Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Promosi kaedah kurangkan beban pengguna pengangkutan awam

Kad komuter 1Malaysia yang pernah menawarkan diskaun 50 peratus kepada pengguna yang berpendapatan bawah RM 3,000 sebulan. Kini beberapa promosi turut diadakan walaupun tidak melibatkan jumlah diskaun yang besar.

TIDAK ada sebarang pengumuman penurunan kadar tambang perkhidmatan pengangkutan rel di Lembah Klang. Begitu juga dengan kenaikan harga barang yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup. Apa yang diumumkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung UMNO kelmarin ialah beberapa langkah untuk melihat semula kadar tambang berkenaan yang boleh membantu mengurangkan beban golongan pengguna tertentu. Misalnya bagi pengangkutan KLIA Ekspres (ERL), diskaun 30 peratus diberikan kepada pemegang kad Siswa 1Malaysia, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas. Kakitangan awam yang menggunakan pas bulanan pengangkutan ERL itu juga akan diberi pengurangan tambang. Bagi perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), diskaun sebanyak 50 peratus diberi kepada pelajar berumur 7 hingga 18 tahun dan penuntut universiti dengan menunjukkan kad pelajar. Tambang konsesi 50 peratus bagi warga emas dan OKU juga dikekalkan.

Sekurang-kurangnya keluh kesah pengguna yang dibangkitkan diberi perhatian walaupun setakat ini ia tidak melibatkan keseluruhan pengguna perkhidmatan pengangkutan rel termasuk kakitangan awam, swasta dan orang ramai yang se­ring menggunakan komuter, LRT, monorel dan ERL. Sebenarnya, sebelum ini sudah ada langkah-langkah yang diambil bagi membantu mengurangkan bebanan pengguna iaitu melalui pas bulanan dan penggunaan kad Touch ‘nGo (T&G). Contohnya bagi kadar tambang perkhidmatan komuter KTMB yang menawarkan diskaun 20 peratus daripada kadar tambang tiket tunai untuk pembayaran menggunakan T&G. Diskaun sebanyak 24 peratus juga diberikan kepada tiket mingguan dan 33 peratus untuk tiket bulanan. Masalahnya kebanyakan orang kita tidak melihat kemudahan itu. Lihat sahaja di laluan lebuh raya bertol. Lebih ramai yang cenderung membayar tunai daripada menggunakan T&G atau SmartTAG. Mereka sanggup berbaris panjang di lorong tunai. Hakikatnya, mereka ini pengguna harian. Hendak dikatakan tidak mampu membeli kad ber­kenaan, kereta yang dipandu adalah ‘kereta besar’ yang menunjukkan kemam­puan mereka.

Adakah mereka terlalu ‘berkira’ atau ‘kedekut’ untuk membeli sekeping kad yang kadang-kadang harganya hanya RM5. Kad pengenalan juga boleh digunakan sebagai T&G. Mereka hanya menggunakan T&G atau SmartTAG selepas pengendali lebuh raya ‘memaksa’ pengguna dengan menghapuskan sistem pembayaran tunai. Kutipan tol secara elektronik dilaksanakan sepenuhnya di plaza tol terpilih termasuk tiga plaza tol di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) yang melibatkan Plaza Tol Salak Selatan; Plaza Tol Putrajaya dan Plaza Tol Seri Kembangan; Plaza Tol PJS2; Plaza Tol PJS5 dan Plaza Tol Pantai Dalam yang ma­sing-masing terletak di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) selain Plaza Tol Batu 9 serta Plaza Tol Batu 11 di Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga); Plaza Tol Seri Muda dan Plaza Tol Alam Impian di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA). Pengguna boleh menggunakan sama ada kad PLUSMiles, T&G atau SmartTAG untuk melakukan transaksi bayaran tol. Selain tidak perlu beratur dan mendapat potongan rebat, eloklah juga diberi insentif lain supaya pengguna harian dapat mengurangkan beban.

