Mereka menguar-uarkan kononnya parti bunga yang semakin kucup sebelum berkembang akibat pelbagai masalah dalaman sedang meluaskan pengaruhnya di Kedah. Kalau dengar cerita puak-puak sebelah sana bak kata orang Kedah - “BN dah terbakaq hanguih dah’’.

Selain itu, timbul pula desas desus Datuk Seri Ahmad Bashah Md.Hanipah akan digantikan sebagai Menteri Besar (MB). Cerita yang ‘dijaja’ beliau akan memegang jawatan itu sementara sebelum diserahkan kepada individu tertentu yang penulis diberitahu sudah mula ‘pasang badan’ termasuk tengah mencari kawasan untuk bertanding.

Bagaimanapun Ahmad Bashah atau Tok Bashah tidak pernah terganggu dengan ancaman politik sama ada daripada dua beranak iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz mahupun ‘lobi melobi’ untuk menjadi MB dalam kalangan pemimpin UMNO.

Tok Bashah tetap Tok Bashah. Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam politik, pemimpin berusia 68 tahun itu menghadapi semuanya dengan tenang. Tok Bashah tidak kelam kabut dengan kehadiran anak beranak 2M dan beliau juga tidak resah memikirkan ada orang menaruh impian menjadi MB. Bagi Tok Bashah, semua itu urusan Allah.

“Kalau Allah tetapkan setakat ini sahaja saya menjadi MB, Alhamdulillah saya reda. Sebab kita kena ingat kalau Allah kata sesuatu hak kita hak kita lah, kalau sebaliknya ‘tok sah’ (tidak payah) buat apalah, kita tak kan dapat. Tapi bagi saya mudah, saya buat kerja untuk menangkan BN selebihnya serah kepada Allah,’’ kata Tok Bashah kepada penulis dalam pertemuan di Alor Setar, Selasa lalu.

Bila ditanya mengenai ancaman politik anak beranak 2M yang kini paling berkuasa dalam PPBM dan menjadi sekutu DAP, Tok Bashah hanya tersenyum. Pada wajah beliau terlahir keyakinan bahawa pengaruh dua pemimpin tersebut yang pernah menjamah dan mengaut pelbagai kesenangan ketika berada dalam UMNO dan BN tidaklah sehebat mana.

“Dulu Tun dalam UMNO. Apa yang dibuat di Langkawi disebabkan dia Perdana Menteri. UMNO yang letakkan beliau di situ. La ni (sekarang) dia belah (di pihak) pembangkang. Kalau dia tak jadi Perdana Menteri tak mungkin dia boleh bangunkan Langkawi. Mukhriz pula saya tengok sokongan kat dia di Jerlun dah menurun,’’ kata Tok Bashah.

Namun begitu apa yang Tok Bashah kata bukanlah menunjukkan beliau angkuh mahupun sombong. Tok Bashah tetap tidak pernah memandangkan rendah ancaman politik dua beranak tersebut khususnya di Kedah. Tambahan pula kali ini mereka bersama DAP yang menjadi ‘taiko’ besar dalam Pakatan Harapan.

Bagi Tok Bashah apa yang pen­ting semua pemimpin UMNO dan BN perlu ‘menjual diri’ kepada rakyat. Melalui cara itu rakyat akan dapat mengenali mereka dan memberi sokongan dalam pilihan raya.

“Kena pi juai (jual) diri sejak awai (awal) lagi. Kena kenai (kenal) semua penduduk. Dulu masa saya ketua cawangan saya ‘jual diri’, saya pi jumpa semua orang. Jadi bila mai (datang) pilihan raya, orang dah kenai, senang dapat sokongan. Tak boleh buat perangai dekat pilihan raya baru pi tunjuk muka, tak jadi macam tu,’’ pesan Tok Bashah.

Pendekatan politik Tok Bashah itu kekal sehingga ke hari ini. Beliau sentiasa turun padang bertemu rakyat. Walaupun ketika mula-mula mengambil alih jawatan MB daripada Mukhriz, pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi tetapi Tok Bashah tidak berputus asa. Tok Bashah buat kerja seperti biasa walaupun ada orang memberi peringatan bahaya ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘musuh dalam selimut’.

Tetapi Tok Bashah tidak peduli semua itu kerana yang penting bagi beliau menjaga keharmonian UMNO dan mengukuhkan kedudukan BN di Kedah. Justeru Tok Bashah merangkul kembali mereka yang dilihat orang Mukhriz.

Tok Bashah menerima mereka dengan hati terbuka termasuk memberi jawatan exco malah Tok Bashah juga tidak berdendam dengan mereka yang ‘sudah pasang badan’ untuk menjadi MB apabila beliau jatuh sakit baru-baru ini. Tok Bashah tenang sahaja walaupun sebenarnya beliau boleh berkata, “aku tau apa hampa buat…’’

Sememangnya dalam menghadapi PRU-14, politik hala Tok Bashah yang sentiasa menggunakan pengalaman bagi berhadapan dengan ‘musuh’ dan politik dalaman adalah pendekatan terbaik bagi memastikan BN dan UMNO terus berkuasa di Kedah. Ini memandangkan apa yang penting bagi Tok Bashah adalah memastikan Kedah tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan.

Tok Bashah tidak sanggup UMNO kehilangan kuasa lagi, rintihan Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengingatkan betapa ­peritnya menjadi pembangkang di Kedah sentiasa bermain di fikiran Tok Bashah, apa tah lagi jika DAP yang menjadi pengatur segala-galanya.

Justeru kepada mereka yang bercita-cita untuk menggantikan Tok Bashah, silakan sahaja melobi, tetapi terlebih dahulu bantulah Tok Bashah, UMNO dan BN mempertahankan kuasa di Kedah.

n Ikuti wawancara penuh bersama Datuk Seri Ahmad Bashah di Utusan Malaysia Isnin ini.