Namun tidak perlu ada sangsi atau curiga oleh sesiapa atau mana-mana pihak. Apa yang terbukti, Perhimpunan Agung UMNO bukan sahaja medan membincangkan hal ehwal Islam dan orang Melayu, tetapi turut mengambil kira kepentingan negara dan keperluan seluruh rakyatnya. UMNO adalah sebuah parti yang bersikap ‘terbuka’ dan relevan untuk semua. UMNO menaungi dan mempertahankan hak serta kedudukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, latar belakang agama dan budaya.

UMNO sentiasa ‘sederap seganding’ dengan rakan-rakan lain dalam komponen Barisan Nasional (BN), meletakkan prinsip bermusyawarah, bersederhana, serta menentukan pengagihan kemakmuran secara inklusif dan adil saksama sebagai amalan dalam pemuafakatan. Hasilnya, pakatan BN sentiasa teguh berpadu.

Jadi, jangan ada mana-mana pihak cuba mengganggu privasi orang Melayu yang membincangkan hal ehwal kehidupan mereka. Segala rumusan untuk membina kekuatan ummah dan bangsa Melayu baik dari segi kemajuan sosial, ekonomi dan kedudukan politik, bukan bererti untuk bermusuhan atau berperang de­ngan mana-mana pihak, tetapi demi untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pihak lain. Sekali gus untuk menentukan kestabilan negara dan kemakmuran rakyatnya sentiasa terjamin.

Disebutkan hal ini, kerana a­khir-akhir ini ada pihak yang semakin galak ‘mengintai’ dan seboleh-bolehnya mahu menceroboh kedudukan asasi orang lain sehingga kadang-kadang menimbulkan keresahan atau rasa tidak senang pihak lain. Sedangkan ada cendekiawan Melayu menyebut: “Selagi orang Melayu merasakan kedudukan dan hak-hak keistimewaan mereka terganggu, selagi itu keharmonian sebenar tidak akan wujud di negara ini...”

Apa yang diharapkan, walau apa pun yang tersurat atau tersirat di sebalik agenda atau perjuangan politik mana-mana pihak tertentu, janganlah sampai menerjah keterlaluan sehingga boleh mengganggu perasaan pihak lain khususnya orang Melayu. Semua pihak perlu akur dan sedia memahami serta menghormati kedudukan semua bangsa dan agama di negara ini berpandukan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Jangan ada pihak sengaja menafikan hak dan kedudukan Me­layu. Lagipun, hakikat yang terdapat di Malaysia, tiada sesiapa pun insan yang bernama warganegaranya dinafikan hak menikmati kemakmuran dan ke­sejahteraan negara. Sistem pemerintahan yang ada membebaskan sesiapa saja meraih sebanyak mana kejayaan dan mencipta setinggi mana kecemerlangan.

Bersidanglah para pendukung dan pejuang bangsa Melayu. Jadikan perhimpunan parti ini sebagai medan untuk bermuhasabah, meneliti dan mengamati kembali apa-apa yang perlu diperkasa, diperbetulkan atau ditegur bagi menentukan UMNO benar-benar berada di landasan yang betul dalam menentukan kedaulatan Melayu dan kesucian Islam sentiasa terjamin dan terpelihara.

Selain itu, UMNO perlu mene­liti segala cabaran dan ancaman yang boleh merosakkan perpa­duan ummah serta elemen yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman negara. UMNO perlu berdiri teguh di belakang kerajaan bagi menentukan urus tadbir dan segenap peraturan serta perundangan berjalan lancar dan dipatuhi. Khabarnya pada perhimpunan kali ini akan turut dibawa usul mengenai kepen­tingan ummah sejagat, iaitu mengenangi nasib yang sedang menimpa umat Islam Rohingnya di Myanmar.

Para perwakil­an tidak perlu gentar dan bimbang jika persekitaran ungkapan dan perbahasan mereka menjurus kepada usaha memartabatkan kedudukan Me­layu dan Islam di negara ini. Jika tidak di perhimpunan seperti ini, di mana lagi pemimpin dan perwakilan Me­layu dapat menyuarakan pandangan demi memperbetulkan segala kelemahan dan membina kekuatan melalui pelbagai cara dan kaedah yang berkesan demi bangsa mereka?

Seperti lazimnya, perhimpunan diisi dengan perbincangan dan perbahasan mengenai segala sesuatu dalam lingkungan hak dan batas ketentuan yang sewajarnya ‘dimiliki’ oleh masyarakat Melayu. Juga langkah-langkah menentukan kesucian Islam sentiasa terpelihara. Para perwaki­­l­an tidak tamak untuk menuntut le­bih daripada apa yang sepatutnya, selari dengan apa yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagaimana UMNO tidak pernah menjenguk privasi pihak lain dalam persidangan pertubuhan-pertubuhan politik mereka, parti keramat orang Melayu ini tidak merasa senang jika ada pihak tertentu yang sengaja mencari patah-patah perkataan atau ung­kapan yang kadang-kadang melalui tersalah tutur kata atau bahasa untuk diputarbelitkan atau dimanipulasi dan dijadikan isu yang boleh meresahkan umum atau kaum tertentu.

Perhimpunan Agung UMNO pada usia 70 tahun kali ini dianggap penting ekoran ramalan kencang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan diadakan tidak lama lagi. Cabaran UMNO adalah untuk mencapai kemenangan cemerlang pada PRU-14 setelah mengalami penurunan sokong­an pada dua musim yang lalu. Juga cabaran bagi UMNO untuk me­nyatakan kepada semua, bahawa parti itu tetap utuh dan bertenaga meskipun terpaksa merentasi ‘kemelut’ melibatkan beberapa pemimpin kanan yang kini sudah tercampak ke luar parti.

Apa yang penting untuk diamat­i oleh perwakilan dan pemerhati adalah terhadap isi kandungan ucapan dasar pre­siden parti. Di dalamnya tentu sarat dengan latar belakang terkini negara meliputi pencapai­an dan kejayaan, selain cabaran dari dalam dan luar serta perancangan masa depan. Turut akan disentuh tentunya tentang kedudukan orang Melayu, termasuk aspek taraf sosial, pencapaian ekonomi serta tahap kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan.

Para perwakilan kemudiannya boleh membahas secara mendalam ucapan dasar Presi­den UMNO itu di samping usul-usul khusus tentang ekonomi, pendi­dikan dan agama. Segalanya boleh disampaikan dalam semangat dan jiwa UMNO dengan fokus yang jelas agar segala hasrat dan matlamat tercapai dengan berkesan.

Tentunya juga bukan menjadi amalan perwakilan untuk bercakap dalam bahasa kasar dan jauh sekali berhujah tanpa tertib. Segala ini akan menterjemahkan kepada umum bahawa UMNO adalah sebuah parti yang bermo­ral tinggi dan apa yang dibentang di perhimpunan agung bersifat bernas serta padat dengan objektif. Semoga perhimpunan ini berjalan lancar dan usaha memperkasa agenda politik dan martabat orang Melayu tercapai de­ngan berkesan.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.