Bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) PPBM, Abd. Wahazir Abd. Wahab mendakwa, apa yang disuarakan beliau bersama rakan-rakan lain adalah bersesuaian dengan mandat kebebasan berkuasa yang diberikan kepemimpinan sejak awal penubuhan parti.

Namun kini, dakwanya kebebasan itu semakin disekat dan lebih malang lagi mana-mana pihak yang cuma mempersoalkan parti akan digelar sebagai pemakanan dedak ataupun macai UMNO.

“Persoalan yang kami bangkitkan merupakan isu-isu pokok yang perlu dijawab kerana kami sebagai ahli akar umbi dan rakyat mahu tahu adakah PPBM ini mengamalkan kronisme atau pemerintahan diktator? Malangnya pemimpin tersebut asyik mengelak daripada menjawab persoalan kami.

“Jika kepemimpinan PPBM meneruskan cara pentadbiran sebegini saya berani kata mereka ini tidak layak untuk menjadi pemerintah negara, saya juga yakin setiap janji yang ditaburkan tidak akan mampu dipenuhi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam bekas Exco Armada PPBM, Mohamad Taufik Abas bersama beberapa rakan seangkatannya meluahkan rasa tidak puas hati ekoran dipecat daripada jawatan Exco Pemuda kerana mempersoalkan beberapa isu dalaman parti termasuk kekayaan anak-anak pengerusinya, Dr. Mahathir. - UTUSAN ONLINE