Dia kemudian berkenalan dengan seorang personaliti televisyen dan wartawan terkenal Portugal, Carlos Castro melalui laman sosial Facebook. Tidak lama kemudian, kedua-dua lelaki itu menjalin hubungan songsang sekali pun jarak usia berpuluh-puluh tahun antara kedua-duanya.

Namun hubungan mereka tidak kekal lama apabila Castro, 65, yang juga aktivis gay terkenal, ditemui mati berlumuran darah dengan kemaluannya dipotong di dalam sebuah bilik di tingkat 34, Hotel InterContinental di Manhattan pada 7 Januari 2011.

Semestinya orang yang paling disyaki melakukan perbuatan itu ialah kekasihnya, Seabra, 23, yang berkongsi bilik hotel itu dengan Castro sewaktu kunjungan mereka ke bandar raya New York untuk menyambut tahun baharu.

Selepas hampir dua tahun kejadian itu berlalu, Seabra akhirnya dihukum penjara maksimum 25 tahun oleh sebuah mahkamah di Manhattan selepas disabitkan bersalah melakukan pembunuhan tersebut dengan mencekik, membelasah dan mencacatkan tubuh Castro.

Sebaik sahaja hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Daniel P. FitzGerald, Seabra tampil memohon maaf melalui jurubahasa dengan menyatakan bahawa dia tidak tahu apa yang merasuk dirinya pada hari kejadian.

Sewaktu perbicaraan, pihak pembelaan mendakwa Seabra mempunyai masalah mental dan dia dipercayai telah ditakdirkan untuk membunuh apa yang dilihat sebagai 'syaitan homoseksual' dalam diri Castro.

Dalam kejadian itu, Seabra didakwa membelasah Castro dengan monitor komputer dan botol minuman keras selain menggunakan skru pencungkil gabus botol arak untuk memotong buah zakar mangsa.

Dia kemudian memakai buah zakar itu sebagai gelang tangan dan memberitahu para doktor dia meminum darah Castro ekoran daripada serangan tidak berperikemanusiaan tersebut.

''Kamu tidak perlukan seorang pakar untuk memberitahu kamu bahawa ini adalah tingkah laku seorang psikotik,'' kata David Touger, seorang daripada peguam Seabra dalam hujahan penutupnya pada November tahun lalu.

Katanya, lebih daripada 20 doktor telah mendiagnosis Seabra sebagai seorang yang mengalami kecelaruan bipolar.

Pihak pendakwaan pula menghujahkan Castro dan Seabra merupakan pasangan kekasih dan pemuda itu bertindak kejam kerana marah dengan tindakan Castro memutuskan hubungan mereka.

Ketua pendakwa raya, Maxine Rosenthal memberitahu pihak juri, Seabra menyedari mayat mangsa akan segera ditemukan dan sebab itu dia pergi ke hospital dengan menaiki teksi dan bukannya memandu sendiri, sebagai muslihat untuk berpura-pura gila.

Wanita itu menggambarkan Seabra sebagai seorang oportunis yang 'memainkan peranan sebagai kekasih yang mengasihi teman lelakinya' untuk mengeksploitasi kekayaan dan pengaruh Castro.

Seabra ditemui oleh pihak polis di sebuah hospital di Manhattan selepas dia mendaftar masuk atas nama sebenarnya.

Selepas membunuh Castro, Seabra didakwa memutuskan talian telefon bilik hotel tersebut, memusnahkan telefon bimbit Castro dan meletakkan tanda 'Jangan Ganggu' (Do Not Disturb) di pintu bilik tersebut.

Pemuda itu juga mengambil wang tunai hampir AS$1,600 (RM4,869) daripada dompet Castro dan jadual penerbangan mereka, dengan niat melarikan diri.

''Ini menunjukkan bahawa dia berada dalam keadaan tenang, tindakan yang disengajakan dan tidak konsisten dengan khayalan,'' kata Rosenthal.