Rakyat dikatakan kononnya menjadi pengemis walaupun bantuan tersebut adalah wang rakyat, kata mereka ini. Terbaharu, BR1M diburukkan macam-macam sehingga dikategorikan berunsur rasuah. Tetapi apabila dilawan dengan hujah bernas, individu terbabit yang juga tokoh besar suatu masa dahulu buat pusingan U - mahu BR1M diteruskan pula andai pakatan pembangkang berkuasa.

Pening kepala dibuatnya. Dalam seminggu dua ini habis tular di media sosial termasuklah Facebook bahawa permohonan BR1M ditolak kerana pemohon berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Padahal, satu-satunya sebab permohonan mereka ditolak kerana gagal memberikan maklumat penuh. Ini termasuk dokumen memperincikan pendapatan mereka.

Hal ini tiada kena mengena langsung dengan SSM. Ada dalam kalangan mereka berdaftar dengan SSM tetapi tidak pun berdepan masalah - kerana mereka beri maklumat penuh seperti yang diminta kerajaan pada 31 Disember tahun lalu. Menjelaskan mengapa lebih 600,000 pemohon BR1M ditolak, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberitahu, mereka didapati berpendapatan antara RM5,000 hingga lebih RM10,000 sebulan.

“Kalau kami tak periksa, wang itu akan disalurkan kepada golongan yang salah. Apa pun lebih 700,000 orang yang menerima BR1M tahun lalu tetapi mendakwa ditolak tahun ini, akan menerima bantuan itu secara berperingkat menjelang hujung minggu depan,” katanya.

Individu berpendapatan bawah RM2,000 sebulan dan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan dijamin menerima bantuan itu yang diperkenalkan pada 2012. Malah, Johari turut menjelaskan keperluan memberikan bantuan wang tunai BR1M secara tangan (manual) walaupun sebelum ini kerajaan memutuskan untuk menyalurkan bantuan melalui bank.

“Ada dalam kalangan penerima tidak mempunyai akaun bank, jadi pemimpin masyarakat akan menyerahkan baucar kepada mereka. Di kawasan Parlimen (Titiwangsa) saya, mereka yang tidak mempunyai akaun bank akan diberi secara tangan dan boleh jumpa saya kalau ada masalah,” katanya.

Meskipun BR1M amat didambakan oleh kategori mereka yang memerlukan, pembangkang walaupun 'sekelumit’ dakyah yang boleh dimanipulasi, pasti menjadikan skim bantuan itu sebagai 'mangsa’. Kalau tidak masakan usaha pemimpin Barisan Nasional (BN) di Perlis, Kelantan dan di beberapa kawasan di Perak menyerahkan bantuan BR1M secara manual pun diputar belit mereka sebagai percubaan 'beli undi’.

BR1M diperkenalkan oleh kerajaan BN dan ditohmah macam-macam pula oleh pembangkang. Justeru kalau pemimpin BN asyik memikirkan sangat dakyah mereka, tidak akan ke manalah hala tuju BR1M. Akhirnya jika BR1M tidak sampai ke golongan yang berhak, tempiasnya berbalik kepada BN juga.

Tiada diskriminasi

Pemberian BR1M tidak harus dieksploitasi oleh ahli politik yang tidak berpuas hati. Kelak ini akan memberi kesan kepada kebajikan dan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah. Realitinya tiada pilih kasih atau mengetepikan pihak tertentu apabila menjaga kebajikan rakyat. Semasa sidang Dewan Rakyat sebelum ini ketika sesi soal jawab menteri, ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sendiri mengajukan soalan kepada Johari.

Dan Menteri Kewangan II itu telah menjelaskan bahawa daripada 7,280,340 penerima BR1M yang layak, Selangor yang diperintah kerajaan negeri PKR adalah penerima BR1M tertinggi dengan jumlah 1,017,403. Ini sekali gus membuktikan kerajaan BN tidak melakukan diskriminasi terhadap golongan berpendapatan rendah - tidak kira di mana mereka tinggal atau siapa yang mereka undi?

Pemberian bantuan kewangan oleh kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah bukanlah satu konsep asing dan telah diamalkan di banyak negara seluruh dunia.

Bantuan kewangan yang mensasar telah diiktiraf oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai salah satu kaedah utama jaringan keselamatan sosial untuk rakyat.Bantuan itu menjadi sebahagian daripada sistem perlindungan sosial yang mantap bagi kebanyakan negara maju.

Pemberian makanan di Amerika Syarikat dan Dana Sosial di United Kingdom adalah beberapa contoh kejayaan program pemberian wang tunai kerajaan bagi membantu golongan tidak berkemampuan. Kerajaan Thailand juga melaksanakan pemberian wang tunai sebagai cara membantu golongan berpendapatan rendah dan merangsang ekonomi.

Malangnya di negara ini ada mendakwa BR1M suatu bentuk rasuah. Padahal yang menuduh itu sedia maklum bahawa bantuan kewangan untuk rakyat dalam bentuk BR1M pada asalnya dicadangkan dan dimasukkan dalam Bajet 2012.

Ini berdasarkan kesedaran kerajaan terhadap kesan kenaikan kos sara hidup rakyat terutama golongan miskin bandar. Idea asal itu dicetuskan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz semasa taklimat Bajet 2012 sebagai idea membantu rakyat berpendapatan rendah mengatasi kesan kenaikan kos sara hidup.

Menerusi BR1M, golongan berpendapatan rendah mendapat kebaikan melalui peningkatan pendapatan boleh guna dan kuasa beli yang lebih tinggi terhadap barangan keperluan.

Melalui program itu, secara tid ak langsung menggalakkan pertumbuhan penggunaan barangan industri yang kebanyakannya adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan peningkatan penggunaan terhadap ekonomi domestik.

BR1M juga perlu diteruskan untuk menampung kesan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi terhadap golongan berpendapatan rendah. Mendengar hasutan pembangkang, akibatnya rakyat terlepas keuntungan diri sendiri.

Jangan senasib 35 keluarga Kampung Kerinchi di Lembah Pantai tempoh hari. Gara-gara terpengaruh dengan hasutan seorang pemimpin kanan pembangkang yang cuba mensabotaj pembangunan semula pangsapuri empat tingkat di kampung itu, mereka 'berputih mata’ untuk memiliki kediaman Residensi Kerinchi bernilai hampir setengah juta ringgit.

Teladanilah 472 keluarga lain yang tidak terikut hasutan individu terbabit yang akhirnya menikmati penginapan yang bukan sahaja selesa bahkan boleh diwariskan sebagai hartanah bernilai pada masa depan. BR1M harus diuar-uarkan sebagai salah satu enjin BN yang berjiwa rakyat. Jentera BN harus memperhebatkan promosi bantuan ini. Jangan berharap kepada Perdana Menteri dan Johari sahaja.