Huan Cheng Guan

Pada 2008, DAP amat terkejut dan tidak menyangka dapat ­merampas Pulau Pinang, Se­langor serta Perak. Keterujaan itu membawa kepada kempen yang amat keterlaluan pada 2013 menggunakan slogan ‘Ubah, Ini Kalilah’, mentohmah, memfitnah dan mencerca kerajaan de­ngan memainkan sentimen dalam ka­langan orang Cina. Malangnya DAP salah baca, masih gagal menumbangkan kerajaan yang berteraskan Melayu ini biarkan buat kali kedua menafikan majoriti dua pertiga BN.

Tetapi kali ini DAP benar-benar bertekad. Kalau tidak mampu lagi kali ini, PRU-14, alamatnya DAP akan berputih mata. Se­ngaja nama DAP sentiasa disebut mendominasi empat perenggan di atas tadi dan bukannya Pakatan Harapan - kerana rakyat Malaysia cukup maklum tiga parti kecil Melayu dalam pakatan itu - PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) - tidak boleh disandarkan harapan untuk menggugat UMNO. Cuma, serpihan kerusi yang dimenangi tiga parti itu sekurang-kurangnya dapat menumbangkan kerajaan berteraskan Melayu ini.

Kerana itu senarai calon DAP kali ini disaring ketat. Maka tak hairanlah ada anak muda Melayu tertentu baru ‘setahun jagung’ ditampilkan DAP untuk menggugat kerajaan dengan menabur fitnah itu ini untuk mencetuskan persepsi buruk terhadap kerajaan. Ini termasuklah mempergunakan portal propembangkang yang banyak memihak kepada parti itu, Malaysiakini.

Baru-baru ini seorang anak muda dari DAP dalam aksi ‘wayang kulit’ seakan-akan diacu-acu ‘auta faktanya’ oleh tok dalang­nya (DAP) amat beria-ia memburuk-burukkan kerajaan dalam laman sosial. Melalui video pendek siri 1 berlanjutan ke siri 2, asyik diulang-ulang konon dirinya ‘di­perlakukan secara tidak adil’ di tempat kerja lama.

Namun hanya mereka di tempat kerja lama dia berada dulu kenal siapa dirinya. Dikatakan sibuk nak ‘mencipta’ nama agar masuk dalam senarai calon DAP, maka Malaysiakini memang selayaknya tempat anak muda itu mengadu-domba untuk ‘diangkat’ nanti. Opps, Ke­tua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kononnya ditawar RM5 juta untuk tinggalkan parti itu pun begitu jugakah?

Bercakap tentang Malaysiakini, pengaruh DAP begitu kuat di dalamnya. ‘Penyaringan’ berita di portal propembangkang ini amat ketat. Jika 10 berita memaparkan laporan positif kerajaan, sembilan daripadanya ‘dilepaskan’ dalam bentuk seolah-olah tidak ada kebaikan langsung di pihak kerajaan. Asyik menghentam, sinikal dan berita diolah dalam bentuk memperlekehkan kerajaan.

Kemudian de­ngan mudah portal ini melepaskan ‘tengkuknya’ sekadar men­catat: “Malay­siakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan me­lalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.”

Mudahkan begitu. Sebab itu memang patut benar Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan naik angin dengan portal propembangkang ini.

Ng Lum Yong
Ng Lum Yong

“Saya sudah banyak kali me­nyuarakan isu Malaysiakini, namun nampaknya ia kebal dan tiada mana-mana pihak berwajib yang berani menyiasat portal tersebut. Jika dilihat, portal itu seolah-olah bebas memuatkan apa jua berita dengan sesuka hati terutamanya kandungan an­tikerajaan tanpa ada sebarang kawalan,” katanya baru-baru ini.

KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tegas Cheng Guan, harus menyiasat latar belakang Malaysiakini termasuk semua ahli lembaga syarikat itu serta sumber pembiayaan dananya.

Bekas pengasas bersama PKR, Ng Lum Yong turut mendesak portal itu mendedahkan latar belakang penyumbang dana syarikat itu yang selama ini dikaitkan dengan ‘hidup atas sumbangan asing’.

Barangkali, Malaysiakini yang hampir setiap hari menyiarkan berita-berita berbau sentimen su­kar diambil tindakan oleh kera­na pelayan webnya berada di luar negara. Dan ia mungkin juga men­datangkan kekangan buat pihak berkuasa untuk bertindak termasuk dari aspek fizikal.

Lagipun, dalam banyak ke­­a­da­an apabila pihak berkuasa membuat serbuan ke atas laman web yang memaparkan elemen berbaur hasutan, mereka dengan licik akan memadamkan terus cakera padat (CD) dan apabila perisiannya dimusnahkan, maka SKMM kena menelitinya secara perkomputeran. Ini memakan masa dan rumit. Apakah Malaysiakini akan menjadi seperti pakatan pembangkang yang cuba mengubah asas kenegaraan?

Suatu ketika kita, rakyat Malaysia didedahkan dengan sajian berita daripada portal ini yang bertajuk: “Pengundi baru: Pagi ini PR, petang warganegara”. Ia kisah seorang yang bernama Mismah yang dikatakan diberikan taraf warganegara dalam masa empat jam. Selepas dapat status warganegara, Mismah yang pada awalnya memiliki IC Merah (PR) dikatakan sudah didaftarkan sebagai pengundi.

Namun, ternyata apa yang dibongkarkan oleh wartawan Malaysiakini adalah pembohongan besar. Dakwaan bahawa Mismah menjadi warganegara dalam tempoh empat jam setelah mendapat PR ternyata tidak benar. Rekod Jabatan Pendaftaran Negara me­nunjukkan dia telah mendapat taraf Penduduk Tetap pada 17 Julai 1982. Mismah diluluskan Taraf Kewarganegaraan Malaysia pada 31 Januari 2011 di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan selepas 29 tahun memegang taraf Penduduk Tetap Malaysia.

Cheng Guan ketika dihubungi semalam mempersoalkan me­ngapa tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berwajib terhadap Malaysia­kini sedangkan portal itu dari awal me­nyiarkan berita bersifat fitnah dan hasutan.

“Kita ketahui portal itu dibia­yai pihak asing namun mengapa kerajaan mem­biarkan portal sedemikian untuk beroperasi padahal ia boleh menjejaskan ke­stabilan dan keharmonian ma­sya­rakat. Malah, kebanyakan laporan beritanya mengundang pemikiran dan minda masyarakat terpesong daripada fakta sebenar,” katanya.