Saudi dan sekutunya menuduh Qatar bersubahat dengan Islamic Brotherhood, entiti yang didakwa bertindak melalui keganasan selain bertambah intim dengan Iran dan Turki. Sebanyak 13 tuntutan dihadapkan kepada Qatar dan dituntut supaya dipatuhi. Selain berkaitan Islamic Brotherhood yang didakwa melindungi keganasan, Empat Sekutu itu mahukan pengkalan lojistik tentera Turki di keluarkan dari Qatar; hubungan Qatar dengan Iran diminimumkan; dan yang mengejutkan dunia kewartawanan – syarikat gergasi l-Jazeera disyaratkan tutup.

Dari sudut keIslaman dan konsep ummah bersaudara, perkembangan ini merencat imej negara-negara Islam dan keIslaman itu sendiri. Sekali gus banyak pihak mempersoalkan setakat mana prinsip negara Islam diamalkan?

Qatar, satu-satunya negara Islam yang berada di tahap maju dan mula berjinak-jinak dengan liberalisme antarabangsa. Saudi selaku ketua Empat Sekutu memberi kata dua kepada Qatar secara persis dengan lagak berkuasa. Qatar menafikan dakwaan tersebut dan lantas menulis warkah tulis tangan menghuraikan pendiriannya.

Dakwaan Empat Sekutu itu kesemuanya ditolak. Qatar memilih untuk berlindung di bawah undang-undang antarabangsa yang mengiktiraf negara kaya minyak itu sebagai negara berdaulat dengan hak pemerintahannya sendiri.

Peristiwa menggegarkan ini bukan setakat politik dalam cawan tetapi boleh dianggap sebagai suatu keretakan hubungan Islam wataniah. Kesanggupan Saudi melancarkan pemutusan hubungan diplomatik dengan tiba-tiba dianggap sebagai keterlaluan.

Cuma bila disekutui oleh Mesir, Bahrain dan UAE tindakan itu seolah-olah pilihan yang wajar dan munasabah. Sementara itu, Turki memainkan peranan orang tengah lalu mengemukakan beberapa anjuran diplomatik dan inisiatif keselamatan. Turki mula melakar strategi keselamatan dengan memperkukuh pangkalan ketenteraannya di Qatar, sesuatu yang dipandang kontra oleh Saudi dan rakan-rakan sekutunya.

Sementara hentian hubungan diplomatik dan embargo yang dikenakan, langkah-langkah ofensif jiran Qatar itu memang mengenai sasaran fizikalnya. Ini boleh dilihat dari aspek bekalan makanan, penggunaan produk pertanian, bekalan asas industri dan kebebasan berurusniaga melalui saluran perbankan dan kemudahan-kemudahan komersil lain yang dikecapi Qatar selama ini.

Sebagai sebuah negara semenanjung kecil (hanya 11,437 km persegi) asakan embargo sedemikian sudah tentu amat membebankan. Hubungan komunikasi darat, laut dan udara juga digencatkan, menjadikan Qatar sebagai negara terapung sendirian yang jika tanpa bantuan logistik lain akan mengalami kepayahan.

Syarikat gergasi komunikasi Qatar, Al-Jazeera juga dikenakan syarat supaya dibubarkan lantaran berita entiti itu didakwa keterlaluan dalam olahan berita, rencana dan liputan am yang disebut sebagai sering merobek imej sosio-politik Empat Sekutu itu.

Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Qatar adalah sebahagian 22 anggota Liga Arab, badan yang telah banyak dikritik. Inilah pertama kali sesebuah negara Arab dikenakan tekanan sebegitu terancang, cepat dan berat akibatnya oleh rakan-rakan Islamiah sewilayah. Sedangkan pemulauan Iran sendiri oleh AS dan sekutunya atas isu pembangunan kuasa nuklear baru sampai ke tahap kelonggaran.

