Kalau isunya ideologi apa beza UMNO dengan perjuangan PPBM yang memberi fokus mendapatkan dukungan orang Melayu tetapi bersyubahat dengan DAP yang menjadi musuh utama Mahathir dan Muhyiddin bertahun-tahun.

Kecaman Mahathir-Muhyiddin dulu terhadap DAP amat berat sekali. DAP dihubungkan sebagai parti rasis dan anti-Islam.

Kini DAP menjadi rakan kongsi untuk menjatuhkan UMNO dan Kerajaan. Mahathir-Muhyiddin menuduh kerajaan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Lalu DS Najib dijadikan sasaran. Sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor tadbir urusnya dipertikaikan. Hal yang sama 22 tahun Mahathir jadi Perdana Menteri terlalu banyak isu tadbir urus Mahathir dibangkitkan.

Kalau zaman Mahathir-Muhyiddin mentadbir negeri dan negara terdapat tuduhan mengatakan salahurus berlaku apakah kuman diseberang laut nampak, gajah dibibir mata tidak nampak. Sudah tentu ada sebab-sebab peribadi yang

menyebabkan Mahathir-Muhyiddin mengambil pendekatan menjatuhkan DS Najib, UMNO dan Kerajaan.

Untuk menjatuhkan UMNO, DS Najib dan Kerajaan diwaktu umur Mahathir-Muhyiddin sudah mencapai batas senja cita-cita politik mereka tidak akan kesampaian. Jalan mudah dan pragmatis ialah bersekongkol dengan DAP yang mereka

benci dulu.

Pemimpin yang berdolak dalik kerana dendam peribadi tidak akan sampai ke mana. PPBM bercadang mengambil alih kuasa UMNO dan DAP menggunakan PPBM untuk memecah-belahkan undi Melayu. Orang Melayu tidak boleh memaafkan

ketelanjuran ini. Ia menjadikan UMNO semakin kuat dan orang Melayu semakin marah terhadap gelagat Mahathir.

Ternyata DAP sama-sama mendukung Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Kalau dulu DAP bertegas mahu Anwar jadi Perdana Menteri kini berubah ke arah Mahathir dan Anwar akan berdepan dengan masalah undang-undang

untuk aktif dalam politik apabila keluar dari penjara Sungai Buluh 8 Jun nanti. Lim Kit Siang tentu ingat kata-kata mendiang Karpal Singh di Parlimen mengenai Anwar Ibrahim. Tapi Karpal Singh sudah tidak ada. Lim Kit Siang

semakin berani mencadangkan Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana percaturan politik jangka pendek dan jangka panjang untuk memerintah Malaysia.

Orang Melayu masih ingat sejarah perpisahan Singapura dari Malaysia dan sejarah hubungan DAP dan PAP Singapura. Minoriti Melayu Singapura nasibnya tidak sama seperti minoriti Cina di Malaysia. Melayu Singapura terpinggir

dengan dasar yang ada tetapi Cina Malaysia mempunyai ekuiti ekonomi yang tinggi berbanding dengan orang Melayu.

Walaupun sebahagian orang Melayu lupa sejarah, asyik dengan sedikit kemewahan yang diterima dan tidak bersyukur dengannya, sebahagian generasi muda lupa diri dan hilang jatidiri, sebahagian orang Melayu yang tidak

menginsafi pentingnya kuasa di Malaysia dipertahankan tetapi masih terdapat ramai orang Melayu yang insaf akan sejarah silam kerana sifat sejarah mengulangi jejak.

DAP jangan ingat menggunakan Tunku Aziz suatu ketika dulu, Aziz Bari, A.Samad Said, Zaid Ibrahim, Diana Sofya dan ramai lagi menyebabkan orang Melayu terpesona dan mudah terpengaruh. Majoriti orang Melayu di Malaysia masih

sayangkan kesatuan bangsanya bukan untuk menindas bangsa lain tapi mahukan orang yang mempunyai kuasa ekonomi dan kuasa beli yang tinggi bertimbangrasa terhadap orang Melayu yang sedang berusaha untuk maju dan berubah.

