Ia juga terkait penulisan blogger yang sama kononnya tokoh korporat bilionair, Tan Sri Robert Kuok membiayai DAP yang kemudian dinafikannya.

Isu pengundi Cina tidak harus dilihat daripada sudut perkauman. Ini kerana masyarakat Cina adalah sebahagian daripada bang­sa Malaysia itu sendiri.

Sejak berkurun lamanya dari zaman sebelum pun merdeka, masyarakat Cina adalah part and parcel masyarakat Tanah Me­layu.

Malah proses menuntut kemerdekaan itu sendiri turut melibatkan penglibatan aktif ma­syarakat Cina.

Setelah merdeka, perlembagaan negara telah dengan jelas mem­beri kedudukan, hak dan kebebasan bernegara kepada masyarakat Cina negara kita.

Dalam kata lain, masyarakat Cina adalah sebahagian daripada kita. Peranan masyarakat Cina dalam pasca kemerdekaan negara juga sangat signifikan.

Melalui gagasan Perikatan dan kemudian BN, masyarakat Cina bahu-membahu memimpin, men­tadbir dan memerintah negara. Mereka menerusi pelbagai plat­form parti politik telah memainkan peranan penting dalam proses nation building negara kita.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan masyarakat Cina telah menjadi antara enjin memperkayakan dan mensejahterakan negara.

Masyarakat Cina sudah ­ber­asimilasi dengan baik sebagai bangsa Malaysia walau ada perkara yang belum berlaku secara paling ideal. Hanya seketika iaitu selepas tiga tahun tertubuhnya DAP khususnya menjelang PRU 1969, sentimen perkauman memuncak.

Deklarasi Setapak oleh DAP misalnya memberi isyarat yang salah dan berupa time bomb kepada negara dan bangsa Malaysia.

Sejak itu polarisasi kaum terus wujud meskipun secara pasang surut dan DAP terus mendapat untung daripada situasi itu.

Dalam suasana perpecahan berlaku dalam kalangan parti politik Melayu akibat perebutan kuasa dan jawatan, DAP telah mengambil peluang semaksimum mungkin untuk terus me­ngaut untung.

Dalam situasi ini, parti berha­luan sederhana dalam kala­ngan masyarakat Cina khususnya MCA dan Gerakan telah menjadi mangsa dan representasi mereka dalam kerajaan menjadi semakin lemah manakala DAP bertambah kuat dengan sokongan masyarakat Cina.

DAP kini memimpin pembangkang dan berkeupayaan menco­rakkan dasar pakatan mereka ke­rana jumlah kerusi yang mereka kuasai jauh mengatasi pihak lain.

Isu ke mana undi masyarakat Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atau berlakukah tsunami Cina menentang BN sebenarnya tidak perlu dimomokkan secara prejudis atau rasis.

Sejarah membuktikan pengundi Cina sangat pragmatik. Mereka boleh sahaja melakukan ‘pendulum’ atau mereka boleh juga ambil pendirian ‘tidak apa’.

Mereka sudah memberikan ‘Ini Kalilah” pada PRU-13 dan tidak mustahil mereka seterus­nya mengambil sikap ‘tidak apalah’ kali ini dalam PRU-14.

Mengenai Robert Kuok, saya tidak pasti kebenaran dakwaan beliau membantu DAP dan saya tidak rapat dengannya.

Tapi saya tahu Kuok seorang dermawan dan banyak membantu pelbagai pihak termasuk kerajaan dan parti pro kerajaan.

Saya percaya Kuok tidak akan melakukan sesuatu yang tidak baik dan menjejaskan kestabilan politik negara atau yang boleh melemahkan ekonomi negara.

Sebagai peniaga dan pelabur, saya percaya Kuok menghargai kesederhanaan, kestabilan, kemakmuran yang kita bina selama ini.

Sebagai rumusan, masyarakat Cina akan tetap menjadi sebahagian daripada teman setia bangsa Malaysia.

Mereka tetap merupakan rakan kongsi BN yang sangat pen­ting. Aspirasi mereka harus kita beri perhatian dan kefahaman dalam suasana penuh keterbukaan dan berjiwa Malaysia selagi mana ia tidak lari daripada roh dan semangat perlembagaan negara kita.

Gong Xi Fa Cai.

TAN SRI ANNUAR MUSA ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia.