Proses pembangunan yang dilalui dan kemajuan dicapai negara sehingga hari ini adalah hasil penyesuaian dilakukan terhadap aspek-aspek kemajmukan ini dari segi sosial, ekonomi dan politik. Banyak langkah dan usaha dilakukan pelbagai pihak dalam memastikan Malaysia terutama ­rakyatnya dapat berkembang maju ke tanpa dihambat oleh faktor perbezaan kaum, agama dan budaya.

Sebagai sebuah negara moden yang sedang melakar masa depan lebih dinamik serta menggembleng usaha untuk meletakkan diri sebagai salah sebuah negara maju menjelang 2020, cabaran berterusan dari arus globalisasi dan pasca kemodenan adalah satu realiti yang harus ditangani sebaik mungkin.

Ini termasuklah ancaman pelbagai krisis berbentuk penindasan dari segi ekonomi, politik dan sosial serta isu-isu berkaitan pencabulan hak-hak kemanusiaan. Cabaran-cabaran ini, jika tidak diatasi dengan baik dan berhemah, akan menjadi halangan kepada proses pembinaan keharmonian dan perpaduan rakyat dalam negara ini.

Dalam konteks hubungan antara penganut agama, Malaysia juga berhadapan dengan ancaman agenda-agenda negatif kelompok yang berfikiran sempit dan radikal yang tidak pernah mahu mengenali dan memahami apatah lagi menghormati kefahaman, tradisi, nilai dan budaya kelompok yang berlainan dari mereka.

Sejujurnya, perlu wujud kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa usaha membina peradaban dan mencapai status kemajuan bagi Malaysia seharusnya bertunjangkan kepada persefahaman, tolak ansur dan rasa hormat-menghormati yang tinggi dalam kalangan rakyatnya agar ia menjadi asas kukuh kepada kemajuan negara.

Sebagai contoh, ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak menyedari bahawa pada minggu pertama Februari setiap tahun, satu sambutan sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia diadakan di peringkat Malaysia.

Sambutan ini adalah sebahagian daripada resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hasil cadangan oleh Raja Abdullah II dari Jordan pada 23 September 2010 dalam Sesi Plenari, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-65 di New York, Amerika Syarikat.

Berikutan itu, semua negara anggota PBB di seluruh dunia diminta untuk meraikan dan mengisi Minggu Keharmonian ini dengan pelbagai aktiviti bersesuaian yang bertujuan untuk mempromosi persefahaman dan keharmonian antara penganut agama. Lazimnya, sambutan ini diisi dengan program ilmiah seperti forum, seminar bagi membina persefahaman dan memupuk sikap toleransi antara penganut pelbagai agama di Malaysia.

Pada tahun ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan berganding bahu menganjurkan satu forum harmoni sempena Sambutan Minggu Keharmonian antara Penganut Agama 2018 sebagai usaha menyemarakkan agenda perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat pelbagai agama di Malaysia.

Program ilmiah seperti ini dianjurkan dengan harapan agar semangat muhibah dapat dipupuk dengan menitikberatkan kepada aspek hormat, tolak ansur dan menerima perbezaan. Melalui semangat muhibah sebegini, perbezaan yang wujud terutamanya dalam dimensi kepercayaan asas sesebuah agama, tidak akan dijadikan penyebab kepada sebarang konflik atau percanggahan dalam masyarakat.

Islam memperakui kewujudan pelbagai agama dan ia menjadi satu tanda kebesaran Allah SWT yang menjadikan alam ini dan penghuninya dalam pelbagai rupa dan bangsa. Perkara ini jelas dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan sekiranya Tuhanmu mengkehendaki, nescaya Dia jadikan manusia (semua) satu umat, tetapi tetap mereka berselisih (berbeza-beza).” - (Surah Hud ayat 118).

Serta dinyatakan juga dalam ayat-ayat yang berikut: “Bagimu agamamu, bagiku agamaku.” - (Surah Al-Kafirun ayat 6) dan “Wahai manusia, sesungguhnya Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa dan berpuak-puak semoga kamu dapat kenal mengenali antara satu sama lain.” - (Surah al-Hujurat ayat 13).

Banyak negara luar pada ketika ini berhadapan dengan cabaran dalam menguruskan masyarakat pelbagai agama dan bangsa dalam negara masing-masing, dan banyak juga yang terpaksa berhadapan dengan persengketaan dan kon­flik akibat dari cabaran ini.

Seharusnya, sebagai rakyat Malaysia yang masih dapat meneruskan kehidupan seharian dalam keadaan aman dan harmoni, perlu ada rasa syukur kepada Tuhan yang meng­anugerahkan nikmat kehidupan sebegini di bumi tercinta ini.

Justeru, dalam usaha kerajaan menggerakkan agenda Transformasi Nasional 2050 atau TN50, perpaduan dan keharmonian sememangnya perlu menjadi antara prasyarat penting kepada pencapaian yang dicita-citakan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).