Di hadapan 200,000 ahli serta penyokong Pas, Abdul Hadi mahu jentera-jentera pilihan raya Pas di seluruh negara tidak leka sebaliknya terus bekerja bagi memastikan kemenangan parti itu dalam pilihan raya umum berkenaan.

Sungguhpun begitu, secara realitinya untuk PRU-14 akan datang, Pas mungkin terpaksa meng­hadapi cabaran agak hebat apabila parti itu mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas memutuskan tahaluf siyasi de­ngan DAP, dua tahun lalu.

Apatah lagi dengan tertubuh­nya PAN yang merupakan parti serpihan Pas. Untuk PRU-14, PAN sudah tentu akan meletakkan calon-calon mereka khususnya di kawasan tradisi Pas. Namun begitu penulis amat yakin dengan kekuatan calon-calon Pas berhadapan dengan cabaran calon-calon PAN.

Yang pasti, calon-calon PAN akan mendapat sokongan kuat daripada Pakatan Harapan dike­tuai DAP. Ini terbukti ketika diadakan pilihan raya kecil Sungai Besar pada 18 Jun tahun lalu.

Berbalik kepada tindakan Pas memutuskan hubungan dengan DAP, ini adalah keputusan terbaik diambil oleh Pas lebih-lebih lagi dengan beberapa tindakan bia­dab pemimpin-pemimpin yang dilihat semakin berani mempertikaikan Islam.

Ini bukan satu dakwaan tetapi benar-benar berlaku. Antaranya dengan jelas DAP menentang serta mengkritik secara lantang terhadap usaha Pas memperkasakan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang telah dikanunkan pada 1993. Ini yang membuatkan parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP pada 2015.

Terkini, DAP secara terang-terangan menentang Rang Undang-Undang 355 di Dewan Rakyat yang tujuan utamanya memperkasakan lagi kedudukan mahkamah syariah di negara ini. Sememang­nya inilah wajah sebenar DAP.

Hakikatnya, jika hendak disenaraikan bukti DAP selalu mempertikaikan Islam memang banyak dan tidak cukup de­ngan ruang yang ada ini. Itu yang menghairankan bagaimana orang Melayu beragama Islam dalam PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) beria-ia menyokong DAP.

Sedangkan terdapat beberapa pemimpin PKR dan PAN yang boleh digelar sebagai ustaz kerana mempunyai agama yang tinggi.

Selain DAP, Pas turut memutuskan hubungan mereka dengan PKR yang merupakan sekutu kuat DAP dalam satu mesyuarat Maj­lis Syura Ulama Pas, 11 Mei lalu. Bagi penulis, ini juga adalah satu keputusan terbaik yang dibuat oleh Pas.

Antara asas keputusan, PKR bukan sahaja tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh Pas antaranya pembentangan Rang Undang-Undang 355 di Dewan Rakyat. PKR juga melakukan pengkhianatan apabila bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan serta menentang Pas dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar serta Kuala Kangsar.

Cuma dalam konteks kerajaan negeri Selangor, kerjasama Pas dan PKR masih lagi terjalin sehingga tamat tempoh mandat pemerintahan PRU-13.

Bagaimanapun, untuk menghadapi PRU-14, Pas awal-awal lagi termasuk di Selangor telah memaklumkan bahawa parti itu tidak akan melakukan sebarang rundingan pembahagian kerusi dengan PKR setelah Majlis Syura Ulama Pas mengambil keputusan memutuskan kerjasama politik­nya dengan PKR.

Nampaknya, hubungan Pas dan PKR di Selangor bakal ber­akhir terutama jika dikaitkan dengan kenyataan kontroversi yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu pesta arak meskipun PKR di saat begitu bersungguh-sungguh mahu meneruskan hubungan dengan Pas.

Ini kerana PKR tahu kekuatan yang ada pada Pas. Seorang sahabat pernah berkongsi panda­ngannya dengan penulis betapa PKR termasuk penasihatnya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu hubungan PKR dengan Pas diteruskan walaupun bertentangan dengan pendirian Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Berdasarkan pemerhatiannya, dalam beberapa siri pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil sebelum ini kerja-kerja ‘kasar’ kempen untuk pakatan pembangkang banyak dilakukan oleh jentera pilihan raya Pas.

Merekalah yang menggantung banting, merekalah yang menggantung bendera dan merekalah yang bekerja keras meraih undi untuk parti-parti pembangkang. Kawan-kawan daripada parti-parti lain tengok sahaja. Yang membanting tulang ahli-ahli Pas. Yang kerja kuat petugas-petugas Pas. Yang berkorban harta dan tenaga ialah orang Pas.

Kelebihan yang ada pada Pas, jentera-jentera mereka tidak me­mentingkan upah sebaliknya me­reka amat berpegang teguh de­ngan prinsip wala’ (setia) kepada pemimpin. Semangat inilah yang sukar didapati dalam kalangan jentera-jentera pilihan raya parti pembangkang lain.

Pas juga mempunyai jaringan organisasi parti yang kuat iaitu daripada peringkat pusat hingga ke cawangan. Sudah tentu ketia­daan Pas dalam pakatan sedikit sebanyak menjejaskan persiapan parti-parti pembangkang untuk berhadapan PRU-14.

Justeru, amat diharapkan Pas terus mengambil pendirian se­perti mana sekarang walaupun terdapat desakan yang mahu mereka kembali ke pangkuan Pakatan Rakyat. Jadikanlah kejayaan Himpunan Fastaqim 2.0 sebagai bukti bahawa Pas bukanlah lemah seperti disangka walaupun pernah melalui saat-saat getir akibat dikhianati oleh pe­mimpin-pemimpin mereka sendiri hingga tertubuhnya PAN.

Malahan penulis percaya Pas mampu memainkan peranannya sebagai parti politik pembangkang yang matang dalam mengimbangi sistem pemerintahan negara ini.