Ketiga-tiga projek melibatkan kontraktor dari China. Semua kerja digantung berkuat kuasa serta-merta.

Kementerian Kewangan menyatakan bahawa ECRL hanya akan dilaksanakan sekiranya kontraktor utama, China Communications Construction Ltd (CCCC) bersetuju menurunkan kos secara signifikan memandangkan ia dijangka memakan belanja sebanyak RM81 bilion berbanding kos asal RM55 bilion.

Menurut Kementerian Kewangan, kos asas pembinaan landasan kereta api sepanjang 688 kilometer itu berjumlah RM66.78 bilion selain kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain.

Pada 3 Julai lalu, CCCC telah pun mendapat arahan daripada Malaysia Rail Link Sdn Bhd., untuk menggantungkan kerja-kerja pembinaan dengan serta-merta. Penggantungan kerja ini bukanlah bermaksud ECRL dibatalkan tetapi hanya untuk membolehkan kerajaan menjalankan rundingan semula dengan pihak kerajaan China. Setakat ini kerja-kerja pembinaan ECRL telah mencapai 14.84 peratus.

Penggantungan tersebut bermaksud untuk membolehkan kerajaan membincangkan pengurangan kos yang mungkin melibatkan anta­ranya pe­nu­karan laluan, pengu­rangan saiz stesen mahu­pun mengurangkan jum­­­­lah stesen.

CCCC telah menyatakan rasa kecewa atas ara­han penggantungan ker­ja tersebut dan mem­bayangkan bahawa kos mungkin akan bertambah akibat tindakan tersebut. CCCC juga khuatir akan nasib 2,250 pekerja tem­patan dan juga be­berapa subkontraktor, pem­­bekal dan syarikat-sya­rikat pe­run­dingan.

Kontrak pembinaan ECRL ialah kontrak keju­ru­­­­teraan, peme­ro­lehan, pem­­­­binaan dan pen­tau­liahan (EPCC) yang dibe­ri­kan kepada CCCC.

Dalam kontrak ter­sebut, kos Fasa 1 ialah se­banyak RM45 bilion iaitu pembinaan laluan dari Gombak ke Kota Bharu. Fasa 2 pula ialah pem­binaan laluan dari Gombak ke Pelabuhan Klang de­ngan kos RM9 bilion. Fasa 3 pula ialah pembinaan landasan berkembar dan sambungan ke Pengkalan Kubor dengan kos RM11bilion.

Cadangan telah disuarakan untuk menurunkan kos pembinaan ECRL. Iaitu meneruskan pembinaan Fasa 1 dengan pemotongan kos RM7.5 bilion. Manakala Fasa 2 dan 3 dibatalkan yang akan menyebabkan penjimatan sehingga RM20 bilion.

 

Mengurangkan pembinaan

Pemotongan kos dalam Fasa 1 termasuk mengurangkan saiz stesen-stesen, membatalkan terus pembinaan stesen-stesen kecil dan mengurangkan pembinaan jumlah terowong.

Faktor utama nasib projek ECRL ialah kos. Kerajaan baru Pakatan Harapan mahukan penurunan kos yang signifikan sebelum memberi lampu hijau untuk meneruskan projek yang sedang dikaji semula ini.

Apabila bercakap mengenai kos, hanya pembekal atau kontraktor sahaja yang mampu memberikan ‘diskaun’. ECRL adalah hasil perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan China yang mana CCCC telah dilantik oleh kerajaan China untuk membantu Malaysia menyiapkan projek rel ini. Hanya CCCC dan China yang mampu memberikan ‘harga terbaik’ demi menjadikan ECRL satu realiti.

Oleh yang demikian untuk menurunkan kos, segala usaha mestilah ditumpukan untuk menjemput China ke meja perundingan secepat mungkin dan menggunakan diplomasi Malaysia-China yang amat baik sejak tahun 1974 untuk mencari jalan penyelesaian. China, rakan diplomatik dan rakan dagang Malaysia, pasti dapat mencapai persetujuan menang-menang.

Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini dilihat amat kritikal terhadap manfaat daripada projek China kepada Malaysia. Sejak kembali mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau berjanji untuk mengadakan rundingan semula syarat projek walaupun kerja-kerja pembinaan sudah berjalan.

Dr. Mahathir dijangka melakukan kunjungan hormat kepada Presiden China, Xi Jinping, bulan Ogos depan. Ada beberapa perkara yang akan dibawa Perdana Menteri dalam pertemuan itu termasuk soal ketidakadilan dalam terma kontrak selain kadar faedah pinjaman yang tinggi ketika dipersetujui oleh kerajaan terdahulu.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) Tun Daim Zainuddin akan ke Bejing lebih awal bagi membincangkan perkara berkaitan kontrak kerajaan dengan negara berkenaan. Daim difahamkan akan mengadakan rundingan semula kos kontrak bagi ECRL dan Projek Suria Synergy Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER).

Jika kos adalah penentu nasib ECRL maka teka-teki ini perlu dijawab segera kerana setiap hari kos akan bertambah kerana pembaik pulih perlu dijalankan ke atas tanah dan selanjutnya.

Projek tertangguh bukan sahaja menanggung kos kewangan malah kos reputasi. Kedua-dua pihak yang menandatangani perjanjian mempertaruhkan reputasi masing-masing di mata dunia. Kos reputasi walaupun tidak dapat dikira dengan wang ringgit tetapi akan mempunyai impak kepada bakal rakan niaga pada masa hadapan.

Malaysia tidak boleh dilihat sebagai sebuah negara yang tidak berpegang pada janji. Usaha perlu dijalankan untuk menjaga imej negara kita di mata dunia bahawa Malaysia adalah negara jujur yang menghormati perjanjian.

Kita perlu menerima hakikat kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dan (peranannya) sebagai rakan dagang utama Malaysia.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menarik berbilion dolar pelaburan China dan adalah salah seorang penyokong kuat dari Asia Tenggara mengenai ‘Belt and Road Initiative’ (BRI) oleh Presiden Xi Jinping.

Inisiatif BRI China mahu membuka pintu buat negara Asia dan ASEAN dan merapatkan hubungan ekonomi dengan Malaysia. Jadi kita perlu alu-alukan mereka untuk melabur di sini.

Dalam konteks rantau Asia Timur, potensi untuk ECRL menjadi sebahagian daripada jalinan BRI yang digerakkan China adalah sangat besar. Pastinya ini akan meningkatkan lagi potensi dan daya saing wilayah Pantai Timur.

Malaysia perlu melihat persahabatannya dengan China dari perspektif yang lebih luas, melampaui projek rel. Usah jadikan ECRL bagaikan satu kes 'gantung tak bertali' yang tidak tahu apa status kesudahannya.