Ungkapan itu amat dalam maknanya bagi yang berfikir. Kerajinan orang Perancis membaca, mengkaji dan meneliti, keramahan menerima tamu, menepati waktu dan menjaga kebersihan adalah antara perkara yang memikat sebagai cara hidup. Ini diajarkan oleh Islam. Malangnya di Kaherah - sebuah bandar raya Islam - susunan kereta di jalan raya tidak teratur, sampah sarap terdapat di mana-mana, kecenderungan orang membaca kurang sekali dan peraturan tidak dipatuhi. Ini tidak menggambarkan imej Islam yang baik. Ini berlaku di mana-mana bandar Islam di seluruh dunia.

Hal ini disebutkan kerana pada umumnya produktiviti rohaniah dalam kalangan umat Islam umpamanya memenuhi masjid di bulan Ramadan relatif tinggi tetapi produktiviti amaliah di bulan itu dalam berbelanja untuk berbuka puasa relatif rendah. Tidak wujud keseimba­ngan antara keduanya menyebabkan rohaniah dan amaliah tidak berjalan seiring.

Suatu ketika dulu umat Islam memiliki produktiviti amalan yang tinggi tidak sahaja dalam beribadat tetapi juga dalam usaha membangun tamadun. Ada empat faktor yang menyebabkan ia terjadi. Pertama, berlaku sinergi hubungan ulama dan umara’. Ulama dan umara’ sifatnya saling menyantuni.

Kedua, corak ilmu yang berkembang adalah integratif. Ini menyebabkan pendekatan ulul albab terjadi. Lalu jiwa tadabbur (pengkajian) berkembang dan menghasilkan penyantunan nakli-akli .

Ketiga, tradisi kecendekiawan berkembang. Ini menghasilkan Al Ghazali, Matruridi, Al Ashaari, al Mawardi, Ibn Sina, Al Khuarizmi, Abu Qasim Az Harawi, al Biruni dan ramai lagi menghasilkan karya khusus keagamaan juga sains dan teknologi. Ini tercetus di abad awal Masihi sebelum Barat melakukan penemuan saintifik. Kitab-kitab Islam terutama dalam bidang sains dan teknologi diterjemahkan ke dalam bahasa Ibrani, Hebrew dan Latin untuk manfaat ilmuwan Barat.

Keempat, keupayaan ilmuwan Islam memanfaatkan faedah berbanding dari tamadun lain supaya sifatnya menyumbang terhadap kebaikan umat manusia. Al Biruni contohnya menjelajah ke India, menguasai bahasa Hindu dengan baik kemudian meneroka mutiara maklumat dan pengetahuan berbanding yang ada kaitannya dengan matematik, sains, astronomi dan lain-lain.

Sejak abad ke-13 dan selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah, umat Islam menghadapi zaman kemerosotan sehingga kini kerana perkembangan ilmu dan amalan terbatas dalam faktor rohaniah dan produktivitinya sebagai sumber amaliah yang mengaturkan hidup dan menyusun tamadun tidak berlaku secara komprehensif.

Pada prinsipnya Allah menganugerahkan bumi umat Islam dengan empat kekuatan. Pertama, Islam sebagai cara hidup dan agama tamadun. Kedua, jumlah umat Islam hampir melepasi 6 bilion orang. Ketiga, kemajuan umat Islam dalam tamadun dulu yang panjang. Keempat, bumi orang Islam kaya dengan sumber tenaga seperti minyak, gas, uranium, thorium dan pelbagai lagi sebagai sumber tenaga yang boleh membangun sebuah tamadun. Hari ini sumber itu menjadi bahan eksploitasi kuasa besar selepas mereka menghancurkan politik dan kepimpinan negara Islam.

Oleh itu, amat penting umat Islam kembali kepada pendekatan kesatuan bukannya perpecahan. Ada semacam kedegilan dan kesombongan di setengah pihak kononnya mereka adalah pejuang Islam sebenarnya dan meremehkan orang lain melakukan aktiviti keislaman atau tidak berlawanan dengan syariah.

Pendidikan adalah wadah yang amat penting dalam pembentukan pandangan semesta supaya fikrah Islam menjadi landasan utama membangun maksud Islam yang produktif rohaniah dan amaliahnnya. Jika ini berlaku, umat Islam bakal memulakan suatu perjalanan yang jelas jejaknya bukannya membazirkan tenaga sumber daya yang terbaik untuk manfaat umat Islam dan manusia seluruhnya kerana Islam bertujuan menghasilkan watak yang lebih manusiawi.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Melayu dan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).