RADUAN CHE ROSE

MPN yang kini menginjak usia tujuh tahun telah menggerakkan pelbagai program berimpak tinggi de­ngan melibatkan golongan ilmuan serta penggemble­ngan ilmu pengetahuan, kepakaran dan idea bagi memastikan Malaysia berada di landasan betul menuju status negara maju.

Jelas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose, majlis tersebut juga membantu memberi input kepada kerajaan bagi membangunkan pengukuran negara maju yang melangkaui petunjuk kewangan seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebaliknya, tambah beliau, majlis tersebut memfokuskan kepada soal seperti kualiti kehidupan, ke­selamatan, keharmonian dan perpaduan.

“Kita sebagai badan pemikir yang terdiri daripada pakar akademik hakikatnya tidak mengambil alih peranan kementerian tetapi memberi input kepakaran melalui hasil penyelidikan.

“Peranan kita adalah untuk memberi nilai tambah kepada pembangunan negara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Sehubungan itu, sepanjang tahun ini, MPN telah me­rencanakan pelbagai program dan aktiviti berimpak tinggi yang memberi fokus untuk membantu negara mencapai pemba­ngunan mampan dalam setiap aspek.

Setiap program yang diadakan katanya, tertumpu kepada isu strategik dan kritikal yang memerlukan penumpuan secara holistik diberikan untuk merealisasikan pelaksanaannya seperti bidang Sains Teknologi Kejuruteraan Dan Matematik (STEM), TN50 dan Revolusi Perindustrian 4.0.

Ini lebih-lebih lagi apabila peranan ahli akademik menjadi semakin kritikal dan strategik bukan hanya sekadar memberi kuliah serta melakukan penyelidikan semata-mata, katanya.

Beliau berkata, golongan ilmuan pada masa sama adalah pemangkin daya kreativiti serta pendorong inovasi negara.

Sehubungan itu, menjelang 2018, MPN yang menjadi wadah himpunan golongan ilmuan ujarnya, akan terus memacu momentum kecemerlangan komuniti ilmuan untuk bersama-sama dengan negara dalam berdepan dengan pelbagai cabaran mendatang.

“Ini kerana sumbangan keilmuan, kearifan dan keikhlasan MPN tidak boleh lesu sebaliknya terus digandakan dari semasa ke semasa.

“MPN yang sentiasa bersama dengan rakyat dan kerajaan tidak pernah meninggalkan isu-isu strategik negara untuk diberi perhatian,” katanya.

Menurutnya, penganjuran program meja bulat merupakan langkah yang sinonim dengan badan pemikir tersebut terutama dalam mengetengahkan isu-isu nasional termasuk pendidikan, pencemaran, kerjasama universiti, industri, integriti dan pertahanan.

Selain itu, katanya, MPN juga meneruskan tradisi perkongsian ilmu dan kepakaran melalui Program Advokasi Ilmuan melibatkan kerjasama dengan rakan strategik iaitu akhbar Utusan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta universiti-universiti awam dan beberapa program khas dengan agensi berita lain.

Kerjasama dengan media arus perdana kata beliau, ternyata menepati objektif MPN selaku sebuah badan pemikir yang membantu kerajaan memperjelaskan isu semasa negara dan mencari inisiatif penyelesaian terhadap isu yang dibincangkan.

"Program yang bertujuan memperjelaskan isu-isu semasa negara kepada masyarakat sekali gus mencari penyelesaian berkonsepkan dialog antara profesor berdasarkan kepakaran masing-masing," katanya.