Apakah ikhtiar kerajaan untuk mengurangkan beban pengguna? Berdasarkan penjelasan Najib kelmarin, ada faktor yang memaksa kenaikan tambang itu termasuk oleh Express Rail Link Sdn. Bhd. yang mengumumkan kenaikan tambang sebanyak RM20 (menjadikan RM55 perjalanan sehala KL Sentral ke KLIA/klia2) mulai 1 Januari 2016. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga mempunyai alasan kukuh bagi meluluskan kenaikan itu. Bukan sekadar menaikkannya selepas pihak berkenaan mengemukakan permohonan. Sudah sewajarnya sebarang kenaikan disertakan dengan fakta yang boleh meyakinkan pengguna bahawa tambang perlu dinaikkan. Kenaikan tambang ERL terpaksa dibuat berdasarkan perjanjian konsesi jangka panjang yang ditandatangani antara kerajaan dan syarikat YTL pada 1997. Kenaikan itu akan berlaku setiap lima tahun tetapi tidak naik selama 14 tahun. Jika kadar tambang tidak dinaikkan, kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM2.9 bilion. Siapakah yang akan membayar kos pampasan itu? Tentunya wang rakyat yang akan digunakan. Begitu juga dengan kenaikan tambang yang diumumkan oleh KTMB. Banyak yang sudah dilakukan oleh KTMB untuk menaik taraf sistem pengangkutan rel itu termasuk membeli koc baharu dan memperbaiki landasan bagi keselesaan dan keselamatan pengguna. Koc lama perlu diganti dengan yang baharu. Semuanya ini kos. Kejutan yang dihadapi pengguna mungkin disebabkan kenaikan terlalu mendadak sehingga faktor kenaikan itu bukan lagi tertumpu kepada isu-isu kos sebaliknya dilihat ada kaitan dengan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sekali lagi penjelasan yang benar-benar jelas perlu diberikan kepada pengguna, bukan sekadar mengumum kenaikan atau melulus kenaikan disebabkan permohonan/permintaan pihak berkenaan. Jika tol dan tambang ERL berkait rapat dengan perjanjian konsesi, keadaan yang sama juga berlaku di KTMB. Kos operasi yang ditanggung termasuk penyelenggaraan dan perkhid­matan kini semakin mening­kat sehingga KTMB dijangka mencatatkan kerugian RM55 juta pada tahun ini daripada jumlah kerugian terkumpul RM1 bilion. KTMB turut menerima subsidi tambahan daripada kerajaan sebanyak lima sen setiap kilometer bagi seorang penumpang untuk menanggung kos operasi dan memastikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat. Dengan peningkatan kos dan pada masa yang sama usaha berterusan KTMB bagi memper­tingkatkan mutu perkhidmatan dan keselesaan pengguna, sudah tentu kenaikan tambang tidak dapat di­elakkan. Semakin maju sesebuah negara semakin meningkat kos.

Menyelak kembali usaha mengurangkan beban pengguna, KTMB pernah menawarkan potongan harga sebanyak 50 peratus melalui kad komuter 1Malaysia. Tawaran selama setahun mulai 1 November 2012 hingga 31 Oktober 2013 itu khusus untuk warganegara Malaysia yang berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah. KTMB juga pernah menawarkan tiket 1 Rakyat Malaysia (1RM) RM1 ke mana-mana destinasi untuk warga emas, OKU dan pelajar yang berpakaian seragam. Jelaslah, KTMB telah melakukan pelbagai usaha untuk meringankan beban pengguna (golongan tertentu) dan pada masa yang sama ber­usaha mengurangkan kerugian yang ditanggung. Harapan rak­yat, tingkatkan kemudahan tanpa membebankan pengguna.

Pengenalan kad bulanan, mingguan serta T&G juga diharap mampu mengurangkan beban pengguna. Sekali lagi pengguna perlu dididik untuk menggunakan apa sahaja promosi yang diperkenalkan untuk mengurangkan beban mereka. Melalui kaedah itu, pengguna bukan sahaja dapat menjimatkan kos tetapi mengelak beratur panjang untuk membeli tiket. Lebih parah lagi ketika waktu puncak dan kaunter tiket gagal memenuhi keperluan penumpang. Saya tidak pasti sama ada mesin tiket di stesen KTMB masih berfungsi kerana kebanyakan mesin lama tidak dapat digunakan. Maka adalah lebih mudah pengguna menggunakan kad T&G atau pas bulanan atau mingguan. Kepada semua pengendali perkhidmatan rel, mereka juga diharap dapat memperkenalkan kadar tambang promosi yang dapat membantu mengurangkan beban pengguna. Giatkan usaha me­nyedarkan pengguna menggunakan kemudahan yang dapat membantu mereka menjimatkan kos!

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain