Apatah lagi, hujan sejak kebelakangan ini turut menyebabkan banjir kilat di beberapa negeri dan juga ibu negara.

Kita perlu mengambil berat tentang kedatangan musim tengkujuh kerana dijangkakan terdapat antara empat hingga enam episod hujan lebat berlaku sepanjang Monsun Timur Laut kali ini.

Secara purata terdapat 700 kes lemas setiap tahun namun apa yang lebih membimbangkan, statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus insiden mati lemas direkodkan pada tahun lepas berbanding 2016.

Mereka yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk kes-kes hilang atau lemas di jasad air juga berhadapan dengan risiko seperti insiden terbaru di mana enam penyelam JBPM lemas ketika mencari seorang remaja yang  jatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

Dilaporkan kejadian itu adalah tragedi pertama melibatkan penyelam Pasukan Penyelamat Air JBPM di dalam operasi SAR. Adalah sukar untuk menerima tragedi sedemikian memandangkan mangsa adalah mereka yang terlatih untuk tujuan tersebut

Sementara kita menunggu laporan Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, alangkah baik jika semua pihak terbabit mengambil langkah proaktif bagi mengelak berlakunya kes-kes lemas di seluruh negara.

Semua pihak yang bertanggungjawab ke atas jasad air di kawasan mereka, terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik tanah persendirian, sepatutnya menyediakan papan tanda amaran dan pagar yang mencukupi untuk memaklumkan orang ramai tentang bahaya yang ada.

Walaupun saya telah berkali-kali membangkitkan isu ini, namun masih banyak kawasan berisiko tinggi yang tidak mempunyai papan tanda amaran.

Langkah mudah ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak namun ini amat penting kerana kita akan memasuki musim tengkujuh tidak lama lagi. Sudah pasti lebih banyak kawasan di seluruh negara akan dipenuhi air dan ia akan menimbulkan bahaya kepada orang ramai.

Kes lemas boleh dicegah jika semua agensi dan PBT bersikap proaktif dan tidak menunggu sehingga tragedi berlaku sebelum mengambil tindakan.

Dalam banyak keadaan, PBT hanya akan mengambil tindakan apabila mereka diarahkan oleh kerajaan negeri atau Persekutuan untuk berbuat demikian ekoran berlakunya tragedi. Namun proses pemantauan dan tindakan susulan jarang dilaksanakan dengan baik.

Mereka sepatutnya menggunakan papan tanda keselamatan seragam yang dibangunkan oleh Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) yang dikenali sebagai ISO 20712-1: 2008.

Jika kita lihat di negara-negara maju, papan tanda yang diletakkan di kawasan berisiko tinggi turut memberi penerangan ringkas mengenai bahaya yang ada seperti jenis pusaran air dan kedalaman air di kawasan terbabit.

Di negara kita, mungkin perlu dimasukkan juga maklumat mengenai kewujudan kepala air yang merujuk kepada deruan air dari hulu sungai yang sering berlaku di kawasan air terjun selepas hujan lebat.

Untuk menimbulkan kesedaran serta menjadi peringatan kepada orang ramai, pihak berwajib juga boleh memasukkan jumlah kes lemas yang berlaku di kawasan terbabit agar mereka lebih berhati-hati.

Mereka juga perlu menyediakan anggota penyelamat di pantai tumpuan ramai dan menyediakan pelan tindakan pantas melibatkan Angkatan Pertahanan Awam, JBPM, polis dan pihak berkuasa berkaitan sekiranya berlaku kecemasan.

Masanya telah tiba untuk kerajaan mewajibkan pihak berkuasa tempatan untuk meletakkan alat pengapungan peribadi (PFD) di lokasi berisiko tinggi dan bot rekreasi untuk kegunaan sewaktu kecemasan.

Pada masa ini, masih ada kawasan rekreasi atau bot pelancong yang tidak menyediakan PFD manakala mereka yang mempunyainya pula lebih gemar menyimpan peralatan tersebut.

Saya juga berharap ibu bapa dan orang dewasa akan sentiasa mengawal dan memantau anak-anak mereka atau kanak-kanak lain yang terlibat dalam semua bentuk aktiviti air terutamanya di musim tengkujuh.

Lebih banyak aktiviti juga perlu dilaksanakan untuk membantu meningkatkan kesedaran tentang pencegahan lemas dengan sokongan semua pihak berkuasa, NGO dan komuniti  berkaitan.

Pendidikan tentang keselamatan aktiviti air untuk kanak-kanak juga perlu ditingkatkan kerana ia masih tidak dianggap sebagai perkara serius walaupun terdapat ramai yang menjadi mangsa setiap tahun.

Saya yakin jika semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing dan bersikap proaktif, kita mampu menurunkan jumlah kes lemas di seluruh negara serta membantu mengurangkan risiko yang perlu dihadapi oleh pasukan penyelamat.

 

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA).