Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ADA orang dari mula dia celik mata, pagi-pagi lagi sehinggalah waktu hendak masuk tidur semula pada malam hari, kita semua sudah tahu apa yang dilakukannya sepanjang hari itu. Bukan jadi rahsia lagi. Apa saja yang dilakukan akan diberitahu di laman sosial terutamanya Facebook (FB) termasuk memuat naik video dan gambar sekali.

Pada hari-hari seterusnya pun begitu juga, dia akan terus memberitahu di mana dia berada, apa yang dilakukannya di pejabat, apa yang sedang dilakukan bersama anak-anaknya di rumah atau di luar rumah atau apa yang dimasaknya. Status yang biasa kita baca - ``Ini sajalah yang termampu dimasak hari ini.’’ Tetapi atas meja makan ada enam jenis lauk!

Pendek kata, kita boleh melihat kegiatan hariannya umpama menonton wayang! Semuanya hendak diceritakan.

Tetapi yang boleh buat kita jadi hairan, apabila kita bertanya atau memberi pendapat tentang mana-mana aktiviti yang ditayangkan dalam FB itu, dia akan buat-buat terkejut dan bertanya - “Macam mana boleh tahu? Kau mengendap wall Fb aku kah?’’

Sebenarnya, ramai yang melakukannya dengan sedar dan ada juga tanpa sedar. Ada yang memang suka-suka mahu orang lain tahu semua yang dilakukan setiap hari dan ada pula berbuat demikian bukan niat untuk memberitahu atau menunjuk-nunjuk tetapi kerana ‘ketagihan’.

Ketagihan, kalau sehari atau beberapa jam atau mungkin beberapa minit saja tidak memuat naik gambar atau status dalam laman sosial, dia jadi tidak ­keruan dan merasakan kehidupannya tidak lengkap atau sempurna pada hari itu.

Maka kita tidak hairanlah dalam masa sehari saja, purata status yang dimuat naik ke laman sosialnya antara 10 hingga 20 status dan sampai kita pun boleh terfikir, dia ini tidak bekerjakah atau tiada kerja lain?

Ada juga yang pada waktu sepatutnya berada di pejabat, memuat naik gambar bersembang dengan kawan-kawan di luar atau membawa anak-anak keluar makan, sedangkan dia memberi alasan keluar pejabat atau lewat masuk ke pejabat kerana ada urusan mesyuarat dengan pelanggan syarikat. Inilah yang dikatakan dalam ketagihan dan keterujaan hendak menayang semua benda dalam laman sosial, akhirnya menjerat diri sendiri.

Seorang rakan memberitahu saya, dia cuba untuk mengurangkan masanya menghadap telefon pintar. Sebelum ini, dia tidak boleh berenggang dengan ­telefonnya. Bangun saja dari tidur, perkara pertama yang akan dilakukan adalah mencapai telefon pintar­nya sehinggakan leka dan terlewat untuk solat subuh dan pergi kerja. Begitu juga masa bekerja, dia lebih fokus pada telefon pintarnya. Kerja pun selalunya jadi lambat siap dan menyusahkan rakan sekerja lain.

Yang mendatangkan kesedaran pada dirinya, apabila dia tersondol kereta di depannya ketika memandu kerana leka membaca mesej dalam telefon. Katanya, teruk dia dimaki oleh pemandu kereta yang dilanggarnya itu. Menggigil kepala lututnya. Tak pula dia memuat naik gambarnya melanggar kenderaan berkenaan.

“Macam satu penyakit pulalah, laman sosial ni. Mesti hendak tengok setiap masa. Sampai tak boleh buat apa kerja pun,’’ katanya.

Dan sekarang, dia kurang menilik telefon pintarnya. Katanya, kini dia lebih fokus ketika bekerja dan kerja-kerja di rumah pun tidak bertangguh. Kalau dulu dia asyik bertangguh melipat baju-bajunya di rumah sehingga `menggunung tinggi’ di atas katil, kini semua­nya beres dan rumah pun nampak kemas.

Pada saya tidak salah hendak memuat naik status itu dan ini. Itu hak masing-masing. Tetapi bersederhanalah. Takkanlah semua hal pun mahu masuk dalam FB atau Instagram. Saya amat mementingkan privasi. Hidup ini bukan untuk tontonan semua orang. Kalau ada orang yang berniat tidak baik kepada kita, senang-senang saja dia tahu di mana kita atau keluarga kita berada. Ingat, dalam laman sosial ini, bukan semuanya orang baik-baik, ramai juga yang penyangak!

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain