsa di dunia pula menjadi anggota PBB.

Sebelum Perang Dunia Kedua, Myanmar yang ketika itu bernama Burma adalah di bawah penjajahan British. Selepas perang itu, seperti mana banyak tanah jajahannya, Burma diberikan kemerdekaan oleh Britain pada tahun 1948. Nama rasminya ialah Union of Burma atau Kesatuan Burma.

Pada masa itu Britain berusaha memastikan tanah jajahannya merdeka dengan aman. Konsep kesatuan atau union itu adalah penyatuan wilayah-wilayah pelbagai kaum dan agama dalam satu negara bangsa.

Selain Union of Burma, Britain juga mengusahakan Union of India pada tahun 1947 dan Malayan Union pada tahun 1946. Kesemuanya adalah untuk mewujudkan negara bangsa berbilang kaum termasuk kaum-kaum pendatang yang dibawa masuk oleh Britain ketika penjajahannya untuk menjayakan kepentingan ekonomi imperial kuasa Barat itu.

Malayan Union gagal tetapi negara ini berjaya apabila dipinda kepada Federation of Malaya pada tahun 1950. Union of India juga gagal dan digantikan dengan Republik India dan Republik Pakistan yang masih berperang hingga hari ini.

Union of Burma dapat ditubuhkan setelah kejayaan rundingan Panglong Agreement yang menyatukan wilayah-wilayah suku kaum ke dalam negara bangsa Burma. Namun ketika itu di Burma, kepentingan komersial banyak dipegang oleh orang British dan para pendatang dari India yang dibawa bersama mereka. Tetapi Panglong Agreement tidak melibatkan kaum Rohingya yang penduduknya banyak bercampur pendatang India dari wilayah Benggala Timur.

Burma adalah pendokong kuat PBB hinggakan warganegaranya, U Thant turut dipilih sebagai Setiausaha Agung badan dunia itu. Kemasyhuran U Thant juga mengharumkan nama negara itu hinggakan di Kuala Lumpur, jalan di kawasan diplomatik diambil sempena nama beliau. Namun Burma tidak dapat melayani kaum-kaum etnik dengan baik hinggakan menimbulkan pemberontakan dan pertempuran. Panglong Agreement yang menjadi tonggak negara bangsa Burma tidak menjamin kemakmurannya. Apatah lagi terhadap kaum Rohingya yang dianggap orang asing.

Sebagai negara bangsa yang menghormati konsep PBB, Burma sewajarnya menjadi negara yang inklusif dan memberi ruang dan tempat kepada semua penduduknya yang sudah menetap di negara itu menjelang kemerdekaannya.

Union of Burma kemudian berubah menjadi Socialist Republic of Union of Burma. Kemudian ia menjadi Union of Myanmar dan sekarang nama rasmi negara itu ialah Republic of Union of Myanmar.

Walaupun proses demokrasi berjalan dan parti prodemokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi, Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) menjadi kerajaan tetapi Myanmar masih tidak dapat muncul sebagai negara bangsa yang berjiwa besar untuk turut merangkul kaum Rohingya.