Akhirnya rakyat terkontang-kanting berseteru sesama sen­diri. Umat berpecah, bangsa majoriti itu sudah menjadi minoriti. Untuk menentukan haluan hidup sendiri pun terpaksa mengemis ihsan orang lain dan bahkan terpaksa tunduk dengan kehendak kumpulan yang satu itu.

Entah sampai bila politikus kita terperangkap dalam per­ma­inan seperti ini. Permainan yang hanya memundurkan bangsa dan agama sendiri.

Ini yang kita saksikan dalam polemik RUU 355. Kemuncaknya pada Khamis lalu apabila akhirnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 untuk kepentingan umat Islam itu.

Sehingga saat-saat Abdul Hadi membuat pembentangan di Dewan Rakyat itu, ada sahaja gangguan yang sengaja dicetuskan. Hal yang bukan-bukan yang sifatnya sampingan dibangkitkan. Ada pihak begitu ekstrem tidak mahu rang undang-undang itu dibentangkan.

Bagi mereka ini merupakan satu kekalahan politik. Menjelang pilihan raya umum, situasi seperti ini tidak elok untuk imej mereka yang liberal dan sekular yang semuanya mesti dilayan sama taraf serta saksama.

Kawanan politikus ini seperti tidak percaya rang undang-undang persendirian itu ada di depan mata mereka di Dewan Rakyat. Mereka juga yang kata tidak mungkin dapat dibentangkan kerana perlu memintas rang undang-undang kerajaan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Ternyata, peristiwa Khamis lalu membuktikan telahan mereka meleset. Jika sudah ditakdirkan terjadi, terjadilah. Ini pun yang kita tunggu-tunggu. Dua parti yang selama ini sering berselisihan dapat menjalin kerjasama demi kepentingan ummah.

Barang pasti ada pihak yang tidak menyenangi ini semua ber­laku. Dan, kita boleh memahami mengapa Ahli Parlimen DAP khususnya bersungguh-sungguh membuat kacau dan membantah rang undang-undang ini. Yang tidak difahami ialah politikus Melayu beragama Islam sanggup berseberangan dalam hal berkepentingan ummah ini.

Yang lebih tidak difahami ia­lah keghairahan melampau Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang terus-terusan mahu menjadi hero. Beliau bahkan cu­ba membuat provokasi dengan dakwaan-dakwaan ‘di luar kotak’.

Seperti seorang bomoh yang ta­hu dan mempunyai ubat atas se­gala-galanya, Rafizi tiba-tiba mengumumkan beliau mem­pu­nyai bukti dan maklumat tentang se­o­rang tokoh rapat dengan pim­pinan Pas yang menerima dana daripada 1MDB.

Mengugut

Pendedahan yang meng­ge­run­kan pada kaca mata blok Pa­ka­tan Harapan itu, dak­wa Rafizi, sepatutnya mereka bentangkan se­masa sesi perbahasan. Ma­­­langnya, per­bahasan di­tang­guhkan pada sesi Dewan Rakyat, Julai depan. Sekali lagi, mereka cuba meyakinkan khalayak bahawa ada konspirasi antara UMNO-Pas.

Itu yang mereka marah sangat dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menangguhkan sesi perbahasan pada sidang akan datang. Maka Pandikar dicela dari segenap arah sehingga ada yang memanggilnya si bloody fool.

Hujah Pandikar, ini kerana pada hari sebelumnya mereka bersidang hampir 20 jam yang berakhir 5.05 pagi untuk menyelesaikan semua rang undang-undang kerajaan bagi memberi laluan pembentangan RUU 355.

Setelah dakwaan ‘menggerunkan’ Naib Presiden PKR dinafikan oleh petinggi Pas dan memintanya menyerahkan bukti kepada SPRM, Rafizi berkelit, bukti itu sebenarnya ada di tangan SPRM.

Beliau pun seperti dalam siri pendedahan yang tiada hujungnya sebelum ini, mengugut mahu mendedahkan nama tokoh itu dalam masa beberapa minggu ini. Sungguh, politikus ini memang suka berpolitik.

Rafizi bukan lagi Ahli Parlimen yang ada wibawa lagi. Senarai dakwaan bahkan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah ke atas beliau adalah luar biasa. Dalam catatan yang terkumpul sepanjang tahun lalu, Rafizi pernah didenda RM1,800 kerana mencetuskan ketegangan agama.

Beliau juga telah diarahkan membayar RM300,000 kerana menfitnah atas isu NFC selain didenda RM1,950 kerana himpunan haram dan dihukum penjara 18 bulan kerana kesalahan melanggar Akta Rahsia Rasmi.

Begitu banyak pendedahan beliau terbukti tidak benar dan palsu. Lebih memilukan Ahli Parlimen yang satu ini sanggup lepas tangan dan enggan pula bertanggungjawab atas perlakuan semberononya itu yang memudaratkan banyak pihak.

Umpamanya, bagaimana dengan nasib ratusan pendeposit Tabung Haji yang mengeluarkan wang simpanan masing-masing dan terkeluar daripada giliran mengerjakan haji gara-gara terpengaruh dengan permainan politik Rafizi?

Dan, semakin terserlahkan sikap politikus suka-suka ini dalam isu RUU 355 yang tujuannya untuk memperkasakan Mahkamah Syariah itu, petanda jalan keluar untuk politikus ini semakin kelihatan selain hukuman penjara yang menanti.

Rafizi pun banyak musuh dalam PKR. Terbaharu, dalam media sosial yang selalu mengangkatnya sebagai wira, Rafizi dilaporkan dilayan sebaliknya. Beliau dicemuh kerana sikap bebalnya terhadap RUU 355.