Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, FATAH SULAIMAN dengan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, DATUK MOHD. NOORDIN ABBA S di Kuala Lumpur, baru-baru ini, yang mengupas mengenai peranan syarikat itu
sebagai badan pengiktirafan mewakili media yang mengiktiraf pemain industri dan individu yang telah menaikkan nama negara di peringkat tempatan dan global.

UTUSAN MALAYSIA: Kenapakah wujud peningkatan penyertaan?

MOHD. NOORDIN: Penganjuran UBA 2015 yang julung kali diadakan telah ber­jaya membantu menyerlahkan lagi potensi pemain industri dan syarikat yang sudah lama berkecimpung dalam bidang masing-masing.

Kebanyakan penerima anugerah itu masih menggunakan logo UBA 2015 pada setiap papan iklan syarikat masing-masing bagi me­nunjukkan mereka syarikat perniagaan berprestij yang diiktiraf di negara ini.

Ini kerana anugerah berkenaan berjaya menaikkan profil serta imej syarikat masing-masing di­­­sebabkan diterima daripada Kum­pulan Utusan iaitu peneraju me­dia utama yang paling lama di Malaysia.

Boleh ceritakan mengenai maj­­lis yang akan diadakan?

Anugerah kali ini bakal diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada sebelah malam dan insya-Allah penganjuran UBA 2017 begitu hebat sekali dan pemenang tentu akan berasa bangga mendapat pengiktirafan daripada Kumpulan Utusan.

Selain itu, memanglah menjadi hajat Kumpulan Utusan agar penaung kita pada tahun ini tak lain dan tak bukan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kalau UBA 2015 dahulu, pe­naung Diraja ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, maka kali ini kami akan berasa begitu berbesar hati sekiranya mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri sendiri untuk menjadi penaung.

Kami belum mendapat lagi kata putus daripada Datuk Seri kerana kami tahu beliau memang sekarang ini sibuk sekali, tambahan lagi kita mendekati Pilihan Raya Umum Ke-14. Saya memang tahu dan kami sedar dan akur dengan jadual Datuk Seri yang begitu padat sekali. Tapi kami juga pasti yang pemenang dan pemain industri ini memang amat teruja kalau mereka mendapat tahu bahawa Perdana Menteri sendiri yang akan datang dan menjadi penaung serta seterusnya me­nyampaikan anugerah tersebut kepada mereka.

Kita berharap UBA 2017 dapat dijadikan satu platform untuk memberikan pengiktirafan dan menyatakan terima kasih Kumpulan Utusan, kerajaan dan mungkin juga rasa terima kasih Perdana Menteri sendiri kepada pemain industri yang telah bertanggungjawab menaikkan nama dan prestasi Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Apakah pembaharuan kali ini?

Kali ini terdapat tujuh anugerah baharu diperkenalkan dengan meluaskan lagi penilaian yang merangkumi pelbagai sektor perniagaan lain antaranya ekonomi digital, fesyen, e-dagang serta beberapa lagi.

Namun begitu, anugerah uta­ma masih dikekalkan iaitu Anu­gerah Pencapaian Sepanjang Ha­yat (tiga penerima) dan paling ti­nggi Anugerah Tokoh Negara­wan Ulung yang sebelum ini telah dimenangi oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Selain itu, pameran mini akan diadakan pada malam anugerah mengenai semua penerima UBA 2015 berserta portfolio mereka selain gambar sekitar majlis berkenaan yang telah dihadiri oleh Sultan Perak sebagai Penaung Diraja.

Ini bertujuan bagi mengambil aura kemeriahan majlis yang julung kali dianjurkan itu selain menghargai penerima terdahulu yang kebanyakannya adalah pe­neraju syarikat gergasi di Malaysia.

Kita juga akan menjual buku imbasan UBA 2015 yang mengan­dungi banyak gambar berkualiti tinggi dan cerita tersendiri yang saya rasa boleh dijadikan satu kenangan kepada pemenang.

Bagaimana kriteria penilaian pemenang?

Kesemua anugerah dinilai menerusi perspektif lebih luas dan ketat dengan melihat sumbangan masing-masing dalam menaik ta­­raf kemakmuran masyarakat dan negara. Selain itu, kami juga mengambil kira sumbangan sesebuah syarikat dari sudut sosial, ekonomi, penglibatan dalam ta­nggungjawab sosial (CSR) dan po­litik.

Bagi Anugerah Pencapaian Se­panjang Hayat, kategori ini dihadkan kepada tiga tokoh pe­nerima yang menilai sumbangan sepanjang hayat mereka dalam bidang ekonomi dan komuniti perniagaan secara global.

Kesemua pencalonan akan disaring secara berperingkat oleh sekretariat UBA 2017 sebelum dinilai oleh juri luar, dan keputusan akhir akan diteliti oleh juri dalaman sebelum majlis anugerah berlangsung.

Apakah faedah yang bakal diperoleh penerima anugerah?

Kita bukan setakat membuat pengiktirafan tetapi akan terus memberikan mereka pendedahan dalam akhbar kita dan juga melalui Utusan Online yang pengikutnya telah melonjak berkali-kali ganda. Bagi saya anugerah kali akan menggembirakan semua pihak yang terlibat terutama para pemenang.