Fokus kempen dua calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) didapati lebih kepada komuniti Orang Asli.

Namun, perlu ambil maklum masalah dihadapi komuniti Orang Asli banyak telah diselesaikan. Misalnya, BN melaksanakan projek pembangunan semula perkampungan komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Ruil yang menelan kos RM44 juta. BN meluluskan peruntukan sejumlah besar itu untuk melaksanakan projek perumahan tersebut selepas tragedi tanah runtuh mengorbankan tujuh penduduk kampung tersebut pada 2011.

Projek pembangunan itu juga satu projek yang sangat istimewa bagi masyarakat Orang Asli kerana setiap unit rumah yang kini bernilai RM400,000 diberikan secara percuma kepada Orang Asli, malah seperti tersiar dalam media, tanah juga diberikan percuma oleh kerajaan negeri.

Malah, terdapat juga laporan media tempoh hari bahawa bekas ahli Parlimen BN, Datuk C. Sivaraajh telah berusaha bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia dan kerajaan negeri Pahang dalam merangka master plan untuk membaiki dan menaik taraf infrastruktur atau jalan raya di Cameron Highlands.

Dalam pada itu, jumlah pemilih yang berdaftar bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah 32,105 orang terdiri daripada 10,752 (33.49 peratus) Melayu, 9,467 (29.49 peratus) Cina, 4,836 (15.06 peratus) India dan 7,050 (21.95 peratus) Orang Asli. Parlimen Cameron Highlands meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.01 Tanah Rata dan N.02 Jelai.

Pada PRU-14, calon BN memperoleh 5,858 undi di DUN Jelai mengatasi undi yang diperoleh calon Pas iaitu 2,351. Calon PKR (PH) meraih 8,821 undi mengatasi undi BN di DUN Tanah Rata yang hanya mendapat 5,232 undi. Keputusan itu pada PRU-14 jelas me­nunjukkan BN menguasai DUN Jelai dan PH pula menguasai Tanah Rata.

Namun, memandangkan BN dan Pas kini sehaluan dan kerjasama dalam menentang PH yang jelas terbukti apabila kepimpinan Pas dan UMNO (BN) hadir bersama menyokong calon BN dalam satu majlis ceramah politik di Kg. Felda Sg.Koyan 1, sebuah kampung Felda di DUN Jelai yang dianggap sebagai kubu Pas pada PRU 14. Maka, sokongan Pas kepada calon BN di DUN Jelai dijangka meningkatkan jumlah undi calon BN kali ini.

Dalam pada itu, walaupun pengundi Cina menyokong calon PH secara jelas pada PRU-14, sokongan mereka kepada PH pada PRK ini dikesan kurang nyata. Pengundi India yang menyokong calon PH pada PRU-14 kini dalam dilema untuk terus menyokong calon PH kerana PH gagal melunaskan janji-janji manifestonya. Sebahagian besar pengundi Melayu pula kelihatan menyokong calon BN kerana mereka rasa agama dan hak mereka tertekan semakin hari.

Apapun, para penganalisis politik menganggap keputusan PRK Cameron Highlands sebagai referendum atau pungutan suara rakyat terhadap sokongan dan populariti kerajaan PH yang menguasai Putrajaya sejak PRU-14.

DATUK M. PERIASAMY ialah pensyarah komunikasi strategik.