Trend jumlah pengundi menurun itu bukan petanda baik kepada PH untuk memenangi kerusi Cameron Highlands pada 26 Januari ini. Penurunan peratusan keluar mengundi pada empat PRK itu memberi dua gambaran besar. Pertama, selera rakyat untuk mengundi menurun kerana PH sudah berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN). Kedua, rakyat kecewa kepada PH kerana gagal melaksanakan manifesto dalam PRU-14.

Sentimen ini boleh berlarutan dalam PRK Cameron Highlands yang merupakan kubu kuat BN. Kemenangan 4-0 PH ke atas BN bukan tiket untuk menang mudah di Cameron Highlands. BN pasti beri tentangan sengit. Ada banyak faktor yang boleh memberi kelebihan kepada BN selain kubu kuatnya dan dua keadaan di atas.

Keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh kerana didakwa melakukan rasuah bagi meraih undi bukan penghalang pengundi untuk menyokong calon BN. Kali ini BN tampilkan anak tempatan keturunan Orang Asli bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Ramli Mohd. Nor. Sentimen anak tempatan dan Orang Asli pertama bertanding dalam pilihan raya dianggap satu pendekatan rasional BN untuk berhadapan saingan PH.

Calon PH, M. Manogran pula mencuba kali ketiga. Dalam PRU-14, Manogran tewas kepada Sivarraajh dengan majoriti 597 undi. Sebelum itu, beliau tewas di tangan Datuk Seri G. Palanivel dengan majoriti 462 undi. Berdasarkan dua rekod dua itu, Manogran tidak mempunyai banyak kelebihan dalam PRK kali ini.

Kini isu politik wang dikatakan berlaku di Cameron Highlands gara-gara tular foto pemberian `wang minyak’ kepada sukarelawan parti oleh PH. Ini diumpamakan `senjata memakan tuan’. Jika BN mampu memanipulasi isu ini, Ramli mempunyai kelebihan untuk atasi Manogran.

Berdasarkan pandangan di atas, dari segi momentum sokongan rakyat kepada PH dilihat mula menurun. Kegagalan melaksanakan manifesto PRU-14 serta isu `wang minyak’ ternyata memberi gambaran awal mengenai kesukaran yang bakal dihadapi oleh Manogran dalam PRK Cameron Highlands. Dua kali mencuba nasib tetapi gagal dan percubaan kali ketiga tidak semudah yang didakwa.

Menentang ICERD

Sementara itu, isu besar yang memberi cabaran kepada PH adalah berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Kelihatan BN berjaya menarik perhatian dan sokongan semula orang Melayu di negara ini. Bahkan isu dibawa oleh UMNO itu turut mendapat sokongan Pas. Pada PRK Cameron Highlands kali ini, Pas tidak bertanding dan pastinya parti itu memberi sokongan kepada BN.

Isu ICERD dan sokongan Pas memberi kelebihan kepada BN. Sejak cadangan ratifikasi ICERD ditentang keras oleh BN dan disokong oleh Pas, kelihatan momentum sokongan rakyat kepada dua parti itu semakin meningkat. Lautan manusia Melayu-Islam berada di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018 memberi petunjuk bahawa pengundi dan orang Melayu sudah mula berpaling daripada PH. Sedikit sebanyak calon BN ada kelebihan.

Lagipun BN dan UMNO kini di bawah kepimpinan sementara Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau dilihat mempunyai aura tersendiri bagi menarik sokongan pengundi kepada BN walaupun Presiden MyPPP M. Kayveas menyatakan sokongan kepada calon PH.

PRK Cameron Highlands juga disifatkan sebagai medan ujian kepada kepimpinan Mohamad dalam menerajui BN dan UMNO. Jika BN mampu mengekalkan kerusi, maka hasrat PH mencapai kemenangan 5-0 terkubur. Ini sekali gus memberi petunjuk bahawa momentum sokongan rakyat kepada PH kian menurun disebabkan banyak faktor termasuk yang disebutkan di atas. Namun, penentu sebenar kemenangan mana-mana calon tetap terletak pada pengundi.

Penulis menjangkakan peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding empat PRK sebelum ini yang mungkin mencapai 80 peratus. Jika ini berlaku, peluang pasti terbuka kepada calon BN.

Dr. Malike Brahim ialah Perunding Kanan Global Political Analyst and Academic Consultant (GoPAC).