Orang Melayu sangat sedar dan insaf betapa dengan kekuatan ekonomi orang-orang Cina mampu mengisi pembangunan perumahan harga mahal, membangun bandar-bandar baru dan pusat-pusat perniagaan terutama di Selangor dan tidak mustahil Selangor negeri terkaya di Malaysia menjadi seperti Pulau Pinang kerana taburan demografi (kependudukan) memihak kepada yang mempunyai kuasa beli dan mempunyai talian dengan pembangkang.

PPBM, Mahathir-Muhyiddin tahu akan kemungkinan ini. Tetapi kerana politik kebencian yang terlalu peribadi sanggup mereka mengulangi sejarah Semangat 46 untuk memecahkan kesatuan umat Melayu supaya DAP dapat melakukan dominasi akhirnya.

Dan sejarahwan bakal memberikan analisis berasaskan fakta dan muslihat perjuangan politik tokoh-tokoh tertentu di Malaysia dan pendirian Mahathir-Muhyiddin bersekongkol dengan DAP bakal menjadi faktor yang menarik untuk

dianalisis. Dan tidak mustahil hilangnya Semangat 46 dalam arena politik negara boleh terjadi kepada PPBM.

Asas kukuh menyokong andaian ini ialah bersama-sama dengan DAP dilihat oleh orang Melayu sebagai suatu kesilapan besar. Kedua mencadangkan Mahathir sebagai Perdana Menteri (jika terjadi) bakal mendalamkan lagi krisis

di kalangan parti komponen Pakatan Harapan.

Ketiga, Mahathir belum tentu boleh menang sekiranya bertanding di Kubang Pasu, Langkawi atau Putrajaya. Keempat PPBM ialah parti baru yang belum mempunyai dukungan yang besar dan akar umbi yang mampu menggerakkan jentera parti menghadapi piliharaya. Kelima, Anwar Ibrahim tahu usaha mohon pengampunan belum tentu terjadi dan Mahathir tidak akan lupa nasib anaknya Mukhriz sebagai calon pemimpin untuk meneruskan legasi Mahathir kerana sikap dolak-dalik Mahathir dalam politik sangat nyata.

Perpaduan di kalangan orang Melayu amat dituntut dalam situasi politik Malaysia. Orang Melayu harus jadi teras dalam pemerintahan negara dan berlaku adil kepada kaum-kaum lain. Orang Melayu harus mampu menyerap kesabaran dalam

menghadapi cabaran bernegara. Ketidakpuashatian terhadap beberapa kelemahan yang terdapat harus didekati dengan sabar dan bijaksana. Memutuskan silaturrahim dan mewujudkan perpecahan mudah berlaku tetapi merintis jalan perpaduan amat payah.

Kehadiran PPBM mencalarkan perpaduan orang Melayu. Untuk PPBM menggantikan UMNO jalannya tidak mudah. Orang Melayu amat memahami memilih jalan berpecah bakal meletakkan orang Melayu kehilangan kuasa. Lebih-lebih lagi PPBM berkawan dengan DAP yang anti Melayu dan Islam, PKR yang sedang berdepan dengan krisis kepimpinan dan PAN yang ingin menggantikan PAS selepas gagal menguasai kepimpinan PAS. Harapan untuk melihat orang Melayu terus menguasai kerajaan semakin tipis.

Kini PPBM menghadapi kemungkinan dibubarkan menjelang akhir Mac ini. Ada cerita Mahathir dan Muhyiddin akan bertanding dikerusi DAP. Kalau ini terjadi betapa sukarnya sejarah perkembangan politik negara ingin ditulis secara

akademik kerana politik putar-balik terjadi dan apa yang dijadikan pendirian politik lebih 22 tahun menjadi sebaliknya kini.