Berdasarkan petikan tersebut ternyata bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu amat tidak konsisten. Beliau sememangnya ahli politik tulen yang sanggup bertindak apa sahaja demi mencapai impian politiknya.

Mungkin atas sebab itulah PKR khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim amat keberatan untuk menerima Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Kalau mengkaji satu demi satu corak politik Dr. Mahathir sejak beliau berada dalam UMNO sehinggalah kini berada dalam Pakatan Harapan, maka beliau juga layak diberi gelaran 'sesumpah politik' seperti mana pernah beliau lemparkan kepada Anwar satu ketika dahulu.

Ternyata selepas menghuru-hara UMNO dengan menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kecewa dengan kekalahan anak kesayangannya Datuk Seri Mukhriz dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO disusuli kegagalan beliau menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, politik Dr. Mahathir kini mencetuskan huru-hara dalam Pakatan Harapan.

Sebagai orang paling berkuasa selama 22 tahun dan gagal ditumpaskan oleh parti-parti pembangkang dalam pilihan raya, Dr. Mahathir sudah tentulah mahu menjadi Perdana Menteri dan merasakan dirinya paling layak berbanding Anwar. Dengan adanya surat rahsia Wan Azizah kepada beliau mana mungkin Dr. Mahathir akan menerima Anwar menjadi Perdana Menteri.

Tambahan pula DAP, yang satu ketika dahulu salah seorang pemimpin kanannya menganggap Dr. Mahathir 'orang yang paling jahat’ kini menyokong bekas Perdana Menteri tersebut. Berikutan sokongan yang diberikan, Dr. Mahathir semakin yakin beliau tidak ada masalah untuk mengetepikan Anwar.

Senario itu membuktikan Anwar dan PKR kini semakin dipinggirkan. Strategi politik dan 'pelaburan’ yang dilakukan oleh Dr. Mahathir dengan 'melutut’ di kaki DAP beberapa bulan selepas PPBM ditubuhkan ternyata membuahkan hasil. Ia termasuk ucapan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang membela DAP.

Keberkesanan

Dr. Mahathir berjaya melenyapkan populariti Anwar sebagai calon pilihan utama Pakatan Harapan untuk menjadi Perdana Menteri. Dengan meraih sokongan DAP, ia sekali gus meletakkan PKR berada dalam keadaan boleh 'disingkirkan’ bila-bila masa.

Walaupun DAP memahami 'sepak terajang’ Dr. Mahathir dalam politik, tetapi mereka tetap mahukan bekas Perdana Menteri itu kembali ke jawatan tersebut kerana mereka tahu dalam keadaan apa pun mereka tetap akan untung.

DAP sudah pasti akan menentukan bahawa mereka terus kekal menjadi parti dominan dalam Pakatan Harapan dengan menguasai lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang. PPBM pula belum ada kerusi. Mereka mengharapkan ihsan PKR.

Soalnya, adakah PKR akan membenar PPBM bertanding lebih kerusi daripada mereka sedangkan mereka tahu Dr. Mahathir kini menghuru-harakan perancangan PKR untuk menjadikan Anwar Perdana Menteri. Pada masa sama, Dr. Mahathir mahu menggunakan taktik politik dan propaganda DAP dalam PRU-13 iaitu 'kerajaan ini rasuah’. Dr. Mahathir sudah melihat 'keberkesanan’ propaganda itu biarpun satu ketika beliau sendiri mengecamnya.

Selain itu Dr. Mahathir kini bagaikan 'menjilat ludahnya sendiri’ apabila sudah tergolong dalam 'kelompok Melayu tamak' yang beliau pernah sifatkan "Kalau perlu jual bangsa pun mereka sanggup kerana ingin mendapat tempat.’’

Sebab itulah Dr. Mahathir lebih memberi tumpuan parti tersebut berbanding PKR mahu PAN kerana yakin berbanding pengundi Melayu, pengundi Cina akan terus konsisten menyebelahi pembangkang khususnya DAP.

Tindakan Dr. Mahathir adalah demi dendam politik. Beliau terlupa janjinya untuk tumpu kepada urusan akhirat, beliau menyimpan surat rahsia Wan Azizah yang boleh dijadikan senjata untuk meranapkan impian Anwar dan PKR, beliau bersekongkol dan 'menghalalkan’ propaganda DAP demi meraih sokongan serta beliau bersedia menjadi 'Melayu tamak’ semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Apa pun kerjasama antara Dr. Mahathir dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan adalah gabungan paling ideal kerana masing-masing ada agenda sendiri yang kesudahannya akan merugikan rakyat dan negara.