Politik diktator membentuk budaya beraja di hati, bersultan di mata. Rakyat yang tidak mengikut telunjuk jenis politik begini akan diancam dan didera.

Politik demokrasi melibatkan suara ramai. Apa yang diputuskan melalui sistem demokrasi itulah yang menjadi mandat.

Politik secara ini terlandas kepada sistem nilai dan manfaat yang dikecapi rakyat. Jika dan apabila rakyat berasa sistem itu sudah tidak lagi mementingkan mereka, politik jenis ini akan dirubah, termasuk pimpinannya.

Banyak peristiwa dalam kehidupan seseorang ahli politik yang sukar dilupakan. Maklum saja, pada setiap tindakan ada tindak balas. Pada setiap aksi, ada reaksinya.

Tetapi dalam menilai semula pengalaman dan peristiwa, seseorang itu harus berasa insaf bahawa walau apa pun yang berlaku, kesan sampingannya kenalah diingati sebagai episod yang tidak boleh dilupai, di samping boleh membawa pengajaran yang se­timpal pula.

Dalam kehidupan seseorang ahli politik profesional juga, sesuatu itu perlu dihadapi secara bersahaja. Sesuatu yang malang atau malapetaka mesti diimbasi secara sabar dengan pemikiran yang berfalsafah tinggi.

Hidup dan mati di tangan Tuhan. Begitu juga halnya jodoh dan rezeki. Dalam perjuangan, seseorang mesti tahan lasak sama ada yang direjam melalui malapetaka mahupun melalui kejadian yang menyeronokkan.

Tahap kehidupan rakyat makin lama makin bersaing cabarannya, sementara negara masih terus membangun.

Menoleh ke belakang ialah tahun-tahun berlalu, semenjak tahap umur mentah hinggalah kini edaran zaman sentiasa diamati. Pekelilingan yang berubah dengan nilai hidup yang bersilih ganti.

Anak-anak yang dulu ditimang, kini sudah besar panjang. Kulit di badan sudah mula kendur, langkah yang panjang kini sudah gontai. Selera nan tajam sudah mula menurun.

Namun dunia politik terus berputar. Zaman terus beredar, pusaka terus bergilir dan kehidupan terus menuntut untuk diisi. Yang mati, yang hidup, yang lahir, yang membesar, yang kahwin, yang bercerai, yang merana, yang bahagia - ini semua mendalilkan bahawa hidup itu terus berubah dan berevokusi.

Masa sesungguhnya tidak menunggu imbauan manusia. Bagi ahli politik veteran, sekian ramai kawan-kawan mereka yang kini hanya tinggal nama sahaja, lantaran berpulangnya mereka ke alam baqa. Satu persatu mereka pergi. Sementara ada pula yang terlantar sakit atau berpenyakit yang sukar diubati.

Tetapi bersentimental ada ba­tasannya. Di dunia ini ada lopak dan ruangnya untuk sesuatu. Ada masa untuk mengalirkan air mata. Ada masa untuk bergembira dan ada masa untuk berjuang.

Dan tengah malam tadi, ketika membelek-belek buku bacaan, terpandang penulis pada coretan puisi yang dicipta oleh orang lama yang masak dengan sepak terajang politik, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Berikut penulis nukilkan puisi yang pernah dideklamasikan oleh Rais pada 28 November 1981, yang suatu ketika bekas orang lama UMNO ini turut menjadi sumber rujukan penulis:

BERDIRILAH PEMIMPIN

Berdiri setiap bernama pemimpin

Membangunkan mimpi gemilang seribu musim

Ditabah hati para nelayan menahan gelombang

Disenyum ramah para petani 
ke sawah ladang

Diteguh tenang para buruh membanting tulang

Bertemu siang ia menumbuh keyakinan

Berlalu malam ia membenam kehampaan.

Berjalanlah setiap yang bernama pemimpin

Menggenggam cita waja kembang bermukim

Akan ke lembah lurah menabur kejujuran

Akan ke rimba resah mencair kepalsuan

Akan ke gunung gagah melambai keadilan

Beralih hari ia membawa bakti

Bertukar tahun ia mengota janji.

Berkata setiap bernama pemimpin

Memancarkan seiya serasa erat terjalin

Bahawa pinta hidup diburu bimbang

Antara mega dunia yang molek

“Pipih tidak datang melayang

Bulat tidak datang menggolek”

Patahkan imbau risau di hangat dada

Patahkan ke jantung pesan pusaka bangsa

“Dikepuk sendiri jangan kempunan padi

Di kolam sendiri jangan kelemasan mandi”.

Perihal pertembungan dalam politik sudah banyak dibicarakan. Dalam politik, ini merupakan tema biasa. Bertembung, bertentangan dan berselisih pendapat dalam sesebuah parti politik bukan perkara luar biasa.

Zaman nan beredar, pusaka nan bergilir bergantung kepada manusia yang memainkan pe­ranan hidup masing-masing. Walaupun takdir sentiasa merentasi hidup, manusia perlu sentiasa menggunakan naluri dan akal yang dibekalkan Tuhan.

Membilang dari satu

Bertanya khabar dengan salam

Jika dilipat sekecil kuku

Jika dibentang seluas alam.

Terbang ke langit jadi berita

Turun ke bumi jadi khabar

Berjuang terbaik untuk bangsa

Walau diri hangus terbakar.

Gunung Daik Gunung Singgalang

Wan Empuk Wan Malini

Yang baik bawalah pulang

Yang buruk tinggal di sini.

D’SURY, 2004