 

Survival

Amat ketara, perkembangan di Qatar tampak memesongkan hala tuju geopolitik negara-negara Islam di Asia Barat. Qatar sebuah negara semenanjung, dengan penduduk 2.6 juta dan memiliki kawasan kaya minyak yang strategik di Teluk Arab kini terdesak demi survivalnya sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Anehnya, dari 2.6 juta penduduk itu, hanya 330,000 warganegara, selainnya warga asing, yang kebanyakannya dari India, yang berkhidmat di Qatar untuk keuntungan ekonomi.

Qatar terkenal dengan aspek-aspek moden dan keupayaan ekonominya. Ia salah satu negara Islam yang berpendapatan tinggi (KDNK 8.5 peratus dan per kapita AS$71,480 bagi 2017). Doha sebagai ibu negaranya terkenal dengan bangunan-bangunan futuristik yang sering mengadakan pelbagai konvensyen dunia.

Dakwaan Saudi dan rakan-rakan terhadap Qatar menimbulkan persoalan serius tentang perpaduan umat Islam dan keupayaan negara-negara Islam untuk bersekutu demi Islam sejagat. Cetusan terbaru ini meletakkan Liga Arab sebagai entiti kurang upaya. Tanda tanya yang paling serius ialah, siapakah di belakang angkara terbaru Asia Barat ini? Siapakah menjalankan intipan sebenar, Liga Arab, CIA dan tali-jemalinya di Tel Aviv?

Minggu lalu didedahkan 13 tuntutan dan syarat yang dipaksa ke atas Qatar menerimanya. Kata dua itu habis tempohnya Ahad lalu dan baru saja dilanjutkan, kononnya untuk 48 jam lagi. Dipersoalkan dari sudut perundangan antarabangsa – atas kuasa apakah tuntutan 13 itu di buat ke atas Qatar? Adakah melalui kuasa Liga Arab atau atas triti wilayah yang lain? Persoalan ini belum dijawab.

Kertas laporan asalnya disyaki bukan dari tanah Arab tetapi dari luar. Berita yang dikutip oleh Al-Jazeera – tidak menyenangkan kumpulan negara-negara pendakwa Empat Sekutu lalu dimasukkan ke dalam senarai tuntutan bahawa Al-Jazeera hendaklah ditutup sekali. Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammad bin Abdul Rahman Al-Thani menyampai jawapan warkah tulis tangan kepada saluran diplomatik Saudi dan rakan-rakannya.

Qatar menafikan segala dakwaan. Juga tidak disetujui bagi Turki undur dari pangkalan keselamatan yang didirikan atas usahasama Qatar-Turki di negara itu. Menteri Luar itu menegaskan Qatar bersedia mendepani apa-apa kemungkinan asalkan bersandar undang-undang antarabangsa.

Apakah kata dua terhadap Qatar itu menelurkan penyelesaian hujung minggu ini? Majoriti pemerhati politik Asia Barat tidak yakin ini akan berlaku. Sebaliknya akan ada satu lagi hegemoni baru – Qatar, Iran dan Turki. Dengan Turki beroleh kerjasama keselamatan dengan NATO, pendekatan Empat Sekutu itu akan mengalami beberapa fasa negatif sekalipun AS mahu menyebelahi Saudi. Trump baru mengeluarkan pandangan bahawa krisis dengan Qatar itu wajar melibatkan sifat hati-hati.

Setakat ini Turki memang rapat dengan Iran, begitu juga Qatar – status ini bukan atas landasan akidah tetapi atas landasan geo-politik kemanusiaan. Dengan Israel pun Turki punya hubungan sivil. Beberapa pemimpin tertinggi Turki pernah mengeluarkan pendapat, jika dipatuhi ajaran Islam sejati, pendirian berbaik-baik sangka antara satu sama lain akan menelur kemanusiaan yang baik.

Suatu kehairanan sering dizahirkan kini: dunia Islam yang mengeluarkan 68 peratus bekalan minyak dunia tidak mampu bersatu; dengan menghalau rakyat Qatar keluar dari kampung dan kota Islam di negara-negara Islam Empat Sekutu itu erti perpaduan di bawah Islam meremehkan keadaan.

Lebih merunsingkan, apakah saki baki kehidupan dan nilai di Asia Barat yang layak dicontohi selepas ini?

PENULIS adalah Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia