Label-label negatif dilontarkan. Media sosial digunakan oleh tentera siber untuk memfitnah semahu-mahunya tanpa rasa berdosa. Gelagat sebegini bukanlah pendekatan politik Islam.

Politik dendam dan benci ini adalah politik nafsu amarah akibat gejolak emosi yang tidak dapat dikawal dan hilang rasionaliti untuk membuat pertimbangan adil dan betul. Ia adalah suatu penyakit.

Penyakit ini membayangkan hati parah kerana berdendam terhadap sesuatu dan seseorang menyebabkan fitnah menjadi mainan. Hati sakit mungkin berasa puas apabila fitnah dilontarkan tetapi penyakit ini bila berkembang menjadi wabak dan melibatkan orang lain bencananya amat dahsyat.

Al-Quran dalam Surah al Hujurat ayat ke 6 menyatakan dengan jelas tentang penerimaan berita daripada golongan fasik. Perlu dilakukan tabayyun atau kaji selidik menentukan kesahihan berita dan maklumat di­sebarkan. Media sosial dalam pelbagai bentuk digunakan untuk menyebar dan menerima maklumat-maklumat yang bersifat fitnah dan menghina tanpa rasa bersalah.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) muncul tentera siber Red Bean Army menyebarkan fitnah semahu-mahunya terhadap musuh politik mereka dengan maki hamun dan penghinaan yang sukar diterima oleh orang yang rasional, beretika dan mempunyai akhlak tinggi.

Budaya fitnah ini didorong oleh kebencian mendalam dan dendam meluap-luap dengan melihat musuh politiknya sebagai kelompok zalim dan perlu ditumbangkan. Penyakit mengumpat yang membudaya kepada sebahagian orang Melayu sedang diterjemahkan dalam bentuk baharu menggunakan media sosial terutama dalam kalangan generasi muda.

Melontar fitnah, berita dan maklumat palsu semakin menjadi hobi. Ia bakal merosakkan masyarakat dan warga umat kerana perbuatan tersebut dilarang agama. Mereka berbangga kerana maklumat disebarkan menjadi tular dan ditatapi ramai pengguna.

Pendekatan politik Islam sifatnya menyantuni. Parti politik dan tokoh politik adalah manusia yang memiliki kekuatan dan mempunyai kelemahan. Mereka juga ada kesilapan dan kelemahan.

Kalau tertampil gerak kerja politik dan pemerintahan yang memberi manfaat kepada rakyat terimalah ia de­ngan baik. Kalau terdapat kelemahan di mana-mana nasihat dan teguran yang membina harus dilakukan.

Menyebarkan berita palsu boleh merosakkan masyarakat dan negara. Orang beragama sepatutnya tahu boleh dan tidak boleh dalam melakukan sesuatu. Membina persepsi yang belum tentu betul, menular maklumat salah kepada orang lain, menimbulkan kebencian dan dendam akibat nafsu serakah tidak saja bersifat fitnah tetapi ibarat meratah daging saudara sendiri.

Harus ada undang-undang tegas menyekat ia menjadi wabak yang meruntuhkan hubungan sesama manusia dan boleh menyebabkan negara porak peranda. Kebebasan tidak harus disalahgunakan kerana penyakit dendam dan benci yang dideritai. Ia boleh menyebabkan hubungan sesama manusia menjadi rosak dan kerosakan ini boleh menimbulkan konflik antara kaum dan menyebabkan pendekatan perkauman menjadi agenda.

Islam menganjurkan supaya kita bersangka baik dan kalau ada salah faham yang terjadi selesaikan secara ukhuwah atau semangat persaudaraan. Orang beriman tidak mudah terjebak dengan budaya nafsu amarah yang jelik.

Orang beriman selalu mempunyai pertimbangan yang tinggi tentang salah benar sesuatu perkara. Jika kita tidak mempedulikan akan salah benar sesuatu berita yang didengar atau maklumat yang diterima kemudiannya menyebarkan pula kepada orang lain, ia bermakna kita sedang terjebak dalam satu keadaan yang boleh membawa kepada kemungkaran dan dosa.

Oleh itu umat Islam harus cermat dan berhati-hati untuk menyebarkan maklumat dan berita yang belum tentu benarnya kerana jika ia tidak benar dan menjadi berita palsu. Bayangkan berapa ramai orang yang mungkin terpengaruh dan berapa banyak pula dosa yang bakal ditanggung.

Justeru penyebaran berita palsu harus dicegah kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam. Ia bukan bermakna mengkritik tidak boleh atau memberi sudut pandangan terhadap sesuatu isu tidak dibenarkan.

Umat Islam dituntut memiliki adab yang tinggi supaya disiplin akal, disiplin hati dan disiplin amal tidak menjadikan sifat dendam dan benci menjadi tabiat. Berfikirlah dengan terbuka dan lapang dada supaya sangka baik sentiasa di hati dan kelemahan yang terdapat pada seseorang atau sesebuah organisasi disantuni dengan jiwa membina supaya hubungan sesama manusia terpelihara.

DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).