Aku berasa hairan dengan tindakan ganas mereka. Seolah-olah, mereka telah bermutasi. Kaca mulai retak. Ada garisan yang mulai memanjang di permukaan tingkap. Perasaan takut menjadi-jadi. Namun, kaki aku seakan terpasung pada lantai.

Pranggg! Akhirnya cermin tingkap pecah berderai. Kumpulan kelekatu itu terbang masuk umpama lebah yang mahu menyengat. Semuanya menuju ke arahaku.

“Tolong!!!” Aku membuka langkah seribu. Disebabkan bimbang sekiranya di luar rumah pun ada rakan-rakan kelekatu yang sedang menunggu, aku segera berlindung di bilik temanku, Haris

“Woi, apahal ni?” tanya Haris.

Dummm! Dummm! Kedengaran bunyi pintu dihentam sesuatu.

“Hoi, siapa yang kurang ajar sangat tu hah?” Haris naik berang.

“Jangan buka pintu tu Haris!” Tetapi segalanya sudah terlambat.

Sebaik sahaja pintu dibuka, kumpulan kelekatu itu terus bertindak ganas. Kami berdua terlolong-lolong. Kelekatu semakin banyak dan hampir memenuhi segenap ruang bilik.

“Tolong!!!”

Aku melihat sekeliling. Suasana bertukar sunyi.Tubuhku sedang terbaring di atas katil. Aku bermimpi rupanya. Cuma jantung yang masih berdegup laju.Mataku tertancap pada sekeping potret lukisan yang diletakkan di tepi meja.

***

Dua minggu yang lalu.

Aku berjalan kaki pulang dari kelas bersama Haris. Dia mengajak untuk singgah sebentar ke sebuah pasar antik yang baru dibuka.

“Cantikkan lukisan ni?” ujarHaris.

Aku mengangguk. Tapi tentu mahal harganya.

“Kalau adik tak cukup duit, pakcik boleh jual murah. Sepuluh ringgit je.” Pakcik penjual lukisan itu seolah-olah dapat membaca fikiran aku.

Pandangan mataku menerobos potret berkenaan. Cantik dan unik. Tanpa berfikir panjang, aku bersetuju. Potret berkenaan bertukar tangan.

***

Aku membuka mata. Kini, aku sedang berdiri di tengah bandar di waktu malam yang sunyi. Tidak kelihatan kelibat sesiapa pun. Malah, lampu-lampu jalan juga tidak berfungsi.Aku keliru.

Tanpa diduga, salah satu lampu jalan menyala sendiri. Segera aku menapak kearah lampu berkenaan. Namun sebaik sahaja aku tiba,kedengaran bunyi bising sebelum sekumpulan kelekatu muncul lalu menyerang ku tanpa belas kasihan.

“Warghhh!!!”

Aku terjaga dari tidur. Badanku basah bermandi peluh. Aku bermimpi lagi? Nik terkocoh-kocoh membuka pintu bilik sebaik terdengar jeritanku tadi.

“Kenapa kau terjerit-jerit ni?” tanya Nik.

Aku menghela nafas sebelum menceritakan perihal mimpi-mimpi pelik yang aku alami sejak membeli potret unik tempoh hari. Nik merenung potret berkenaan.

“Kau beli kat pasar antik? Setahu aku, tak ada pasar antik sekitar kawasan ni,” kata Nik.

“Kalau kau tak percaya, kau tanyalah Haris. Aku pergi dengan dialah.”

Nik memaling kearah aku dengan dahi yang berkerut seribu.

“Haris? Hariskan dah mati bulan lepas!”

Aku terlopong. Ya,Haris telah meninggal dunia sebulan yang lalu. Sekarang, tinggal aku dan Nik berdua sahaja di rumah ini. Kenapa aku boleh terlupa?

***

Pedal minyak ditekan. Kereta meluncur laju keluar dari kawasan perumahan. Aku mahu buang potret pelik itu jauh dari sini sebelum hidup aku terus diganggu dengan perkara-perkara yang boleh menjadikan aku gila.

“Kau kena ambil cutilah, rehatkan fikiran,” saran Nik.

“Kat mana tempat yang best?”

“Apa kata kau pergi... .”

Telefon bimbitku berbunyi, memotong kata-kata Nik. Tanpa memandang nama sipemanggil yang tertera, aku terus menjawabnya.

“Woi, apahal kau tinggalkan aku? Kan aku suruh tunggu kejap?” Kedengaran suara Nik di hujung talian.

Darah aku berderau. Sebelum bertolak tadi, Nik sakit perut. Dia suruh aku tunggu sebentar sementara dia ke tandas. Macam mana aku boleh terlupa? Tapi kalau Nik di rumah, siapa pula yang duduk sebelah aku ni?

Aku segera putuskan talian. Telefon diletakkan semula dalam poket. Aku berlagak selamba seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Siapa yang telefon?” tanya ‘Nik’.

“Kawan aku. Eh, tadi kau nak cadangkan aku pergi bercuti kat mana?” Pantas aku mengubah topik perbualan.

“Oh, apa kata kau pergi ke Pulau Mabul? Airnya jernih.”

Aku berasa sedikit lega. Aku teruskan berbual dengan harapan jelmaan Nik ini tidak sedar bahawa sebenarnya aku sedang dalam ketakutan dan mengubah haluan ke rumah semula.

Tidak lama kemudian, telefon aku berbunyi lagi. Aku periksa nama yang terpampang di skrin. Alamak, Nik telefon aku lagi! Aku simpan semula telefon kedalam poket.

“Kenapa tak jawab?”

“Tengah driving,” jawabku.

“Kesian Nik. Mesti dia tengah marah sebab kau tinggalkan dia kat rumah.”

Mata aku membuntang. Jari-jemariku terketar-ketar. Cis, dia dah tahu rupanya! Tak semena-mena, aku jadi hilang sabar. Kereta diberhentikan di tepi jalan secara mengejut.

“Kau ni siapa hah?”

“Aku Nik, kawan kau!” jawabnya.

“Ini amaran terakhir! Sebelum aku tumbuk muka kau, lebih baik kau ...” Lututku terasa longgar. Malah penumbuk yang digenggam padu juga jatuh kebawah tatkala melihat wajah ‘Nik’ yang mulai merekah. Serpihan demi serpihan mukanya jatuh. Amat jijik dan menggerunkan.

Dalam hanya beberapa saat, tubuh Nik ‘berpecah’ menjadi ribuan kelekatu yang memenuhi ruang dalam kereta. Aku cuba untuk melarikan diri, tetapi aku berasa lemas kerana bilangan mereka terlalu banyak. Namun, aku tidak berputus asa untuk menyelamatkan diri. Aku teraba-raba mahu membuka pintu kereta. Jumpa!

Aku berlari semahu-mahunya keluar dari perut kereta itu.

Dummm!

Aku berasa seperti masa berlalu dengan sangat perlahan.Kini, aku terbang di udara. Di bawah sana, aku nampak keretaku yang diletakkan di tepi jalan. Di tengah jalan pula, ada sebuah kereta yang membuat brek kecemasan. Kereta itulah yang baru sahaja menghentam tubuhku.

Masa menjadi normal semula.

Aku tergolek di atas jalan raya. Kepalaku bermandi darah. Rasanya seperti semua tulangku sudah patah. Sakitnya tidak terperi. Aku tahu, aku sudah tidak lama lagi di dunia ini. Pemandu kereta yang melanggarku tadi segera mendapatkan aku. Pandanganku semakin kabur dan gelap. Perlahan-lahan kelopak mataku terpejam.

***

Dua bulan yang lalu.

Aku dan Haris sedang belajar di malam hari.Beberapa ekor kelekatu terbang masuk melalui tingkap rumah. Kami rasa terganggu dengan kehadiran kelekatu-kelekatu itu.

Akhirnya, kami ambil keputusan untuk menangkap semua kelekatu tu dan mengurungnya di dalam plastik. Tanpa simpati, kami bunuh serangga-serangga tidak berdosa itu sehingga hancur. Haris kemudiannya mengeluarkan lendiran dari dalam plastik itu keatas kertas putih, membentuk gabungan corak yang agak unik. Dan corak itu sama dengan lukisan potret yang dijual di pasar antik!